Awas, Jangan Terjerat Dengan Perangkap Scammer!

Kes-kes scammer yang semakin berleluasa dengan pelbagai taktik penipuan terkini seringkali menjadi topik perbincangan hangat sejak kebelakangan ini.  Kewujudan scammer ini menakutkan orang ramai dan lebih mengejutkan lagi, ia melibatkan penyamaran sebagai pihak berkuasa tempatan bagi mengaburi mangsa. Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) juga tidak terkecuali dikaitkan dengan sindiket tersebut sehingga menyebabkan orang ramai keliru dan tertipu.

Persoalannya, bagaimanakah penipuan ini berlaku dan apakah tindakan yang boleh dilakukan sekiranya perkara ini terjadi?

Untuk makluman, terdapat beberapa modus operandi (MO) yang sering dilakukan oleh sindiket ini bagi memperdayakan mangsa. Antara MO tersebut ialah seperti yang berikut:

i) Kes Tunggakan Cukai/Pelarian Cukai

  • Mangsa menerima mesej, panggilan telefon, surat atau e-mel daripada sindiket yang memaklumkan bahawa terdapat tunggakan cukai yang masih belum dijelaskan. Mangsa dikehendaki menjelaskan tunggakan cukai tersebut dengan membuat pindahan wang ke akaun bank pihak ketiga yang dipercayai digunakan sebagai Keldai Akaun.

  • Terdapat juga kes yang mana mangsa dihubungi sindiket yang menyamar sebagai pegawai HASiL atau pegawai polis dan memaklumkan bahawa mangsa mempunyai baki cukai tertunggak seterusnya mengarahkan mangsa untuk memuat turun aplikasi palsu dari Bank Negara Malaysia (BNM) atau berkongsi maklumat peribadi perbankan di laman web palsu yang dikatakan milik BNM bagi tujuan siasatan. Setelah aplikasi tersebut dimuat turun oleh mangsa, maka akan bermulalah operasi scammer tersebut memecah masuk akaun bank mangsa secara dalam talian kerana mereka dipercayai telah mengetahui username dan password perbankan dalam talian mangsa.

ii) Pelarian Cukai, Kegiatan Jenayah dan Pengubahan Wang Haram

  • Mangsa akan dihubungi oleh scammer dan dimaklumkan bahawa mangsa terlibat dengan pelarian cukai, jenayah dan kegiatan pengubahan wang haram. Sehubungan itu, akaun bank milik mangsa diancam akan disekat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). Mangsa kemudiannya akan disambungkan untuk bercakap dengan geng scammer yang lain yang menyamar sebagai ‘pegawai polis’ atau ‘pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)’ atau pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap kes mangsa bagi tujuan menimbulkan perasaan panik dalam kalangan mangsa. Bagi mengelakkan semua wang dalam akaun milik mangsa dibekukan, mangsa telah diarahkan untuk memindahkan wang tersebut ke akaun bank pihak ketiga (Keldai Akaun) yang kononnya akan dipindahkan semula ke akaun milik mangsa apabila ‘kes jenayah’ mangsa telah selesai.

iii. Lawatan Pungutan/Audit/Siasatan Cukai

  • Mangsa menerima kunjungan ‘pegawai HASiL’ untuk memungut cukai atau melakukan audit dan siasatan cukai. Sindiket akan meminta dokumen pendapatan atau perniagaan mangsa dan memaklumkan bahawa telah tersalah lapor cukai pendapatan. Mangsa diarahkan untuk membuat pembayaran ‘baki cukai tambahan’ yang ditaksirkan ke dalam akaun bukan milik HASiL.

iv. Keuntungan Penjualan Saham

  • Mangsa menerima surat atau e-mel memaklumkan bahawa mereka terlibat dengan aktiviti perdagangan saham dengan salah satu syarikat pelaburan dan dikehendaki membuat bayaran tunggakan cukai berdasarkan arahan yang diberikan oleh sindiket penipuan.Bayaran Balik Cukai Terlebih Bayar
  • Mangsa menerima e-mel memaklumkan bahawa mereka mempunyai cukai terlebih bayar yang akan dipulangkan semula oleh HASiL.  Mangsa diminta untuk klik pada pautan yang disediakan di dalam e-mel palsu tersebut dan arahan akan diberikan agar mangsa mendedahkan butiran akaun bank termasuklah kata laluan perbankan internet mereka kononnya bagi membolehkan transaksi bayaran balik lebihan cukai dapat dibuat oleh HASiL.

v. Kaedah Spoofing

  • Mangsa akan dihubungi oleh ‘pegawai HASiL’ dengan menggunakan teknik spoofing iaitu penyamaran kepada talian telefon rasmi HASiL bagi tujuan menghubungi mangsa serta memperdayakan mereka.
  • Ini merupakan teknik terkini scammer kerana talian telefon yang digunakan seakan-akan talian yang sebenar dan mangsa akan terpedaya dan beranggapan ia adalah talian rasmi HASiL.
  • Mangsa yang panik akan memberikan maklumat sulit kepada scammer kerana ugutan dan tekanan dengan tuduhan-tudahan yang tidak dilakukan mangsa.
  • Mangsa mula menyedari  diri mereka ditipu apabila mendapati wang dalam akaun mereka telah dipindahkan ke akaun bank pihak ketiga (Keldai Akaun) dan suspek tidak dapat dihubungi semula.

Pepatah ada mengatakan “Berani kerana benar, takut kerana salah, justeru itu jika kita tidak melakukan apa-apa kesalahan kenapa perlu rasa takut? Budaya masyarakat yang berfikiran semua masalah boleh ‘setel tepi’ menjadikan golongan berkenaan menjadi sasaran mudah buat sindiket penyangak kewangan atau penipuan scammer ini.

Oleh yang demikian, HASiL ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dan ambil peduli dengan perkara-perkara seperti berikut bagi mengelakkan diri dari perangkap scammer:

  1. Jangan dedahkan butiran perbankan terutamanya kata laluan perbankan dalam talian;
  2. Jangan klik pada pautan yang diterima melalui e-mel yang meragukan;
  3. Pastikan bayaran cukai hanya dibuat ke akaun HASiL dan jangan sesekali membuat bayaran cukai atau memindahkan wang ke akaun pihak ketiga yang mungkin digunakan sebagai Keldai Akaun;
  4. Jangan muat turun sebarang aplikasi yang diminta oleh pemanggil yang tidak dikenali;
  5. Jangan membuat panggilan semula kepada nombor telefon yang tidak dikenali. Semak nombor telefon HASiL di Portal Rasmi HASiL;
  6. Pastikan e-mel rasmi HASiL menggunakan domain @hasil.gov.my.

Adalah ditegaskan bahawa sebarang permohonan maklumat daripada pembayar cukai dan arahan pembayaran cukai tertunggak akan dilakukan oleh HASiL secara teratur melalui surat atau e-mel rasmi yang menggunakan domain @hasil.gov.my.

HASiL juga tidak pernah bekerjasama dengan mana-mana Ibu Pejabat Balai Polis atau agensi penguatkuasaan lain bagi tujuan pengesahan tunggakan cukai. Perbuatan scammer oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini sememangnya berniat jahat untuk menipu mangsa sekali gus menjatuhkan imej serta reputasi HASiL sebagai agensi pentadbir cukai kerajaan yang berintegriti.

Berdasarkan rekod HASiL, bermula Januari 2022 sehingga tempoh ini, sebanyak 162 peringatan serta 12 hebahan berbentuk infografik berkaitan aktiviti penipuan scammer telah dimuat naik melalui saluran media sosial HASiL iaitu Facebook, Twitter dan Instagram.

HASiL amat komited dan konsisten dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pembayar cukai.  Sehubungan itu, bagi memastikan para pembayar cukai selamat daripada sebarang penipuan cukai oleh sindiket ini beberapa pendekatan bagi meningkat kesedaran orang ramai telah diambil seperti berikut:

  • i. Mendidik pembayar cukai melalui hebahan infografik kesedaran cukai. Sebagai contoh, “Berhati-hati dengan penipu” di platform media sosial HASiL termasuk Facebook, Twitter dan Instagram.

  • ii. Mendidik pembayar cukai melalui hebahan video pendek kesedaran cukai melalui platform LHDNTube seperti contoh di pautan berikut:

(13) Amaran Scam oleh LHDNM – YouTube

(13) Elak Jadi Mangsa Scammer – YouTube

(13) AWAS PENIPUAN KEWANGAN DAN PERCUKAIAN – YouTube

  • iii. Mengeluar serta menerbitkan Kenyataan Media Rasmi HASiL dari semasa ke semasa untuk memberi amaran serta mengingatkan orang ramai akan bahayanya kegiatan scammer ini.
  • iv. Menjalinkan kerjasama serta kolaborasi bersama pelbagai agensi radio dan televisyen bagi meningkatkan kesedaran cukai terhadap orang ramai.
  • v. Membuat pemakluman kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati terhadap modus operandi yang digunakan oleh penipu cukai melalui ‘Scam Alert’ yang terdapat di Portal Rasmi HASiL yang boleh diakses melalui pautan berikut:  https://www.hasil.gov.my/en/beware-of-tax-scams/

HASiL juga ingin menegaskan bahawa Pegawai HASiL adalah terikat dengan kerahsiaan di bawah Seksyen 138 Akta Cukai Pendapatan 1967 (kerahsiaan maklumat pembayar cukai), di mana maklumat peribadi pembayar cukai tidak sama sekali boleh didedahkan kepada pihak ketiga.

Justeru itu, orang ramai diminta berhati-hati agar tidak terjerat dengan perangkap scammer dan segera menghubungi talian Hasil Care Line (HCL) atau talian pegawai yang boleh disemak senarainya di portal rasmi www.hasil.gov.my atau hadir ke cawangan HASiL berhampiran sekiranya terdapat sebarang kemusykilan berkenaan hal percukaian.

Disediakan oleh:
Bahagian Komunikasi
Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.