Jualan UMW Toyota Meningkat 40 Peratus, Lebih 100,000 Kenderaan Dijual Pada 2022

SHAH ALAM, 6 Jan (Bernama) — UMW Toyota Motor mengakhiri tahun 2022 dengan mencatat prestasi memberangsangkan apabila sebanyak 101,035 unit kenderaan dijual iaitu melonjak 40 peratus berbanding 72,394 unit pada tahun sebelumnya.

Presidennya Ravindran K berkata jualan itu melibatkan 100,042 unit kenderaan jenama Toyota dan 993 bagi Lexus, sekali gus meletakkan Toyota sebagai jenama bukan nasional paling laris di Malaysia walaupun berdepan keadaan pasaran yang mencabar serta rantaian bekalan yang menjejaskan industri auto di peringkat tempatan dan global. 

Beliau berkata UMW Toyota Motor turut mencatat jualan kukuh bagi kategori SUV (kenderaan utiliti sukan) segmen-C domestik apabila sebanyak 17,208 unit Corolla Cross dijual pada tahun lepas.

Hilux pula menguasai segmen pikap dengan 27,198 unit terjual, manakala Hiace (390 unit) dan Fortuner (3,432 unit) masing-masing berada pada kedudukan teratas bagi segmen van satu tan dan wagon tugas ringan.

“Saya menzahirkan penghargaan kepada semua kakitangan, peniaga dan rakan perniagaan kami yang mengharungi tahun yang mencabar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Ravindran berkata model Corolla Cross Hybrid iaitu antara beberapa model yang dilancarkan pada tahun lepas melakar kejayaan penting baharu apabila tampil sebagai model Toyota pertama dilengkapi teknologi kenderaan elektrik hibrid (HEV) yang dipasang di Malaysia di kilang Toyota di Selangor.

Beliau berkata teknologi HEV merupakan antara pendekatan ke arah keneutralan karbon yang membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida.

UMW Toyota Motor turut  membuat penilaian ke atas kenderaan elektrik bateri (BEV), katanya.

“Kami akan terus membuat penilaian terhadap pilihan yang berbeza dan memperkenalkannya mengikut kesesuaian. Setakat ini, kami yakin HEV paling sesuai untuk rakyat Malaysia dan akan menambah model HEV kedua pada 2023,” kata Ravindran.

–BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian