Sektor Hartanah Kekal Mencabar Pada 2023 Berikutan Penawaran Berlebihan

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) — Sektor hartanah akan kekal mencabar menjelang 2023 serta memerlukan banyak pembetulan pasaran berikutan penawaran berlebihan hartanah dalam sektor dan lokasi tertentu di negara ini, kata pemaju. 

Pengarah Urusan Malaysian Resources Corp Bhd Mohd Imran Mohamad Salim berkata impak pandemik COVID-19 terhadap pasaran hartanah adalah sangat ketara, selain inflasi, kenaikan kadar faedah, kelembapan produktiviti, kekurangan tenaga kerja dan isu dalam rantaian bekalan, yang sama ada meningkatkan kos atau mengurangkan produktiviti.

Pada masa sama, jualan hartanah telah terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta sekatan yang dilaksanakan sepanjang 2020 dan 2021, katanya semasa webinar MARC360 Malaysian Rating Corporation Bhd hari ini yang bertemakan Unjuran Hartanah 2023. 

“Kami berhadapan dengan tahun-tahun yang agak mencabar akan datang dan apa yang sangat penting untuk diperhatikan sekarang ialah kami melihat pemain industri sedang melihat semula kepada asas perniagaan mereka. 

“Pemaju kini memberi tumpuan untuk mengekalkan kos mereka agar lebih rendah sambil meneliti jenis produk yang akan dipasarkan,” katanya.

Mohd Imran berkata industri itu juga sedang memikirkan cara dan kaedah bagi melancarkan produk memandangkan terdapat penawaran berlebihan dalam hartanah di sektor dan lokasi tertentu di negara ini.

Untuk menangani perkara ini, pemaju akan menghasilkan cara yang sangat inovatif dalam melakukan jualan dan mempromosikan produk mereka, bahkan melanjutkan penghijrahan dari satu sektor hartanah ke sektor yang lain. 

Beliau menambah untuk pengguna, sekarang adalah masa yang sangat baik bagi membeli kerana sektor hartanah sedang mengalami kitaran untuk menangani stok yang sedia ada, selain banyak tawaran yang inovatif.

Sementara itu, seorang lagi ahli panel, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Bhd Datuk Azmir Merican berkata prospek pasaran hartanah tahun depan mungkin tidak sebaik pada 2022 tetapi apa yang dilihat tahun ini memberi harapan bahawa sektor itu mungkin mengatasi prospek yang sedikit suram. 

Permintaan untuk hartanah pada 2023 dijangka tidak jatuh mendadak di tengah-tengah kelembapan yang dijangkakan. 

“Jika melihat kepada data industri hartanah pada 2022, jumlah dagangan telah melonjak sebanyak 70 peratus dengan kira-kira 105,000 transaksi dan nilai transaksi naik  30 peratus kepada RM47 bilion.

 “Kami melihat ini agak stabil dan saya tidak meramalkan permintaan akan berkurangan memandangkan sektor berkenaan sedang mengalami pemulihan ketara tahun ini selepas didorong oleh permintaan terpendam,” katanya. 

Mengenai prospek ekonomi bagi 2023, Ketua Ekonomi dan Penyelidikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kadar faedah yang lebih tinggi di pasaran maju terutamanya kenaikan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menjadi pemacu utama pesimisme pasaran, yang mana, keadaan ini boleh membawa kepada prestasi negatif dalam pasaran kewangan terutamanya ekuiti,  pendapatan tetap dan mata wang. 

“Isu-isu yang menyelubungi dasar sifar COVID China dan perang di Ukraine juga telah (menyebabkan) gangguan rantaian bekalan dan inflasi makanan.

“Pembukaan semula ekonomi juga diterjemahkan kepada permintaan terpendam yang memerlukan pelarasan menaik dalam kadar dasar bank pusat,” katanya. 

Melangkah ke hadapan, Mohd Afzanizam memberitahu momentum pertumbuhan akan melemah pada 2023 kerana kesan kenaikan kadar faedah lepas akan mula memberi kesan material kepada ekonomi sebenar, memandangkan ekonomi maju terutama di Eropah dan sedikit sebanyak, AS sangat terdedah kepada risiko kemelesetan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman