Industri Hartanah New York Semakin Rancak Dengan Kehadiran Syarikat Teknologi Dari Silicon Valley Di Musim Pandemik

Sektor industri pelancongan merupakan sektor yang paling terjejas teruk ketika berlaku musim pandemik seperti sekarang. Selain dari sektor tersebut, sektor industri hartanah juga tidak terkecuali daripada menerima tempias yang sama disebabkan ramai orang telah diberhentikan kerja dan mereka tidak lagi mampu menanggung hutang hartanah mereka.

Walaupun banyak negara telah melaksanakan moratorium untuk meringankan beban mereka yang terjejas, ia hanyalah bersifat sementara dan tidak sama sekali menyelesaikan masalah mereka yang terlibat dalam industri ini termasuk peminjam.

Disebabkan keadaan ekonomi yang lemah berlaku di seluruh dunia, perkara ini turut berlaku di Amerika Syarikat walaupun mereka merupakan kuasa ekonomi dunia. Industri ini terjejas teruk terutamanya bandar-bandar besar seperti New York yang terkenal sebagai pusat kewangan dunia.

Banyak syarikat kewangan gergasi di sana terpaksa menutup operasi mereka dan sebahagian syarikat yang kecil terpaksa menutup terus industri mereka disebabkan krisis pandemik ini. Ia menyebabkan banyak industri hartanah di New York begitu lengang ketika kemuncak penularan COVID-19 ini.

Lain pula dengan syarikat yang berada di Silicon Valley. Kebanyakan syarikat teknologi di sana telah berkembang dengan pesat terutamanya dalam peningkatan market capitalization mereka ketika pandemik berada di kemuncak penularan di negara  tersebut pada tahun lalu. Disebabkan perkara tersebut, syarikat teknologi ini telah mengambil peluang untuk meluaskan operasi perniagaan mereka pada ketika ini.

Syarikat Teknologi Mula Melabur Di New York

Disebabkan perkara tersebut, banyak syarikat teknologi terutamanya dari Silicon Valley telah membuka ibu pejabat baru mereka di New York. Antara syarikat yang membuka ibu pejabat baru mereka di bandar New York adalah Google, Facebook, Roku, Microsoft, Stripe dan juga Amazon.

Kesemua syarikat ini berlumba-lumba membuka pejabat mereka di bandar raya tersebut kerana prestij yang dimiliki.

Kredit Gambar: Vox

Sebelum ini, Amazon pernah bercadang untuk membuka ibu pejabat mereka yang kedua di bandar tersebut. Cadangan Amazon untuk membuka ibu pejabat baru yang kedua di bandar tersebut ditentang hebat oleh penduduk New York kerana mereka mendakwa Amazon telah menindas pekerja mereka sendiri selain dari memonopoli perusahaan peruncitan.

Amazon terpaksa akur dengan bantahan penduduk New York terhadap penubuhan ibu pejabat syarikat tersebut. Perkara ini berlaku sebelum krisis pandemik lagi iaitu pada tahun 2019.

Industri Hartanah Semakin Meningkat Dengan Kehadiran Syarikat Teknolgi

Kini, tindakan yang dilakukan oleh beberapa syarikat teknologi itu sangat bertepatan untuk membangunkan ekonomi di New York yang banyak terkesan dengan pandemik yang berlaku. Gabenor New York, Bill De Blasio memuji tindakan yang dilakukan oleh beberapa syarikat gergasi dalam membangunkan operasi syarikat mereka di New York yang sebelum ini terkenal dengan syarikat yang berkaitan dengan pelaburan sahaja.

Kredit Gambar: Architonic 

Selain itu juga, ia adalah sebagai persediaan untuk mana-mana pekerja yang ingin kembali ke tempat kerja dalam tempoh yang terdekat. Dengan pembukaan bangunan pejabat baru, mereka boleh berkerja dalam tempat yang tidak terlalu sesak dengan orang ramai bagi mencegah penularan wabak COVID -19 yang tidak menentu ini.

Dengan wujudnya ibu pejabat syarikat teknologi di New York, ia akan memberi imej yang baru terhadap bandar tersebut yang terkenal dalam industri kewangan dunia dan kini akan dilengkapi dengan syarikat yang terkenal dalam dunia teknologi.

Setakat ini, Google telah menghabiskan sebanyak $2.11bilion untuk membeli tanah di kawasan St. John’s Terminal, manakala Amazon telah membeli bangunan Lord & Taylor dengan harga $1 bilion. 

Previous ArticleNext Article

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman