Rakyat Malaysia Masih Berhasrat Memiliki Rumah – Kajian PropertyGuru Dan iProperty

KUALA LUMPUR – Aspirasi pemilikan rumah masih kekal kukuh bagi rakyat Malaysia, dengan 56% merancang untuk membeli hartanah dalam tempoh dua tahun akan datang berdasarkan Kajian Sentimen Pengguna H1 2026, satu tinjauan nasional terbaharu dari PropertyGuru dan iProperty.

Malaysia kekal sebagai sebuah negara pemilik kediaman, dengan sebahagian besar rakyatnya sudah pun memiliki hartanah sendiri. Pemilikan rumah paling lazim dalam kalangan mereka yang berumur 40 tahun ke atas, individu yang berkeluarga, serta mereka dalam segmen pendapatan sederhana hingga tinggi. Ini merupakan gambaran bagaimana pemilikan hartanah sering mencerminkan pencapaian hidup yang bermakna serta kestabilan kewangan jangka panjang.

Pemilikan rumah melambangkan kestabilan dan keselamatan keluarga, dan ramai mengamalkan pendekatan “beli dan simpan” di mana rumah mereka dijaga dan akan diwariskan kepada generasi seterusnya.

Kajian ini turut menunjukkan minat berterusan dalam kalangan pembeli kali pertama. Bagi rakyat Malaysia yang masih belum memiliki hartanah, lebih daripada separuh tetap memandang pemilikan rumah pertama sebagai satu pencapaian besar yang ingin diraih dalam hidup.

Rumah yang Mencerminkan Gaya Hidup Rakyat Malaysia

Corak kediaman rakyat Malaysia turut menunjukkan keeratan ikatan kekeluargaan dalam kehidupan seharian. Kebanyakan responden tinggal bersama ahli keluarga terdekat seperti pasangan mereka, ibu bapa, dan anak-anak dan mencerminkan bagaimana kediaman berbilang generasi masih merupakan norma masyarakat.

Gaya hidup sedemikian mendorong permintaan terhadap rumah yang menawarkan ruang pelbagai guna dan mampu disesuaikan untuk keperluan keluarga yang semakin berkembang. Dalam menentukan pilihan hartanah, rakyat Malaysia mendahulukan lokasi yang strategik, persekitaran yang selamat, serta kemudahan infrastruktur yang lengkap, jelas menunjukkan penekanan terhadap keselesaan dan kualiti hidup.

Kelestarian Menjadi Faktor Penentu Pemilihan Rumah

Kelestarian semakin menjadi pertimbangan utama dalam pemilihan rumah. 9 daripada 10 rakyat Malaysia sanggup menanggung kos lebih tinggi demi memiliki rumah yang dilengkapi dengan ciri-ciri kelestarian.

Hampir 4 daripada 5 rakyat Malaysia turut mengambil kira risiko bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh dalam pertimbangan mereka ketika memilih kediaman.

Antara elemen kelestarian yang paling mempengaruhi pilihan mereka termasuklah peralatan cekap tenaga, panel solar, ciri penjimatan air, serta kehadiran ruang hijau.

Keperluan ini juga semakin dicerminkan dalam industri hartanah. Ketika PropertyGuru Asia Property Awards, kelestarian telah ditetapkan sebagai kriteria wajib merentasi semua kategori penilaian, manakala anugerah ESG yang khusus turut diwujudkan bagi mengiktiraf pemaju yang benar-benar komited terhadap pembangunan yang bertanggungjawab dan mampan untuk jangka masa panjang.

Panduan Hartanah Untuk Rakyat Malaysia

Vic Sithasanan, Pengarah Urusan Malaysia, PropertyGuru dan iProperty, menyatakan bahawa hasil kajian ini menggambarkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap pemilikan hartanah.

“Pemilikan rumah terus menjadi lambang kestabilan, keselamatan dan asas kehidupan berkeluarga bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Pada hari ini kita dapat melihat kemunculan generasi baharu pencari hartanah yang lebih matang, lebih berpengetahuan, dan lebih berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan.”

Kepercayaan dan ketelusan kekal sebagai elemen penting dalam setiap keputusan berkaitan hartanah. Rakyat Malaysia menegaskan bahawa imej yang jelas, huraian yang lengkap, serta maklumat hartanah yang sahih mampu meningkatkan keyakinan mereka ketika menilai hartanah dalam talian.

“Misi kami di PropertyGuru dan iProperty adalah untuk membantu rakyat Malaysia dalam pencarian hartanah mereka. Kami menyediakan maklumat yang tepat dan telus, serta alat digital yang memudahkan mereka membuat keputusan dengan lebih yakin,” tambah Sithasanan pada Majlis Rumah Terbuka Raya bersama rakan media dan pempengaruh media sosial yang julung kali dianjurkan syarikat itu di pejabatnya di Kuala Lumpur.

Melalui platform mereka, PropertyGuru dan iProperty memperkasakan rakyat Malaysia melalui perkongsian data dan info hartanah yang disahkan, serta teknologi digital yang membantu pengguna membuat keputusan dengan mudah dalam pasaran hartanah yang serba dinamik.

Previous ArticleNext Article

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman