TGIF Malaysia Tidak Terjejas Dengan Penyusunan Semula TGIF Inc


KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) –TGI Fridays (TGIF) Malaysia memberi jaminan kepada pelanggannya bahawa restoran francais tempatan itu kekal beroperasi sepenuhnya dan tidak terjejas oleh pemfailan Chapter 11 (bankrap) oleh TGIF Inc. di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini Techna-X Bhd berkata anak syarikat milik penuhnya Craveat International Sdn Bhd, pemegang francais induk dan pemaju TGIF Malaysia, mengesahkan operasinya kekal stabil serta bakal membuka cawangan baharu tidak lama lagi.

TGIF Malaysia merancang untuk membuka cawangan baharu di Mid Valley Megamall pada November 2024, membuka semula cawangan Sunway Pyramid pada Disember 2024 dan melancarkan cawangan baharu di Putrajaya menjelang separuh pertama 2025

Craveat International beroperasi di bawah perjanjian francais dengan TGI Fridays Franchisor, LLC, yang berasingan daripada TGIF Inc. dan tidak terjejas oleh penstrukturan semula syarikat di AS itu.

“TGI Fridays Franchisor, LLC telah memfrancaiskan jenama itu kepada 56 pemegang francais di 41 negara. Lokasi francais ini, domestik dan antarabangsa, dimiliki secara bebas dan tidak termasuk dalam proses Chapter 11 TGIF Inc” kata Techna-X.

TGIF Inc. yang menyelia 39 restoran milik korporat di AS, memfailkan perlindungan Chapter 11 pada 2 Nov, 2024, di Dallas, Texas. Pemfailan ini membolehkan TGIF Inc. menyusun semula operasi kewangannya untuk memastikan kestabilan jangka panjang.

“Pemfailan itu hanya melibatkan restoran milik korporat di AS, manakala lokasi francais lain di seluruh dunia tidak terjejas,” kata kenyataan itu.

Untuk memastikan kesinambungan bagi francaisi di seluruh dunia, Techna-X berkata TGI Fridays Franchisor, LLC telah melaksanakan perjanjian perkhidmatan peralihan untuk mengekalkan perkhidmatan sokongan dalam tempoh ini bagi memastikan operasi francais, termasuk di Malaysia, diteruskan tanpa gangguan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PROTON Cemerlang Jual 16,995 Unit Pada Mei, Saga Model Terlaris Malaysia Bulan Lalu

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) terus menguasai pasaran automotif Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 16,995 kenderaan pada Mei.

Prestasi itu dicapai walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia dianggarkan susut 15.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Prestasi kukuh itu meningkatkan jualan PROTON bagi setakat tahun ini kepada 84,294 unit dalam lima bulan pertama 2026.

Jumlah itu mewakili peningkatan 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan memberikan syarikat pegangan pasaran dianggarkan 26.7 peratus.

Pertumbuhan itu dicatatkan ketika TIV keseluruhan dianggarkan menguncup 1.4 peratus dalam tempoh yang sama, sekali gus menunjukkan keupayaan pengeluar automotif itu untuk meningkatkan pegangan pasaran dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

Pemacu utama prestasi Mei ialah kebangkitan semula model Proton Saga, yang kembali menjadi kenderaan paling laris di Malaysia dengan 7,398 unit didaftarkan pada bulan lalu, sekali gus meningkatkan jualan setakat tahun ini sebanyak 41 peratus kepada 37,375 unit.

Syarikat itu turut melaporkan permintaan kukuh bagi model Proton S70 dan Proton X50, masing-masing mencatat jualan 2,350 unit dan 2,793 unit.

Jualan terkumpul Proton S70 meningkat kepada 10,525 unit, manakala Proton X50 mencapai 12,967 unit, sekali gus menjadi model dengan jualan tertinggi dalam segmen kenderaan utilitik sukan (SUV).

Sementara itu, Proton X90 terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen SUV D dengan jualan mencecah 402 unit pada Mei, menjadikan jumlah jualan YTD meningkat 38.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Abdul Rashid Musa, berkata prestasi itu mencerminkan keyakinan pengguna yang berterusan terhadap kenderaan yang menawarkan nilai, teknologi dan pengalaman pemilikan yang baik.

Selain itu, perniagaan kenderaan elektrifikasi PROTON turut mencatat keputusan memberangsangkan apabila penghantaran gabungan model e.Mas mencecah 3,022 unit pada Mei merangkumi pasaran domestik dan eksport.

Jualan bagi model e.Mas setakat tahun ini pula mencapai 14,687 unit selepas lima bulan pertama tahun ini.

Model hibrid plug-in (PHEV) baharu Proton e.Mas 7 PHEV mencatat jualan 1,181 unit pada Mei, iaitu bulan kedua berturut-turut mencipta rekod baharu, sekali gus menjadikannya PHEV paling laris di Malaysia.

Jualan terkumpul model itu mencecah 2,936 unit sejak dilancarkan pada Februari lalu.

Versi elektrik sepenuhnya Proton e.Mas 7 turut kembali menjadi EV paling laris di Malaysia bagi bulan berkenaan, dengan penghantaran melonjak kepada 958 unit selepas pengeluaran pemasangan tempatan mencapai tahap yang lebih stabil.

Sementara itu, Proton e.Mas 5 kekal sebagai EV paling laris di negara ini bagi tempoh setakat tahun ini, dengan 9,357 unit telah dihantar setakat ini pada 2026.

Penghantaran bulanan model itu sedikit menurun kepada 883 unit menjelang permulaan operasi pemasangan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata permintaan pengguna terhadap EV dan PHEV mencerminkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrifikasi di Malaysia.

“Ketika operasi pemasangan tempatan untuk Proton e.Mas 7 terus dipertingkatkan dan pemasangan tempatan Proton e.Mas 5 mula dijalankan, kami sedang memperkukuhkan keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan sambil menyokong pembangunan ekosistem EV Malaysia,” katanya.