Harga Rumah Di KL, PJ Dijangka Naik Antara 3 Hingga 4 Peratus Tahun Ini – Pempengaruh Hartanah

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) — Harga rumah kediaman dua tingkat di Lembah Klang terutamanya di Kuala Lumpur (KL) dan Petaling Jaya (PJ), ia dijangka meningkat antara 3.0 hingga 4.0 peratus tahun ini.

Dalam membuat unjuran itu, pempengaruh hartanah popular dan ‘YouTuber’ (Penggiat YouTube) Sean Tan berkata unjuran tersebut adalah benar khususnya di kawasan permintaan tinggi seperti Desa ParkCity, Bangsar dan Mont Kiara di Kuala Lumpur.

Beliau berkata bagi mereka yang mencari rumah bertanah di Lembah Klang, hartanah bertanah terus menunjukkan prestasi yang baik terutamanya komuniti berpagar dan mempunyai perkhidmatan pengawal keselamatan kerana pembeli rumah mahu kediaman yang selamat.

“Di kawasan seperti Desa ParkCity, unit kediaman adalah terhad dan kualiti hidup tinggi, kita sudah melihat harganya melambung tinggi,” katanya kepada Bernama selepas muncul dalam program “The Nation: terbitan Bernama TV dihoskan oleh Gerard Ratnam.

Bagaimanapun, Tan berkata harga mungkin mencecah harga siling bagi rumah bertanah terutamanya di kawasan kejiranan lama seperti SS2 (PJ) dan Kepong (KL) disebabkan kekangan kemampuan dan persaingan daripada pembangunan yang baharu dan lebih selamat.

Beliau juga berkata hartanah perindustrian bakal menjadi mencatatkan prestasi baik pada 2025, terutamanya di Johor dan Lembah Klang dengan lokasi seperti Jelutong di Pulau Pinang dan Lagong di Selangor menjadi lokasi popular.

Secara keseluruhan, Tan berkata pasaran hartanah tahun ini dijangka menyaksikan beberapa siri anjakan yang dibentuk oleh keadaan ekonomi, pembangunan infrastruktur dan pilihan pembeli yang berubah-ubah.

Untuk mendapatkan tawaran terbaik berdasarkan keutamaan, beliau menggesa pembeli untuk melihat data, memahami dinamik permintaan-bekalan unit kediaman dan menyedari perkembangan infrastruktur yang boleh menjejaskan nilai hartanah secara mendadak.

“Jika anda seorang pembeli rumah kali pertama, fokus kepada mencari tempat yang memenuhi keperluan anda pada harga berpatutan, bagaimanapun jika anda mahu melabur, pastikan anda menyasarkan kawasan dengan hasil sewa kukuh, bekalan unit kediaman terhad dan melilhat kepada pertumbuhan masa depan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai hartanah perindustrian dengan lokasi seperti Jelutong dan Lagong menjadi kawasan popular tahun ini, Tan berkata ia didorong oleh harga tanah yang kompetitif dan pembangunan infrastruktur baharu.

“Syarikat multinasional akan berminat kerana tanah kita masih murah dan ia mendorong banyak perbandaran di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata penyiapan projek infrastruktur baharu seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kelantan ke Selangor dan Transit Aliran Ringan di Pulau Pinang akan memastikan prestasi jualan hartanah lebih baik di kawasan mempunyai rangkaian pengangkutan tersebut.

Selain itu, Tan berkata beliau melihat Pahang, Kelantan dan juga kawasan seperti Puncak Alam menawarkan peluang pertumbuhan.

Beliau berkata kejayaan pembangunan perindustrian dan lebuh raya seperti Lebuhraya Pantai Barat, mengubah kawasan yang tidak mendapat perhatian sebelum ini menjadi lokasi untuk pembangunan hartanah.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman