10 Lokasi Tumpuan Teres Bawah RM600,000 Di Selangor

Pencarian hartanah landed nampaknya tidak pernah terhenti di kalangan penduduk Selangor dan Kuala Lumpur khususnya Lembah Klang.

Buat pengetahuan anda, harga rumah teres di Lembah Klang rata – ratanya berada dalam lingkungan harga RM400,000 – RM800,000 mengikut lokasi dan keluasan kediaman tersebut.

Pencarian paling mudah akan rumah teres adalah dengan mencari rumah teres dengan bayaran bulanan sekitar RM2,000 sebulan.

Baca : [TERKINI] Median Harga Rumah Di Malaysia Bulan Januari – Julai 2020

Hari ini merupakan zaman ‘buyers market’ di mana pembeli rumah boleh berunding untuk membeli rumah tersebut pada paras paling minimum jika benar – benar berminat untuk membeli rumah itu.

Ekoran pasaran industri hartanah yang sudah sedia lembap semenjak tahun 2018, banyak pemilik yang terciduk dalam pelaburan hartanah terpaksa melepaskan unit kediaman mereka dan tidak lagi sanggup menanggung kerugian yang tidak terperi setiap bulan.

Mungkin anda yang membaca artikel ini akan bosan mendengar penyataan ini, tetapi waktu terbaik untuk beli rumah sebenarnya adalah sekarang!

Hal ini kerana, terlalu banyak unit kediaman samada jenis landed atau high rise, di luar bandar atau di kawasan bandar yang dijual di bawah harga pasaran (below market value) sekurang – kurangnya 20% – 30%.

Baca : Harga Rumah Turun Kerana Covid-19? Realiti Atau Spekulasi?

Rata – rata warga Selangor tetap memilih untuk meninjau rumah teres subsales di kawasan matang sekitar Lembah Klang.

Tips untuk anda yang berminat untuk membeli rumah teres subsales adalah :-

1. Dekat dengan masjid/surau

2. Ada kawalan sekuriti 24 jam

3. Semak kewujudan serangga perosak

4. Elak kedudukan dapur di depan rumah

5. Periksa kerosakan pada binaan rumah

6. Pilih unit yang berdepan dengan taman

7. Jangan terlalu dekat dengan jalan utama

8. Ada sekurang – kurangnya 2 jalan keluar/masuk

9. Jangan pilih unit terletak terlalu dekat dengan sub-stesen TNB

Untuk pelaburan hartanah pula, jangan ragu – ragu jika unit kediaman yang anda cari terletak dalam radius 1KM daripada lot komersial yang mempunyai banyak peluang pekerjaan dan kemudahan.

Baca : Pasaran Lelong Meriah Sejak Mac 2020 Lagi, Ini 3 Sebabnya

Berikut merupakan harga purata rumah jenis teres subsales di 10 lokasi Lembah Klang berdasarkan data dan statistik yang dikeluarkan portal Edgeprop.my pada Mac 2021 baru – baru ini.

  • Bangi : RM500,431
  • Klang : RM428,526
  • Kajang : RM475,241
  • Sepang : RM427,113
  • Rawang : RM410,241
  • Puchong : RM483,263
  • Semenyih : RM443,155
  • Shah Alam : RM495,433
  • Sungai Buloh : RM470,189
  • Puncak Alam : RM440,552

Jika anda menilai semula kesemua 10 lokasi yang dikongsikan di atas, anda akan dapati bahawa semua lokasi tersebut mempunyai 3 persamaan yang sama.

Baca : 10 Faktor Yang Dipertimbangkan Rakyat Malaysia Sebelum Beli Rumah

Ketiga – tiga persamaan ini merupakan faktor utrama ramai pembeli rumah ingin membeli rumah di kawasan ini.

1. Bandar Matang

Kesemua lokasi yang dikongsikan di atas dikategorikan sebagai bandar matang. Maksud bandar matang dalam hartanah adalah satu lokasi yang telah wujud melebihi 20 tahun lamanya.

Kawasan matang biasanya sesuai untuk kehidupan berkeluarga kerana wujudnya kehidupan berkomuniti antara penduduk di kawasan tersebut.

2. Peluang Pekerjaan

Majoriti kawasan yang dikongsikan di atas merupakan kawasan yang mendukung aktiviti ekonomi dengan kewujudan banyak pusat lot komersial, pusat perindustrian dan pelancongan.

Ini menyebabkan wujudnya banyak peluang pekerjaan di kawasan tersebut dan menjadi lubuk lokasi golongan kelas pekerja di Lembah Klang.

3. Kemudahan

Bila wujudnya peluang pekerjaan di kawasan matang, secara automatik kita tahu bahawa banyak kemudahan yang ada di kawasan tersebut.

Antara kemudahan penting yang ada adalah :-

  • Bank
  • Sekolah
  • Kolej / Universiti
  • Pusat Beli Belah
  • Taman Rekreasi
  • Restoran Makanan Segera

Buat anda yang memang mencari rumah teres subsales di antara kawasan – kawasan di atas, perlu anda ketahui yang sukar untuk anda mendapat rumah yang luas dari sudut saiz binaan dan harga yang murah.

Anda cuma boleh memilih salah satu sama ada rumah dengan saiz yang luas atau harga yang mampu milik sahaja.

Selain itu, anda juga perlu teliti dalam membuat carian unit kediaman kelak kerana banyak rumah teres subsales yang berusia melebihi 10 tahun – 20 tahun perlu dibaik pulih.

Apa yang paling penting, anda perlu kekal dengan objektif asal untuk membeli rumah samada untuk didiami atau untuk pelaburan hartanah.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

LPPSA Kedua: Boleh Mohon Walaupun Pembiayaan Pertama Belum Habis, Ini Syarat & Kelayakannya

Ada pembiayaan LPPSA pertama yang masih berjalan tetapi sudah terfikir nak beli rumah kedua?

Mulai 4 Oktober 2026, penjawat awam yang layak boleh memohon Pembiayaan Kedua LPPSA tanpa perlu menyelesaikan sepenuhnya Pembiayaan Pertama.

Pada masa yang sama, LPPSA turut menaikkan had kelayakan maksimum pembiayaan perumahan sehingga RM1 juta.

Namun, ini bukan bermaksud semua penjawat awam automatik boleh meminjam RM1 juta. Jumlah sebenar masih bergantung kepada pendapatan bersih, kelayakan pemohon, baki kelayakan pembiayaan serta syarat LPPSA yang berkuat kuasa.

Apa perubahan LPPSA 2026?

Menurut notis rasmi LPPSA bertarikh 25 September 2026, dua perubahan utama mula berkuat kuasa pada 4 Oktober 2026:

Pertama, had kelayakan maksimum pembiayaan perumahan LPPSA dinaikkan sehingga RM1 juta.

Kedua, pemohon boleh membuat permohonan Pembiayaan Kedua tanpa menyelesaikan Pembiayaan Pertama, tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan dan syarat yang ditetapkan.

Ini memberi lebih banyak fleksibiliti kepada penjawat awam yang masih mempunyai pembiayaan pertama tetapi mahu menggunakan baki kelayakan mereka untuk pembiayaan kedua.

Had pembiayaan LPPSA sehingga RM1 juta

LPPSA menetapkan jadual had kelayakan berdasarkan pendapatan bersih.

Pendapatan BersihHad Kelayakan Maksimum
Lebih RM10,000RM1,000,000
RM10,000RM950,000
RM9,500RM930,000
RM9,000RM900,000
RM8,500RM880,000
RM8,000RM850,000
RM7,500RM830,000
RM7,000RM800,000
RM6,500RM780,000
RM6,000RM730,000
RM5,500RM670,000
RM5,000RM610,000
RM4,500RM550,000
RM4,000RM480,000
RM3,500RM430,000
RM3,000RM350,000
Sehingga RM2,500RM280,000

Jadual ini adalah berdasarkan FAQ rasmi LPPSA mengenai penambahbaikan 2026.

Nota penting: Had maksimum ini bukan bermaksud pemohon pasti menerima jumlah tersebut. Amaun yang diluluskan masih bergantung kepada kelayakan pemohon dan syarat pembiayaan yang berkuat kuasa.

Siapa yang layak menikmati had baharu?

LPPSA menyatakan jadual kelayakan baharu ini terpakai kepada kakitangan sektor awam yang layak memohon pembiayaan perumahan LPPSA, tertakluk kepada syarat dan kelayakan semasa.

Bagaimanapun, terdapat kumpulan tertentu yang tidak menggunakan jadual ini, antaranya:

  • Anggota Pentadbiran Persekutuan;
  • Anggota Pentadbiran Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri; dan
  • Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Golongan tersebut tertakluk kepada peruntukan atau keputusan berkaitan yang berasingan.

Apa maksud “Pembiayaan Kedua” sekarang?

Ini bahagian yang paling menarik.

Sebelum penambahbaikan ini, pemohon secara amnya perlu menyelesaikan Pembiayaan Pertama sebelum membuat Pembiayaan Kedua.

Mulai 4 Oktober 2026, syarat tersebut tidak lagi diperlukan.

LPPSA menyatakan pemohon boleh memohon Pembiayaan Kedua tanpa menyelesaikan Pembiayaan Pertama, tertakluk kepada penilaian kemampuan bayaran balik dan syarat kelayakan LPPSA.

Contohnya:

Ali membeli rumah pertama menggunakan LPPSA.

Pembiayaan pertama masih mempunyai baki.

Kemudian Ali mahu membeli rumah kedua.

Dengan peraturan baharu, Ali tidak perlu melangsaikan pembiayaan pertama terlebih dahulu semata-mata untuk memohon pembiayaan kedua.

Tetapi Ali masih perlu mempunyai baki kelayakan pembiayaan yang mencukupi dan memenuhi syarat LPPSA.

Apakah syarat Pembiayaan Kedua?

LPPSA menetapkan beberapa syarat utama.

Pemohon perlu:

1. Merupakan kakitangan sektor awam yang layak memohon pembiayaan perumahan LPPSA.

2. Potongan gaji bagi Pembiayaan Pertama telah dilaksanakan.

3. Tidak mempunyai tunggakan bayaran balik bagi Pembiayaan Pertama sedia ada.

Selain itu, permohonan tetap tertakluk kepada penilaian kemampuan bayaran balik dan syarat kelayakan LPPSA yang berkuat kuasa.

Berapa margin Pembiayaan Kedua?

Ini juga penting kerana margin pembiayaan bergantung kepada status Pembiayaan Pertama.

Jika Pembiayaan Pertama sudah selesai

Margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 100%.

Jika Pembiayaan Pertama masih belum selesai

Margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 90%.

Untuk Jenis 5 dan Jenis 7 bagi hartanah yang sama

LPPSA menetapkan margin sehingga 100% bagi:

  • Jenis 5 – Ambil Alih; dan
  • Jenis 7 – Ubah Suai,

bagi hartanah yang sama, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Contoh mudah Pembiayaan Kedua

Katakan seseorang masih mempunyai Pembiayaan Pertama LPPSA.

Kemudian dia mahu membeli rumah kedua berharga RM500,000.

Jika Pembiayaan Pertama masih belum diselesaikan, margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 90%.

Secara mudah:

RM500,000 × 90% = RM450,000

Jadi, secara teori, pembiayaan boleh mencapai sehingga RM450,000, manakala baki RM50,000 perlu ditanggung melalui sumber lain.

Tetapi angka sebenar masih tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan dan penilaian LPPSA.

Maksudnya, jangan terus anggap rumah RM500,000 akan mendapat pembiayaan RM450,000 kerana kelayakan sebenar setiap pemohon adalah berbeza.

Bagaimana LPPSA menentukan kelayakan?

LPPSA menggunakan kaedah pengiraan berdasarkan kemampuan bayaran balik.

Antara kriteria yang dinyatakan LPPSA ialah:

  • Ansuran bulanan tidak melebihi 60% daripada gaji pokok dan elaun tetap yang diambil kira;
  • Jumlah hutang tidak melebihi 80% daripada pendapatan bersih; dan
  • Gaji bersih sekurang-kurangnya 20% daripada pendapatan kasar.

Pendapatan bersih bagi tujuan pengiraan LPPSA pula merujuk kepada gaji pokok + elaun tetap yang diambil kira – potongan wajib.

Jadi, seseorang yang mempunyai gaji tinggi sekalipun tidak semestinya mendapat jumlah maksimum RM1 juta kerana pengiraan turut mengambil kira kemampuan bayaran balik.

Bagaimana pula kadar keuntungan?

Untuk pembiayaan hartanah sehingga RM1 juta, LPPSA memperkenalkan struktur kadar purata wajaran (blended rate).

Strukturnya:

Sehingga RM750,000 → 4.00% setahun

Bahagian melebihi RM750,000 sehingga RM1 juta → 4.50% setahun

Yang menariknya, pengiraan ini mengambil kira jumlah pembiayaan hartanah yang diluluskan bagi Pembiayaan Pertama dan Pembiayaan Kedua.

Contoh RM800,000

Bagi pembiayaan RM800,000:

RM750,000 pertama → 4.00%

Baki RM50,000 → 4.50%

Kadar purata wajaran yang terhasil ialah kira-kira 4.03% setahun.

RM1 juta bukan bermaksud boleh ambil RM1 juta untuk rumah kedua

Ini perkara yang ramai mungkin salah faham.

Had maksimum RM1 juta ialah had kelayakan maksimum, bukannya jumlah automatik yang boleh dipinjam.

Untuk Pembiayaan Kedua pula, LPPSA secara jelas menyatakan ia tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan.

Contohnya, jika seseorang mempunyai had kelayakan RM800,000 tetapi telah menggunakan RM600,000 bagi Pembiayaan Pertama, baki kelayakannya tidak bermaksud dia boleh terus mengambil RM800,000 lagi.

Sebaliknya, pengiraan baki kelayakan perlu dibuat berdasarkan ketetapan LPPSA.

Sebab itu LPPSA menyediakan kemudahan SmartKira untuk membuat semakan anggaran kelayakan mulai 4 Oktober 2026.

Boleh beli rumah kedua sebelum rumah pertama habis bayar?

Ya, mulai 4 Oktober 2026, boleh memohon.

Tetapi terdapat tiga perkara yang perlu diberi perhatian:

Pertama: Pembiayaan Pertama tidak perlu diselesaikan sepenuhnya.

Kedua: Pemohon perlu mempunyai baki kelayakan pembiayaan yang mencukupi.

Ketiga: Pemohon masih perlu memenuhi syarat kemampuan bayaran balik dan syarat LPPSA yang berkuat kuasa.

Jadi, kemudahan ini memberikan fleksibiliti, tetapi bukan “lesen” untuk mengambil hutang rumah tanpa mengambil kira kemampuan kewangan.

Semua jenis pembiayaan boleh digunakan?

Menurut FAQ LPPSA, semua jenis pembiayaan dibenarkan bagi Pembiayaan Kedua, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Namun, terdapat pengecualian tertentu.

Sebagai contoh, pelanggan yang sedang menikmati Pembiayaan Pertama Jenis 4 atau Jenis 5 bagi tanah dan belum memohon Jenis 6 untuk membina rumah, tidak dibenarkan memohon Pembiayaan Kedua bagi Jenis 4 atau Jenis 5 tanah tersebut.

LPPSA juga menjelaskan bahawa jika seseorang membeli tanah melalui Jenis 4 atau Jenis 5 dan kemudian memohon Jenis 6 untuk membina rumah di atas tanah tersebut, ia masih dianggap sebagai satu kelayakan pembiayaan, bukan Pembiayaan Kedua.

Bila boleh mula memohon?

Kemudahan baharu ini berkuat kuasa pada:

4 OKTOBER 2026

LPPSA menyatakan pelanggan boleh mengemukakan permohonan bagi kemudahan tersebut mulai tarikh berkenaan.

Bagi permohonan yang telah dikemukakan sebelum 4 Oktober 2026, LPPSA menyatakan ia akan diproses berdasarkan had kelayakan amaun pembiayaan hartanah yang berkuat kuasa pada tarikh permohonan diterima.

Kesimpulan

Penambahbaikan LPPSA 2026 membawa perubahan yang agak besar kepada penjawat awam.

Had kelayakan maksimum pembiayaan kini dinaikkan sehingga RM1 juta, manakala Pembiayaan Kedua boleh dipohon tanpa perlu menyelesaikan Pembiayaan Pertama terlebih dahulu.

Tetapi perkara paling penting untuk difahami ialah:

RM1 juta = had kelayakan maksimum, bukan jumlah automatik.

Dan:

Pembiayaan Kedua = boleh mohon walaupun pembiayaan pertama masih berjalan, tetapi tertakluk kepada baki kelayakan dan kemampuan bayaran balik.

Jadi, kalau memang bercadang membeli rumah kedua, langkah pertama bukan terus cari rumah RM1 juta.

Semak dahulu baki kelayakan LPPSA.

Kemudian barulah tengok harga rumah yang benar-benar mampu ditanggung.

Nota: Maklumat ini berdasarkan pengumuman dan FAQ rasmi LPPSA bertarikh 25 September 2026. Syarat dan pengiraan sebenar adalah tertakluk kepada pekeliling, garis panduan serta ketetapan LPPSA yang berkuat kuasa pada tarikh permohonan.

Sumber rasmi: LPPSA – Penambahbaikan Kemudahan Pembiayaan Perumahan Sektor Awam 2026 termasuk jadual kelayakan RM280,000 hingga RM1 juta.