Mendekati Industri Barangan Preloved Kurang Dikenali Yang Bernilai Puluhan Bilion Dolar

“Demo dop kenal bare”…yang bermaksud “kamu tidak tahu nilai sesuatu barangan” dan ungkapan ini sering digunakan oleh peminat atau penjual barangan terpakai apabila orang mempertikaikan harga jualan terutamanya pakaian terpakai yang lebih dikenali sebagai barangan bundle dengan harga yang sangat mahal.

Industri bundle terutamanya pakaian di Malaysia mula berkembang dengan pesat sejak sedekad lalu dengan jualan atas talian menyumbang kepada jumlah jualan yang besar kepada penggiat industri ini.

Kredit Gambar: Verst

Antara barangan bundle yang menjadi kegilaan para pemain dan peminat tegar  bundle adalah baju vintage yang dijual dengan harga yang kadang kala mencecah 4 ke 5 angka. Harga tersebut mungkin tidak masuk akal pada orang kebiasaan namun tidak pada peminat-peminat.

Disebabkan perkara tersebut, terdapat segelintir pemain dalam industri bundle mengambil kesempatan terhadap permintaan  yang meningkat terhadap barangan vintage. Ada yang menjual barangan palsu kepada para pelanggan dengan harga yang sangat tinggi.

Peniaga seperti ini kebiasaannya melakukan kegiatan mereka melalui jualan di atas talian kerana mudah untuk menipu pelanggan yang baru berjinak dalam bidang ini.

Selain menipu dalam urusan jual beli, ada sesetengah peniaga yang berpakat dengan peniaga lain dalam urusan membida baju vintage. Mereka berpakat dengan orang lain untuk membuat bidaan tinggi dan akhirnya dijual dengan harga yang tinggi.

Teknik ini biasanya dilakukan oleh penjual yang telah lama berada dalam industri bagi mengaburi mata pihak lain yang kadang kala, pemenang bidaan tersebut adalah dikalangan kawan mereka sendiri. Kesannya, harga pasaran sesuatu barangan vintage akan meningkat dengan mendadak.

Pasaran Pre-Loved Di Negara Luar

Disebabkan industri bundle atau pre-loved ini mempunyai pasarannya yang tersendiri, industri ini turut mendapat tempat di beberapa buah negara maju terutamanya negara eropah. Berbeza dengan Malaysia, kebanyakan industri pre-loved yang dimiliki oleh negara barat lebih tersusun dari segi teknik pengurusan. 

Banyak syarikat start-up yang memfokuskan kepada industri ini mula berkembang dengan pesat di sana terutamanya di era pandemik ini. Syarikat yang terlibat dalam pasaran pre-loved di negara maju ini lebih profesional.

Antara syarikat start-up yang berjaya mendapat mendapat perhatian para pelabur adalah Depop. Syarikat ini diasaskan pada tahun 2011 di Itali yang pada ketika itu adalah altenatif kepada syarikat E-commerce pakaian mainstream.

Syarikat ini memfokuskan kepada barangan pre-loved terkenal yang menjadi tarikan kepada pembeli.

Kredit Gambar: Moda Chicago

Menurut CEO Depop, syarikat ini adalah untuk merevolusi bidang industri fesyen sama seperti yang dilakukan oleh Airbnb terhadap pelancongan dan Spotify terhadap muzik. Target utama mereka adalah generasi Z yang gemar terhadap barangan pre-loved. Sehingga kini, syarikat ini telah mempunyai bilangan pengguna sebanyak 30 juta.

Konsep yang diketengahkan oleh Depop adalah setiap pengguna menggunakan platform mereka untuk jual beli barangan pre-loved. Pada mulanya, ia merupakan konsep yang baru pada ketika itu dan kini konsep tersebut telah ditiru oleh banyak platform media sosial gergasi seperti Instagram yang membenarkan para pengguna mereka melakukan jual beli di platform.

Selain daripada Depop, Vestiaire Collective yang merupakan syarikat berpangkalan di Perancis turut membuat perniagaan yang sama seperti Depop tetapi mempunyai perkhidmatan memeriksa ketulenan sebelum dijual dalam platform tersebut.

Kredit Gambar: Eco Textile

Vestiaire Collective mempunyai pakar khusus dalam meneliti setiap barangan yang dijual kepada pelanggan mereka yang disahkan keaslianya. Seperti kita tahu, kebanyakan barangan mewah ini berasal dari Perancis dan Vestiaire Collective telah mengambil bekas pekerja dari syarikat terkenal dan diserap ke dalam syarikat mereka.

Dengan pengesahan ketulenan yang diakui oleh pakar, pembeli tidak perlu lagi risau akan barangan tiruan yang berleluasa di pasaran jika mereka membeli melalui Vestiaire Collective. Dengan keadaan pandemik yang masih belum reda, sambutan terhadap jualan dan pembelian barangan pre-loved semakin mendapat tempat disebabkan orang ramai mula sedar bahawa mereka boleh menjual pakaian terpakai dan boleh menambah pendapatan.

Selain itu, barangan pre-loved ini dapat mengurangkan kesan pencemaran rumah hijau disebabkan tiada bahan mentah baru yang digunakan untuk menghasilkan pakaian. Trend pakaian pre-loved ini akan terus meningkat dari tahun ke tahun dengan jangkaan sebanyak USD77 billion pada tahun 2025.

Sumber Rujukan:

Bloomberg Quicktake

Pada tahun 2020 yang lalu, kami telah pun menghasilkan buku sulung yang bertajuk ‘Malaysia Melabur: 10 Benda Kita Kena Tahu’. Sambutannya begitu menggalakkan sehingga buku ini terpilih sebagai Top 10 di MPH dalam kategori Malay Non-Fiction bagi tahun 2020.

Alhamdulillah, tahun 2021 ini kami terbitkan pula buku ‘Malaysia Melabur Saham’.

Kenapa Perlu Baca Buku Ini?

Pastinya anda selalu terdengar atau terbaca tentang peluang menambahkan pendapatan di pasaran saham patuh syariah di Bursa Malaysia.

Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat tetapi masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.

Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.

Kenapa Kena Miliki Buku Ini?

Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa. Sebab itu buku ini telah terjual lebih daripada 2,000 naskah!

Kami faham ramai nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?

Tak sempat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.

Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.

TERKINI: Buku Malaysia Melabur Saham ini juga boleh dibeli di Shopee!

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.” – National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.