Buat 5 Perkara Ini Sebelum Nak Sewakan Rumah Anda

Baru-baru ini, saya ada terbaca dalam Facebook pertikaian antara penyewa dan tuan rumah. Tuan rumah menghalau penyewa kerana bayaran sewa tidak dibayar tepat seperti yang dijanjikan, manakala penyewa berkeras bukan salahnya kerana pihak syarikat membayar gaji lambat maka secara tak langsung bayaran sewa pon lambat.

Penyewa dapat mencari rumah baru tetapi tuan rumah tak nak pulangkan deposit pulak (walaupun bayaran sewa hanya lewat tetapi dibayar setiap bulan). Cerita punya cerita, rupanya tiada sebarang penjanjian sewa yang dibuat di antara penyewa dan tuan rumah sebelum rumah tersebut disewakan.

Di sini disenaraikan 5 perkara yang perlu dititikberatkan sebelum nak sewakan rumah anda:

1. Perjanjian Sewa

Ini perkara paling penting kerana jika apa-apa berlaku, kita boleh rujuk kepada perjanjian bertulis yang telah dipersetujui. Kebiasaanya, tuan rumah yang akan menyediakan perjanjian ini.

Namun sebagai penyewa, baca dulu isi kandungan perjanjian dan sebarang ketidakpuashatian boleh bagitahu awal-awal kepada tuan rumah supaya tidak berlaku sebarang isu berbangkit di kemudian hari.

2. Isi Kandungan Perjanjian Sewa

Pastikan isi kandungan perjanjian melindungi kedua-dua pihak. Di antara isi kandungan yang perlu ditikberatkan adalah tarikh sewa perlu dibayar, apa yang boleh dan tak boleh dibuat oleh samaada penyewa atau tuan rumah, dan jika ada sebarang kerosakan, siapa yang perlu menanggung kos tersebut.

Semua terma dan syarat perlu jelas dan difahami kedua-dua pihak.

3. Keadaan rumah

Pastikan keadaan rumah baik-baik sahaja dan jika ada sebarang kerosakan maklumkan segera kepada tuan rumah. Saya sendiri pernah mengalami situasi ini di mana kabinet dapur ada ‘minor defect’ tetapi saya mengambil mudah perkara itu dan tak maklumkan kepada tuan rumah.

Semasa ingin keluar dari rumah sewa tersebut, tuan rumah memotong sedikit deposit kerana beranggapan kerosakan adalah disebabkan kecuaian saya.

4. Tuan Rumah

Carilah tuan rumah yang kita selesa berurusan dengannya. Kalau boleh berurusan terus tanpa melalui ejen lagi baik. Kalau awal-awal tuan rumah berperangai lain macam jer, pertimbangkan untuk cari rumah sewa yang lain.

5. Tanggungjawab

Perjanjian dah dibuat dan ditandatangani tetapi kalau masing-masing tak ikut, akan timbul masalah juga nanti. Pastikan sewa dibayar tepat pada waktunya, jangan buat aktiviti-aktiviti yang dilarang dalam rumah tersebut, dan jaga harta benda tuan rumah macam jaga harta sendiri.

Jika ada masalah kewangan dan tidak boleh bayar mengikut waktu, bincang secara baik dengan tuan rumah. Jika tiada penyelesaian, nak tak nak penyewa kena cari jugalah penyelesaian sebab tuan rumah pun ada komitmen yang perlu dijelaskan.

Jangan maki hamun tuan rumah pulak. Cuba jadi professional.

Mudah Tapi Sangat Praktikal

Tips-tips di atas nampak mudah, tapi jika ada sebarang masalah amat berguna kepada kita. Oh sebelum terlupa, pastikan perjanjian tersebut di ‘stamping’ atau dimatikan setem. Perjanjian tanpa ‘stamping’ adalah tak sah daripada segi undang-undang, walaupun ada tandatangan penyewa dan tuan rumah.

Kos ‘stamping’ boleh dikongsi di antara tuan rumah dan penyewa, walaupun pada kebiasaannya penyewa yang bayar.

Sekian, semoga bermanfaat.

Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Dilema mahu membeli atau menyewa rumah

Memiliki rumah sejak sekian lama dianggap sebagai simbol kestabilan dan kejayaan hidup bagi rakyat Malaysia.

Tidak hairanlah ramai golongan muda merasakan mereka perlu membeli rumah secepat mungkin yang memaksa mereka menanggung komitmen pinjaman perumahan selama 30 hingga 40 tahun.

Namun, dalam cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, harga rumah yang terus berada di luar kemampuan sebahagian besar pembeli muda serta corak pekerjaan yang semakin dinamik, tiba masanya kita menilai semula maksud sebenar ‘seseorang itu ada rumah’.

Pada asasnya, rumah adalah tempat berteduh dan menyediakan keperluan asas untuk kediaman. Yang mustahak adalah ‘jaminan tempat kediaman dan kepentingan untuk mendiami’ yang lazimnya adalah melalui pemilikan tetapi boleh juga melalui penyewaan.

Bagi ramai golongan muda, terutamanya di peringkat awal kehidupan, menyewa boleh menjadi pilihan yang lebih praktikal dan fleksibel.

Ia membolehkan mereka mampu untuk menetap berhampiran tempat kerja, mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan beban hutang jangka panjang sebelum benar-benar bersedia untuk membeli rumah sendiri.

Perubahan cara berfikir ini secara perlahan-lahan membuka ruang kepada perkembangan pasaran sewaan di Malaysia, termasuk kemunculan konsep ‘co-living’ atau kediaman bersama di dalam sebuah komuniti transit, serta juga konsep Rent-to-Own (RTO) atau Sewa-untuk-Beli.

Walaupun segmen ini masih kecil berbanding pasaran sewaan konvensional, ia semakin mendapat perhatian khususnya dalam kalangan generasi muda.

Konsep ‘co-living’ menawarkan bilik atau unit yang lengkap dengan perabot, tempoh sewaan yang lebih fleksibel serta kemudahan bersama yang diuruskan secara profesional.

Ia juga mengurangkan kos kemasukan (barrier of entry) kerana penyewa tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membeli perabot atau menanggung pelbagai kos utiliti secara berasingan.

Bagi golongan belia dan profesional muda, pekerja kontrak serta mereka yang sering berpindah lokasi pekerjaan, ‘co-living’ menyediakan pilihan perumahan yang lebih mudah dan praktikal tanpa perlu membuat komitmen membeli rumah ketika pendapatan mereka, khususnya pendapatan boleh guna mereka masih sedang dibina dan deperkukuhi.

Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi sekiranya pasaran sewaan ingin berkembang menjadi satu cabang penting dalam ekosistem perumahan negara.

Cabaran pertama ialah persepsi masyarakat. Budaya pemilikan rumah masih sangat kuat dan menyewa sering dianggap sebagai pilihan sementara atau petanda seseorang mencapai kestabilan kewangan.

Persepsi ini ada benarnya, tetapi ia juga mewujudkan tekanan sosial yang menyebabkan ramai membeli rumah lebih awal daripada kemampuan sebenar mereka ataupun menyebabkan kerakusan pasaran yang sehingga mengakibatkan tekanan mental dan emosi.

Hakikatnya, keperluan perumahan setiap individu berbeza mengikut peringkat kehidupan. Ada yang memerlukan fleksibiliti untuk berpindah mengikut kerjaya, manakala ada yang lebih selesa menangguhkan pembelian rumah sehingga kedudukan kewangan mereka lebih kukuh.

Oleh itu, menyewa tidak sepatutnya sewenang-wenangnya dilihat sebagai pilihan yang kurang baik sehingga dilihat sebagai stigma berbanding pemilikan rumah.

Cabaran kedua ialah pasaran sewaan negara yang masih belum matang dan terpasung. Sebahagian besar pasaran masih dikuasai oleh pemilik individu dengan standard pengurusan, syarat penyewaan dan kualiti penyelenggaraan yang berbeza-beza.

Keadaan ini menyebabkan pengalaman menyewa tidak seragam dan kadangkala menimbulkan ketidakpastian kepada penyewa dan juga pemilik rumah.

Cabaran ketiga pula ialah kekurangan rangka kerja perundangan yang menyeluruh untuk mengawal selia sektor sewaan kediaman.

Pelaksanaan dan penggubalan sebuah akta, seperti Akta Penyewaan Kediaman (RTA) yang satu ketika dahulu diusulkan tetapi tertangguh, perlu disegerakan bagi mewujudkan pasaran sewaan yang lebih teratur dan telus.

Sebuah akta yang khusus untuk regulasi pasaran penyewaan sektor kediaman ini berpotensi untuk menyediakan perlindungan yang lebih jelas kepada penyewa dan juga pemilik, memperkukuhkan mekanisme penyelesaian pertikaian serta meningkatkan keyakinan pelabur dan pengendali profesional dalam sektor perumahan sewaan.

Bagi akta sedemikian, keutamaan harus diberikan kepada pendekatan yang mesra penyewa, mesra pemilik dan mesra pelabur yang mengimbangi secara saksama kepentingan-kepentingan setiap pemegangtaruh untuk melahirkan satu persekitaran pasaran yang menang-menang.

Tumpuan juga harus diberikan untuk memperhalusi dan mengukuhkan konsep RTO atau Sewa-untuk-Beli sebagai salah satu langkah penyelesaian menang-menang.

Dalam jangka panjang, pembangunan pasaran sewaan yang lebih tersusun akan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Persediaan dan ketersediaan bakal pembeli rumah adalah berbeza-beza di dalam persekitaran yang mencabar dewasa ini di samping tekanan sosial berkenaan kemampuan dan pemilikan rumah idaman.

Walaupun apapun keadaannya, yang pasti adalah setiap individu dan isi rumah seharusnya mempunyai akses dan jaminan tempat kediaman yang selesa, mempunyai akses kepada kemudahan, selamat dan mampu dibayar mengikut keperluan serta kedudukan kewangan masing-masing.

Dalam hal ini, memperkukuhkan pasaran sewaan melalui konsep seperti RTO dan ‘co-living’ serta pemerkasaan rangka kerja perundangan berpotensi untuk melengkapkan ekosistem perumahan negara dengan menyediakan pilihan yang lebih pelbagai dan inklusif untuk rakyat Malaysia.

Penulis ialah Pengarah Kanan, Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian