MAG Tawar Tambang Serendah RM79 Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) — Malaysia Aviation Group (MAG) bertindak mengukuhkan lagi komitmennya dalam menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 selain menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab untuk Asia dan kawasan sekitarnya.

Dalam kenyataannya hari ini, MAG berkata menerusi 248 penerbangan rangkaian domestik dan antarabangsa Malaysia Airlines dan Firefly yang berlepas dari Kuala Lumpur, Subang dan Pulau Pinang, juga membolehkannya memanfaatkan peranan sebagai syarikat penerbangan nasional bagi meletakkan Malaysia sebagai hab pelancongan dan penerbangan Asean yang sebenar.

Sehubungan itu, MAG menerusi kempen Jualan Khas Percutian Malaysia Airlines, kini menawarkan tambang sehala domestik serendah RM79 menerusi kelas ekonomi ke destinasi termasuk Alor Setar, Johor Bahru, Kuala Terengganu dan Kuantan manakala tambang kelas perniagaan bermula daripada RM408.

“Tawaran bagi tempoh perjalanan masa terdekat dan sehingga 30 Nov, 2024, turut meliputi tambang sehala bagi destinasi Asean iaitu ke Bangkok, Ho Chin Minh, Surabaya dan Bali bermula daripada RM219 bagi kelas ekonomi dan RM699 untuk kelas perniagaan.

“Kalangan pengembara juga boleh memanfaatkan tambang sehala ke London, salah satu destinasi antarabangsa paling popular bagi Malaysia Airlines pada harga serendah RM1,744 atau perjalanan tanpa visa ke China (untuk perjalanan sehingga 15 hari) pada harga daripada RM732,” katanya.

Penerbangan Firefly pula membabitkan perjalanan dari Subang ke Kuala Terengganu dan Kota Bharu pada harga serendah RM119 serta dari Pulau Pinang ke Kota Kinabalu, Kuching, Singapura dan Bangkok daripada RM99, kata MAG.

Maklumat lanjut mengenai tawaran itu boleh diperoleh menerusi laman sesawang Malaysia Airlines di www.malaysiaairlines.com

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TP-Link Dan UiTM Bekerjasama Tangani Jurang Bakat Rangkaian Enterprise

SHAH ALAM – TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. (“TP-Link Malaysia”) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran rangkaian yang relevan dengan industri, pengalaman praktikal enterprise serta pensijilan bertaraf global.

Kerjasama selama tiga tahun ini direka untuk merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar industri, membolehkan pelajar UiTM menamatkan pengajian dengan keupayaan praktikal yang selari dengan keperluan semasa enterprise, sekali gus mengukuhkan kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan.

Di teras kerjasama ini ialah pelaksanaan penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link di makmal UiTM, yang memberikan pendedahan langsung kepada pelajar terhadap infrastruktur yang sama digunakan dalam persekitaran perniagaan. Inisiatif ini turut disokong dengan program latihan berstruktur, bengkel teknikal serta akses kepada laluan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA).

Pelajar juga akan mendapat manfaat daripada peluang latihan industri dan praktikal bersama TP-Link, sekali gus membuka laluan yang lebih jelas daripada universiti ke alam pekerjaan dalam ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang.

Inisiatif ini membina kerjasama terdahulu TP-Link Malaysia dengan Universiti Malaya, di mana lebih 500 pelajar telah menyertai program pensijilan pada tahun 2025, menunjukkan permintaan tinggi terhadap kemahiran rangkaian dan pensijilan yang selari dengan kehendak industri.

Hugo Cai, Pengarah Serantau TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. berkata, “Dalam pelbagai industri, organisasi sedang memperluaskan infrastruktur digital mereka, namun ketersediaan profesional dengan kepakaran rangkaian enterprise tidak berkembang seiring. Kerjasama ini bertujuan merapatkan jurang tersebut dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang disokong pensijilan dan relevan dengan keperluan industri sejak hari pertama.”

“Memastikan graduan kami dilengkapi dengan pengetahuan akademik serta kemahiran praktikal yang relevan dengan industri adalah sangat penting dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini. Kerjasama seperti ini membolehkan kami menyelaraskan program dengan lebih dekat kepada kemajuan teknologi dan jangkaan industri,” tambah Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA.

Selain pembangunan bakat, kedua-dua organisasi juga akan meneroka inisiatif bersama dalam penyelidikan, perundingan dan perkongsian ilmu, sekali gus mengukuhkan kerjasama antara jurutera TP-Link dan tenaga pengajar UiTM.

Seiring Malaysia terus memperkukuh aspirasi ekonomi digital, inisiatif yang menghubungkan pendidikan dengan keperluan industri secara langsung akan memainkan peranan penting dalam memastikan negara kekal kompetitif dalam membangunkan serta mengekalkan infrastruktur digital moden.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link, sila layari:
https://www.omadanetworks.com/us/business-networking/consult/