Sektor Hartanah Dijangka Catat Pertumbuhan Kukuh Pada 2025 – Rahim & Co


KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) — Pasaran hartanah tempatan dijangka mencatatkan pertumbuhan yang kukuh pada 2025, didorong oleh momentum yang mampan dalam pembangunan kediaman penghuni pemilik dan wujudnya industri baharu seperti pusat data dan tenaga boleh baharu.

Pengerusi Eksekutif Rahim & Co Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman berkata penggabungan pendigitalan, kemampanan, kesedaran terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta permintaan meningkat untuk kehidupan bandar bersepadu akan membentuk pasaran hartanah Malaysia.

“Dengan sokongan kerajaan yang berterusan seperti melalui insentif untuk rumah mampu milik, dasar mesra pelabur serta inisiatif bangunan hijau dan berasaskan teknologi, pasaran hartanah dijangka terus berkembang,” katanya pada pratonton laporan Kajian Pasaran Hartanah 2024/2025 syarikat itu hari ini.

Walaupun cabaran berterusan, prospek kekal positif untuk pemaju yang dapat menyesuaikan dengan keperluan pasaran yang sentiasa berubah.

Pengarah Penyelidikannya, Sulaiman Akhmady Mohd Saheh berkata pelaburan infrastruktur strategik, termasuk Laluan Rel Pantai Timur, Lebuhraya Pan Borneo dan Rapid Transit System akan mewujudkan peluang pelaburan baharu.

“Program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H) yang diperhalusi dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang akan datang juga dijangka menjana minat yang ketara.

“Dalam sektor komersial, walaupun terdapat tekanan penawaran, trend ‘flight-to-green’ dan ‘flight-to-quality’ akan mentakrifkan semula pasaran pejabat dan runcit, mewujudkan naratif baharu dalam segmen itu,” katanya, sambil menambah sentimen pada 2025 dijangka dipengaruhi oleh faktor seperti subsidi bahan api dan pelarasan tarif elektrik serta ketidaktentuan global.

Bagaimanapun, katanya permintaan untuk kawasan yang stabil dijangka kekal kukuh dan permintaan untuk rumah mampu milik akan berterusan, disokong oleh inisiatif kerajaan.

“Sektor peruncitan akan pulih secara berperingkat, dengan pusat beli-belah dan kedai baharu berkembang maju. Kadar penghunian pusat beli-belah dijangka bertambah baik berikutan pengusaha melaksanakan inovasi untuk meningkatkan pengalaman pengunjung,” katanya.

Dalam pasaran pejabat, katanya peralihan kepada model kerja jarak jauh dan hibrid sedang mentransformasikan permintaan terhadap ruang pejabat.

“Syarikat memberikan keutamaan kepada fleksibiliti, dengan pejabat berkembang menjadi hab kolaboratif berbanding ruang kerja tradisional.

“Mengambil kira ESG, dengan lokasi yang kaya dengan kemudahan dan akses pengangkutan yang mudah, menjadi pemacu utama kepada permintaan masa depan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Sime Darby Property: Strategi Pemilikan Aset Rendah Untuk Kembangkan Portfolio Aset

Saranan BELI dan harga sasar (TP) sebanyak MYR2.15 dikekalkan, harga saham berpotensi menaik 51% dengan kadar hasil dividen kira-kira 3% untuk FY26F

Kami memandang baik akan pelancaran New Economy Venture Fund (NEVF) oleh Sime Darby Property yang bernilai MYR1.25bn. Dengan adanya dana ini, SDPR akan mempunyai platform lebih besar untuk mempercepat usaha-usaha pembangunan pusat data (DC) dan aset-aset industri dan logistik yang lain tanpa membebankan kunci kira-kiranya. Dengan jangka hayat dana selama lima tahun, kami ramalkan SDPR akan mencapai pulangan lebih besar selepas penutupan dana tersebut, dan mungkin dengan menyuntik aset-aset yang dipegang dalam dana tersebut ke dalam aset REIT-nya yang akan datang.

Melonjakkan keyakinan

Dibangunkan dengan struktur patuh syariah secara menyeluruh, platform pelaburan bukan keperluan utama, NEVF mempunyai dana sehingga MYR1.25bn (dana utama: MYR1bn, dana sampingan: MYR250j). Dana ini menyaksikan pelibatan menggalakkan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), dan Great Eastern Life Assurance (Malaysia) (GELM).

Makluman: GELM juga pernah terlibat dalam Dana Pembangunan Perindustrian (IDF) milik SDPR pada tahun 2022. SDPR selaku rakan kongsi dan penaja am kepada NEVF, telahpun mengesahkan pelaburan bernilai MYR500.1j sebagai pelabur bersama pada penutupan pertama. Komitmen modal lain masing-masing ialah MYR100j + MYR250j (dana sampingan) daripada KWSP, MYR200j daripada LTAT, dan MYR199.9j daripada GELM.

Tumpuan pada aset-aset DC dan industri

Penubuhan NEVF dirangkakan dengan penuh strategik dan ia akan membuat pelaburan dalam bangunan DC yang dibina mengikut kehendak pelanggan untuk tujuan pajakan, dan juga pembangunan industri dan logistik dalam projek-projek SDPR. Pada pandangan kami, dana ini merupakan satu pencapaian penting lebih-lebih lagi apabila Taman Perniagaan Elmina (EBP) semakin mendapat keuntungan sementara pihak pengurusan mengutamakan model pembinaan yang sesuai dengan kehendak penyewa untuk tujuan pajakan bagi pembangunan-pembangunan industri yang akan datang untuk mengembangkan portfolio pendapatan berulangnya.

SDPR juga giat membangunkan taman-taman perindustrian lain seperti Bandar Bukit Raja, Vision Business Park, Bandar Universiti Pagoh, maka ada banyak peluang untuk ia mengembangkan portfolio asetnya. Semakin banyak pemain dan syarikat multinasional dilihat membina fasiliti penyimpanan di taman-taman perindustrian milik SDPR. Selain DC2, kami fikir pusat pengedaran automatik milik Mydin yang bernilai MYR450j (kawasan binaan: 786,000kps) di EBP mungkin akan dimasukkan dalam NEVP ini.

Lebih banyak suntikan aset akan dilaksanakan

Walaupun NEVP bernilai MYR1.25bn ini akan membentuk bahagian “ekuiti” dalam pelaburan aset, berdasarkan nisbah hutang berbanding ekuiti sebanyak 70:30, NEVP mungkin akan membuat hutang berjumlah MYR2.9-3bn. Hal ini sekali gus menjadikan jumlah saiz dana selepas hutang (atau modal) mencecah sekitar MYR4.25bn. Dengan ini, ia akan berupaya menyerap lebih banyak aset industri (yang akan dibangunkan) kelak. IRR untuk dana ini adalah sekitar 10-15%.

Kesan minimum pada perolehan jangka dekat

Kami meramalkan SDPR akan mengiktiraf keuntungan penjualan aset sebaik sahaja aset-aset berkaitan disuntikkan ke dalam dana ini. Pendapatan berasaskan bayaran semasa jangka hayat NEVP sepatutnya agak rendah.

Asas Penilaian

Penilaian SOP kami melibatkan:
i. Diskaun 30% pada RNAV untuk segmen hartanah
ii. DCF untuk pelaburan pusat datanya.

Faktor Pemacu Utama

Pemilikan bank tanah yang besar

Risiko Utama

Keadaan pasaran lebih lemah daripada jangkaan

Profil Syarikat

Sime Darby Property ialah pemilik tanah tebesar antara semua pemaju yang tersenarai, dengan pelbagai perbandaran, dan juga pembangunan komersial dan bersepadu.

Carta Saranan

Penganalisis
Loong Kok Wen, CFA +603 2302 8116 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.