Jualan Automotif UMW Group Naik 47 Peratus Pada Julai 2023

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) — Jualan automotif Kumpulan UMW Group naik sebanyak 47 peratus tahun ke tahun kepada 36,780 unit pada Julai 2023 daripada 24,983 unit yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun lepas.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata prestasi jualan dengan penyerahan secara berterusan oleh UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu UMW, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dalam persekitaran tempahan yang memberangsangkan.

“Kami berbesar hati dengan jualan kukuh yang dicatatkan oleh UMWT dan Perodua pada Julai 2023, kerana permintaan kekal baik.

“Bagi volum tahun sehingga kini (YTD), kedua-dua syarikat tersebut terus mencatatkan jualan tahun ke tahun lebih tinggi,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Bhd Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali.

Pada Julai 2023, jualan UMWT meningkat sebanyak 26 peratus tahun ke tahun kepada 8,349 unit, Toyota Vios, Hilux dan Corolla Cross menjadi model terlaris.

Ia menjadikan jualan YTD kumpulan itu kepada 57,008 unit, 8.0 peratus pertumbuhan tahun ke tahun berbanding 52,548 unit yang diserahkan dalam tempoh yang sama pada 2022.

Sementara itu, jualan Perodua melonjak 55 peratus tahun ke tahun kepada 28,431 unit, menjadikan jualan YTD kumpulan itu kepada 173,121 unit, 19 peratus lebih tinggi daripada 145,689 unit yang dihantar dalam tempoh yang sama pada 2022.

Prestasi jualannya kebanyakannya disebabkan oleh peningkatan pengeluaran, disokong oleh rantaian bekalan yang bertambah baik.

Melangkah ke hadapan, Ahmad Fuaad berkata kumpulan itu akan terus memperkenalkan model baharu yang kompetitif dan menarik untuk memenuhi keperluan pelanggannya.

“UMW mahu meluahkan penghargaan kepada pelanggannya atas sokongan berterusan mereka terhadap produk dan perkhidmatan kumpulan itu,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Generali Malaysia Lancar Pelan Perlindungan Baharu untuk Keluarga Kurang Berkemampuan

Kuala Lumpur – Generali Malaysia, dengan kerjasama Amanah Raya Berhad (“AmanahRaya”), Pemegang Amanah Awam Tunggal di Malaysia, hari ini melancarkan Gen Sinar, pelan insurans kemalangan diri mampu milik yang direka untuk memperkasa keluarga kurang berkemampuan dengan perlindungan kewangan. Pelan ini bertujuan memastikan kesinambungan pendidikan anak-anak sekiranya penyara keluarga meninggal dunia atau mengalami hilang upaya kekal akibat kemalangan.

Majlis pelancaran yang dianjurkan oleh Generali Malaysia ini diadakan di Kompleks Komuniti Muhibbah dan dihadiri oleh AmanahRaya, wakil Kedutaan Itali di Malaysia, Persatuan Insurans Am Malaysia(PIAM), rakan UNDP, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin komuniti, ahli media dan masyarakat  tempatan

Gen Sinar dibangunkan berasaskan pemahaman terhadap cabaran dan aspirasi komuniti kurang berkemampuan yang sentiasa berusaha memastikan anak-anak mereka mendapat peluang pendidikan yang lebih baik. Walaupun keperluan asas harian terus menjadi keutamaan bagi kebanyakan keluarga, terutamanya keluarga dengan penyara tunggal, mereka juga memikirkan kestabilan kewangan jangka panjang dan situasi tidak dijangka yang boleh menjejaskan sumber pendapatan dan kesejahteraan keluarga

Di Malaysia, akses terhadap perlindungan kewangan yang mencukupi dan mampu milik bagi keluarga kurang berkemampuan masih terhad, sekali gus mewujudkan jurang perlindungan yang menyebabkan mereka lebih terdedah kepada risiko kewangan yang tidak dijangka. Menyedari cabaran ini, Gen Sinar diperkenalkan bagi membantu merapatkan jurang tersebut dengan menyokong kesinambungan pendidikan anak-anak dan memperkukuh daya tahan kewangan keluarga untuk masa hadapan.

“Gen Sinar bukan sekadar pelan insurans, malah satu inisiatif perlindungan sosial berteraskan matlamat yang dibangunkan berasaskan model bukan untung. Kami berkongsi aspirasi komuniti dan percaya bahawa pendidikan ialah kunci dalam memutuskan kitaran kemiskinan. Dengan menjadikan perlindungan lebih mudah diakses oleh keluarga yang kurang berkemampuan, kami berhasrat untuk memastikan anak-anak mereka dapat meneruskan pendidikan walaupun dalam keadaan yang sangat mencabar,” ujar Fabrice Benard, Ketua Pegawai Eksekutif Generali Insurance Malaysia Berhad.

Gen Sinar diwujudkan dengan matlamat untuk membantu melindungi masa hadapan kanak-kanak melalui sokongan pendidikan yang berterusan. Matlamat ini selaras dengan The Human Safety Net (THSN), sebuah gerakan global Generali yang komited untuk memperkasa komuniti rentan. Dengan bayaran serendah RM91.28 bagi tahun pertama dan RM59.40 bagi tahun-tahun berikutnya termasuk duti setem, kos penyerahan mutlak dan surat ikatan amanah serta cukai perkhidmatan 8%, Gen Sinar menyediakan sokongan kewangan yang praktikal bagi membantu keluarga yang berdepan situasi tidak dijangka. Sekiranya penyara keluarga meninggal dunia atau mengalami hilang upaya kekal akibat kemalangan, pelan ini menyediakan manfaat bayaran sekali gus sebanyak RM20,000 bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga. Selain itu, setiap anak turut layak menerima elaun pendidikan bulanan sebanyak RM250 sehingga berumur 18 tahun, dengan jumlah manfaat keseluruhan sehingga RM100,000.       

Selain itu, Gen Sinar turut menawarkan manfaat rundingan teleperubatan percuma bagi isu kesihatan fizikal dan mental yang bertujuan membantu komuniti kurang berkemampuan mendapatkan akses awal kepada nasihat perubatan. Melalui kemudahan ini, peserta dan ahli keluarga mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada pengamal perubatan yang berkelayakan menerusi panggilan telefon atau video. Kemudahan ini menyediakan sehingga dua sesi rundingan setahun dengan nilai manfaat sehingga RM60 bagi setiap sesi, sekali gus membantu memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih mudah dan mampu milik.

Semua manfaat pendidikan di bawah Gen Sinar diuruskan oleh AmanahRaya selaku Pemegang Amanah. Inisatif ini mencerminkan kerjasama erat antara Generali dan AmanahRaya yang dibina berlandaskan aspirasi bersama untuk memperkukuh kesejahteraan komuniti dan masa hadapan anak-anak. Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak komited untuk memastikan dana yang diperuntukkan dilindungi, diurus secara telus dan dipegang secara amanah bagi tujuan pendidikan anak-anak.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama bagi memastikan keluarga kurang berkemampuan tidak ketinggalan dalam mendapatkanperlindungan kewangan dansokongan pendidikan untuk anak-anak mereka. Sebagai Pemegang Amanah Awam Tunggal di Malaysia, AmanahRaya memikul tanggungjawab yang lebih luas, bukan sahaja dalam melindungi kepentingan benefisiari, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan komuniti secara lebih menyeluruh. Melalui Gen Sinar, kami berharap dapat memberikan ketenangan fikiran kepada keluarga yang memerlukan, di samping memastikan dana yang diperuntukkan bagi pendidikan anak-anak dilindungi dan diurus dengan telus untuk manfaat masa hadapan  mereka,” ujar Jack Yap Ngee Heong, Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Perniagaan dan Operasi Kumpulan Amanah Raya Berhad.

Untuk maklumat lanjut mengenai Gen Sinar, sila layari https://www.generali.com.my/travel-personal-accident/gen-sinar-bm