Carian Tahun 2024: Inilah Perkara yang Dicari, Disambut, dan Diingati oleh Rakyat Malaysia

Dari kejayaan sukan hingga berita yang mencorakkan negara, trend carian tahun ini memberikan gambaran tentang perkara yang menarik perhatian rakyat Malaysia

Kuala Lumpur, Disember 10, 2024 – Menjelang penghujung tahun 2024, kini tiba masanya untuk kita merenung semula momen-momen yang telah mendefinisikan tahun ini. Melalui laporan Carian Tahun Google, rakyat Malaysia dapat mengenang kembali topik-topik yang menjadi perhatian sepanjang tahun. Daripada detik sukan yang menyatukan negara kepada berita utama dan trend viral, carian ini mencerminkan kisah-kisah yang menyentuh hati rakyat Malaysia.

Tahun Kegemilangan Sukan yang Menyatukan Rakyat Malaysia

Tahun 2024 menyaksikan rakyat Malaysia terpaku pada skrin, menyokong acara sukan dengan penuh semangat. Enam daripada sepuluh carian trending tahun ini adalah berkaitan sukan. Sama ada menikmati UEFA Euro 2024 (#1 Carian, #1 Sukan) di kedai mamak sambil ditemani teh tarik atau berkumpul bersama keluarga di rumah untuk menyaksikan setiap detik mendebarkan Piala Asia AFC (#4 Carian, #2 Sukan), keterujaan ini jelas bergema di seluruh negara. Copa América (#6 Carian, #4 Sukan) turut menambah kehangatan demam bola sepak, membuktikan bahawa tanpa mengira zon waktu, rakyat Malaysia sentiasa bersedia berjaga malam demi kecintaan terhadap permainan ini.

Sukan Olimpik Paris 2024 (#3 Sukan) menjadi pentas gemilang bagi atlet Malaysia, apabila pasangan beregu lelaki badminton, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, berjaya mengulangi kejayaan meraih pingat gangsa. Dalam acara perseorangan, Lee Zii Jia turut mengharumkan nama negara dengan menyumbangkan pingat gangsa. Semangat “Malaysia Boleh” diteruskan di Sukan Paralimpik 2024 (#9 Sukan), dengan atlet negara membawa pulang lima pingat. Penyiar tempatan, RTM (#7 Sukan) memainkan peranan penting dalam memastikan rakyat Malaysia tidak ketinggalan menikmati setiap detik aksi, dengan liputan langsung yang lancar dan menyeluruh.

Bintang, Atlet, dan Ahli Politik

Kecintaan rakyat Malaysia terhadap sukan turut tercermin melalui personaliti yang menjadi tumpuan carian, dengan atlet mengisi separuh daripada senarai individu paling sohor. Wira negara seperti pelumba basikal Azizulhasni Awang (#2 Individu), atau lebih dikenali sebagai Pocket Rocketman, serta pemain badminton Pearly Tan (#8 Individu), memberi inspirasi kepada negara melalui persembahan cemerlang mereka di Sukan Olimpik 2024. Pemain bola sepak Faisal Halim (#5 Individu) juga menarik perhatian ramai dengan kemunculannya semula yang mengagumkan bersama pasukan kebangsaan. Di peringkat antarabangsa, peminat badminton mengikuti perjalanan Kunlavut Vitidsarn (#4 Individu) dari Thailand dan Viktor Axelsen (#10 Individu) dari Denmark, yang masing-masing meraih pingat perak dan emas di Sukan Olimpik 2024.

Selain sukan, rakyat Malaysia turut memberi perhatian rapat kepada kempen pilihan raya presiden Amerika Syarikat, dengan nama-nama seperti Donald Trump (#6 Individu) dan Kamala Harris (#9 Individu) menjadi tumpuan.

Berita yang Menjadi Perhatian Rakyat Malaysia 

Dengan peningkatan kos sara hidup, rakyat Malaysia semakin cenderung mencari maklumat mengenai program bantuan kewangan dan panduan menguruskan belanjawan. Sumbangan Tunai Rahmah (#1 Berita), bantuan tunai kerajaan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana, mendahului senarai carian ‘Berita’ paling sohor. Melengkapkan inisiatif ini ialah Program Bantuan Subsidi Madani (#9 Berita) dan Sumbangan Asas Rahmah (#10 Berita), yang menyediakan subsidi bersasar. Secara kolektif, program-program ini menawarkan bantuan yang amat diperlukan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Rakyat Malaysia semakin selesa dengan evolusi digital dalam bidang pendidikan dan kebajikan. Platform DELIMa (#8 Carian, #3 Berita) menyediakan alat pembelajaran digital untuk pelajar dan pendidik, manakala AINS (#7 Berita) menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar. Di samping itu, program kebajikan sosial seperti MyKasih (#6 Berita), yang memberi sokongan kepada komuniti rentan, turut mendapat perhatian. Akaun KWSP (#8 Berita) pula kekal menjadi tumpuan utama bagi rakyat Malaysia yang ingin merancang masa depan kewangan mereka.

Kemajuan AI ke Tahap Baru

Daripada bot sembang hingga ke alat kreatif, AI kini menjadi sebahagian penting dalam rutin harian rakyat Malaysia. Penerimaan meluas terhadap teknologi ini turut dipacu oleh inisiatif kerajaan seperti Rangka Kerja Kecerdasan Buatan Kebangsaan dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital, yang terus mempercepatkan integrasi AI dalam sfera peribadi dan profesional.

Bot sembang AI seperti Gemini (#3 AI) telah mentransformasi cara rakyat Malaysia mendapatkan maklumat serta meningkatkan produktiviti harian. Pada masa yang sama, kreativiti terus berkembang dengan alat seperti Viggle AI (#7 AI) dan Vidu Studio (#8 AI), yang membolehkan teks ditukar menjadi visual menakjubkan dalam beberapa saat. Inovasi ini membuka peluang baharu untuk ekspresi seni dan penerokaan kreatif.

Dari Drama Menghiburkan hingga Filem Hebat

Rakyat Malaysia beramai-ramai memenuhi pawagam untuk menyaksikan tayangan perdana filem-filem yang paling dinanti-nantikan. Filem animasi popular seperti Inside Out 2 (#1 Filem) dan Kung Fu Panda 4 (#6 Filem) menghidupkan kembali watak-watak kesayangan di layar perak. Bagi mereka yang membesar dengan siri terdahulu, kehadiran sekuel ini menjadi acara wajib tonton, membawa kenangan nostalgik kepada generasi peminat setia. Sementara itu, peminat adiwira juga menikmati pelbagai pilihan filem aksi mendebarkan. Filem seperti Deadpool (#2 Filem), Madame Web (#5 Filem), dan Venom (#7 Filem) menawarkan perspektif unik terhadap genre adiwira. Filem-filem ini tidak hanya memukau peminat setia tetapi juga berjaya menarik perhatian penonton baharu dengan naratif yang segar dan menarik.

Di rumah, drama televisyen menjadi sumber keselesaan dan hubungan emosi bagi rakyat Malaysia. Rancangan popular dari seluruh dunia seperti Queen of Tears (#1 Rancangan TV), Marry My Husband (#2  Rancangan TV) dan 家族荣曜之继承者 (The Heir to the Throne) (#3 Rancangan TV) memikat hati penonton dengan cerita penuh emosi yang merangkumi tema cinta, kehilangan, dan ketabahan. Sementara itu, siri tempatan seperti Aku Bukan Ustazah (#4 Rancangan TV) dan Lovely Runner (#5 Rancangan TV) berjaya menambat hati rakyat Malaysia dengan menyuntik unsur budaya ke dalam jalan cerita yang autentik dan menyentuh hati. Gabungan cerita yang relevan dan watak yang berkesan menjadikan siri-siri ini sebagai kegemaran ramai. 

Mengenang Mereka yang Meninggalkan Legasi

Rakyat Malaysia turut menggunakan Google untuk mengenangi individu yang telah meninggal dunia. Kematian mengejut Liam Payne (#1 Pemergian), bekas ahli One Direction, menggemparkan dunia, manakala pemergian Taib Mahmud (#2 Pemergian), bekas Yang di-Pertua Negeri dan Ketua Menteri Sarawak pula menandakan pengakhiran bab penting dalam politik Malaysia.

Negara turut berduka atas kehilangan personaliti seperti Nidza Afham (#4 Pemergian), Hamdan Senario (#6 Pemergian), Jaafar Onn (#7 Pemergian), dan Nabil Zamanhuri (#10 Pemergian), yang memberi impak besar dalam industri hiburan. Di peringkat global, pemergian legenda komik, Akira Toriyama (#5 Pemergian), pencipta Dragon Ball, turut menyentuh sisi sedih dalam hati generasi peminat tempatan yang membesar dengan karyanya.

Untuk melihat senarai penuh, lawati laman web di SINI.

Selain menonjolkan perkara-perkara yang menarik perhatian rakyat Malaysia, alat carian Google juga memberikan gambaran mendalam tentang topik-topik yang menjadi perhatian dunia sepanjang tahun 2024. Lawati laman trend global untuk meneroka kisah-kisah Carian Tahun Google 2024 serta carta trending teratas dari Malaysia dan seluruh dunia. 

Apa Itu Carian Tahun Google?

Carian Tahun 2024 mengimbas kembali detik, orang, topik, acara dan tempat yang menarik perhatian dunia dalam tahun lalu, dan juga sepanjang sejarah 26 tahun kami. Sepertimana carian boleh membantu anda meneroka dan menemui dunia penuh maklumat, terdapat pelbagai cara untuk meneroka tahun ini melalui lensa Google Search. Carian Tahun mengetengahkan keseluruhan trend yang paling banyak dicari kepada ratusan senarai sepuluh teratas topik sohor kini merentas budaya pop dan gaya hidup, sukan, muzik, berita dan banyak lagi dari lebih 60 negara.

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

ATLAS Vending Lancar ‘Nutri-Aid’ Sebagai Penyelesaian Berasaskan Teknologi Untuk Menangani Ketidaksamaan Pemakanan di Sekolah Malaysia

KUALA LUMPUR – Sempena Hari Susu Sedunia, ATLAS Vending, cabang mesin layan diri milik Etika Sdn Bhd, hari ini melancarkan ATLAS Nutri Aid di Kilang Susu Goodday di Petaling Jaya. Dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS), inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini bertujuan menangani ketidaksamaan pemakanan dalam kalangan murid sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan.

ATLAS Nutri Aid memanfaatkan teknologi mesin layan diri pintar untuk menyediakan akses harian yang konsisten kepada susu berkualiti tinggi secara percuma kepada pelajar yang memerlukan. Bagi ramai kanak-kanak dalam komuniti B40 di Malaysia, akses kepada pemakanan harian masih merupakan cabaran yang senyap tetapi kritikal. Inisiatif ini memastikan nutrisi tenusu asas bukan sahaja tersedia, malah boleh diakses secara berterusan di persekitaran sekolah dan komuniti.

Pelancaran rasmi ini menyusuli kejayaan program perintis di beberapa sekolah terpilih yang mencatatkan penglibatan pelajar yang tinggi serta peningkatan konsistensi transaksi. Susulan keputusan positif tersebut, program ini akan diperluaskan melalui pemasangan 10 mesin layan diri ATLAS Nutri Aid di sekolah-sekolah terpilih.

Inisiatif ini turut disokong oleh YRMS yang memainkan peranan penting dalam pembiayaan, penyelarasan komuniti dan mengenal pasti penerima yang layak, bagi memastikan program ini sampai kepada kanak-kanak yang paling memerlukan.

ATLAS Nutri Aid berteraskan komitmen untuk menangani cabaran kesihatan kompleks yang dihadapi belia Malaysia, khususnya isu “kelaparan tersembunyi” (hidden hunger) dan krisis terbantut (stunting) yang semakin membimbangkan. Tidak seperti negara jiran yang menunjukkan kemajuan sejak tahun 2000, kadar stunting kanak-kanak di Malaysia terus meningkat dan mencapai 24% pada tahun 2024, mengatasi Indonesia (23%), Kemboja (22%), Vietnam (19%), Thailand (12%) dan Singapura (3%). Ini menunjukkan satu kebimbangan kesihatan awam yang serius, ditambah pula dengan dapatan kajian SEANUTS II yang menunjukkan lebih 70% kanak-kanak tidak mencapai pengambilan harian yang disyorkan bagi Kalsium dan Vitamin D.

Dengan peningkatan kos sara hidup, ramai keluarga B40 menghadapi cabaran besar untuk menyediakan makanan seimbang, dengan kadar kelaparan kanak-kanak dilaporkan mencecah 58.4% di beberapa kawasan bandar berpendapatan rendah. ATLAS Nutri Aid menangani isu ini dengan membekalkan susu Goodday Charge Milk secara percuma melalui mesin layan diri. Produk susu di bawah portfolio Etika ini diformulasikan khusus untuk meningkatkan tenaga, menyokong kesihatan tulang dan memperbaiki fungsi kognitif menerusi gabungan 10 nutrien penting yang membantu perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak.

“Bagi ramai keluarga, menyediakan pemakanan harian bukanlah sesuatu yang sentiasa terjamin dan itu tidak sepatutnya menjadi halangan kepada tumbesaran kanak-kanak,” kata Hemalatha Ragavan, Ketua Pegawai Eksekutif Etika & International Exports. “Melalui ATLAS Nutri Aid, kami memastikan setiap kanak-kanak mempunyai akses kepada sesuatu yang asas seperti susu pada setiap hari persekolahan. Dengan menggabungkan teknologi dan tujuan, kami dapat menyampaikan nutrisi secara konsisten, bermaruah dan berimpak. Ini juga akan membantu meningkatkan kehadiran ke sekolah supaya generasi masa depan kita tidak terlepas peluang pembelajaran.”

Memperluaskan kerangka Hygiene Aid, ATLAS Nutri Aid menggunakan mesin layan diri pintar proprietari dan sistem kad “tap-and-go” yang lancar untuk memberikan akses pemakanan harian secara telus dan bersasar kepada pelajar. Dengan menyelaraskan kad dengan kalendar sekolah, sistem ini memastikan pengagihan yang konsisten pada hari persekolahan sambil mengelakkan penyalahgunaan dan ketirisan. Mekanisme berasaskan data ini membolehkan ATLAS Vending memantau impak program dengan berkesan, sambil memberikan pengalaman yang bermaruah dan berdikari kepada kanak-kanak.

Muhammad Syazwan Bin Mohd Daut, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) berkata, “Misi YRMS sentiasa tertumpu kepada membangunkan potensi belia. Pemakanan yang baik adalah asas kepada keupayaan kanak-kanak untuk belajar, memberi tumpuan dan berjaya di sekolah. Melalui ATLAS Nutri Aid, kami bukan sekadar menyediakan nutrisi harian, tetapi menghapuskan halangan penting kepada pendidikan dan memberikan tenaga serta peluang yang sewajarnya untuk mereka mencapai impian.”

Inisiatif ATLAS Nutri Aid mencerminkan komitmen jangka panjang untuk meningkatkan tumpuan di dalam kelas dan perkembangan fizikal generasi akan datang. Dengan menyediakan sumber nutrisi yang boleh dipercayai, program ini membantu merapatkan jurang penting dalam kesihatan kanak-kanak sambil menyokong keluarga kurang mendapat perhatian yang berdepan tekanan ekonomi.

Pada terasnya, ATLAS Nutri Aid dibina atas satu kepercayaan mudah: setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk membesar, belajar dan berkembang maju, bermula dengan pemakanan yang baik.