Perlindungan Data Kritikal Untuk Kerajaan, Perniagaan Dan Rakyat – Fahmi

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) – Perlindungan data adalah penting dan akan menjadi semakin penting untuk beberapa tahun akan datang apabila urus niaga bersifat lebih digital dan saling berhubung antara satu sama lain, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

“Saya berpendapat kebimbangan seperti ini amat wajar. Saya tidak boleh bercakap untuk mewakili agensi tersebut (agensi kerajaan). Tetapi cara kita mengendalikan data dan cara kita melindungi data akan menjadi semakin penting bagi beberapa tahun akan datang,” katanya ketika ditanya mengenai kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan orang awam mengenai kebocoran data walaupun dalam agensi kerajaan.

“Data kini memainkan peranan penting, ia adalah mata wang yang akan memastikan ekonomi bergerak lancar. Dan jika kita tidak dapat melindungi data, ia akan menjadi masalah kepada kita,” katanya kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

Temu bual itu dikendalikan oleh Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Duraj Raj, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Mohd Shukri Ishak dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama M. Saraswathi.

Sehubungan itu, Fahmi menegaskan penting data dilindungi dengan baik dan disulitkan (encrypted) dengan selamat, jika tidak, ia akan menimbulkan cabaran serius kepada kerajaan, orang ramai dan perniagaan.

Bank Dunia dalam blognya awal tahun ini berkata masa depan perlindungan data bukan hanya mengenai menjaga privasi tetapi tentang membolehkan perkongsian data bertanggungjawab yang memacu kemajuan merentas sektor.

Rangka kerja kukuh memastikan data yang betul dikongsi dengan pihak yang tepat untuk tujuan yang betul.

Sebagai contoh, ia berkata dalam penjagaan kesihatan, mekanisme memelihara privasi membolehkan penyelidik bekerjasama merentasi sempadan, pada masa sama menjaga privasi pesakit.

Dalam pada itu, perlu juga diberi perhatian bahawa beberaoa negara semakin mewajibkan penyimpanan data dihadkan di dalam negara sahaja kerana kebimbangan mengenai keselamatan negara dan privasi rakyat, kata Bank Dunia.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Canon Memperluas Program EOS Master Untuk 2026 Dengan Pengenalan EOS Filmmaker

SHAH ALAM – Canon Marketing Malaysia (“Canon”) dengan bangganya memperkenalkan barisan tenaga pengajar Program EOS Master 2026, yang merangkumi EOS Master, EOS Mentor serta kategori baharu iaitu EOS Filmmaker, meneruskan komitmen berterusan syarikat tersebut dalam memperkasa komuniti fotografi dan videografi Malaysia melalui pendidikan, bimbingan serta perkongsian pengetahuan profesional.

Berpandukan kejayaan Program EOS Master yang dilancarkan pada tahun 2023, Canon terus menambah baik inisiatif tersebut, selari dengan perubahan landskap kreatif. Pada tahun 2026, program ini diperluaskan dengan pengenalan EOS Filmmaker, mencerminkan fokus strategik Canon terhadap videografi, penceritaan visual bergerak serta kepentingan kandungan berasaskan video yang semakin meningkat merentas pelbagai industri.

Barisan tenaga pengajar Program EOS Master 2026 terdiri daripada 11 EOS Master, 12 EOS Mentor dan 3 EOS Filmmaker. Barisan tahun ini menghimpunkan kumpulan profesional dengan pelbagai kepakaran iaitu dalam bidang astrofotografi, komersial, acara, kehidupan manusia, jurnalistik foto, potret, pelancongan, bawah air, hidupan liar dan perkahwinan. Kesemua mereka diiktiraf atas kecemerlangan kreatif, pengalaman industri serta sumbangan yang bermakna kepada komuniti pengimejan tempatan.

Pengenalan EOS Filmmaker mengukuhkan komitmen Canon dalam menyokong pencipta yang terlibat dalam penceritaan sinematik, penghasilan video komersial dan penciptaan kandungan digital, sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap platform berorientasikan video serta aliran kerja kreatif hibrid.

Melalui bengkel, sesi perkongsian, sesi latihan dan inisiatif yang diterajui Canon sepanjang tahun, EOS Master dan EOS Filmmaker akan memainkan peranan aktif dalam memupuk bakat kreatif, berkongsi pandangan praktikal serta mempamerkan bagaimana ekosistem pengimejan Canon menyokong penceritaan visual dalam bentuk imej statik dan video pada tahap tertinggi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing Malaysia, Masato Yoshiie berkata, “Program EOS Master Canon mencerminkan komitmen jangka panjang kami dalam memupuk komuniti kreatif yang kukuh dan berwibawa di Malaysia. Seiring evolusi ekspresi kreatif, adalah penting untuk kami turut berkembang bersama para pencipta. Pengenalan EOS Filmmaker membolehkan kami menyokong pencerita yang menggabungkan fotografi dan videografi, sambil memperkasakan mereka dengan peralatan, pengetahuan dan platform untuk menginjak sempadan kreativiti.”

Ketua Bahagian Perniagaan Komunikasi Imej Canon Marketing Malaysia, Edward Chang menambah, “Videografi kini menjadi elemen penting dalam penceritaan visual, dan para pencipta semakin kerap bekerja dengan pelbagai format. Dengan memperkenalkan EOS Filmmaker dalam Program EOS Master, kami menguatkan sokongan terhadap golongan profesional yang berfokuskan video, di samping terus menyediakan pengalaman pembelajaran yang bermakna serta pandangan praktikal melalui ekosistem EOS Canon.”

Program EOS Master Canon dipandu oleh falsafah Kyosei, yang menekankan kerjasama demi kebaikan bersama. Melalui kolaborasi, bimbingan dan inovasi, Canon kekal komited dalam memupuk komuniti kreatif Malaysia yang dinamik dan bersedia menghadapi masa hadapan.

Untuk maklumat lanjut mengenai bengkel, sesi latihan dan acara akan datang yang menampilkan EOS Master dan EOS Mentor 2026, sila layari laman web rasmi Canon di my.canon/en/consumer/event