Cara Pengiraan Zakat Emas

Hukum asal sebarang bentuk pemakaian tidak diwajibkan zakat. Dengan dijadikan emas sebagai barang perhiasan dan kegunaan peribadi, emas berkenaan tidak lagi bersifat subur dan berkembang.

Namun barang perhiasan tetap diwajibkan zakat sekiranya pemakaiannya terlalu banyak sehingga berlebihan dan melampaui kadar yang biasa (uruf) dipakai.

Apa yang berlebihan dengan adat dan kebiasaan adalah dilarang atau tidak digalakkan oleh syariah. Yusuf al-Qaradawi menyebut perhiasan wanita yang diperbuat selain emas dan perak, seperti mutiara, berlian dan batu berharga dikecualikan zakat, kerana ia dikhaskan untuk kegunaan peribadi dan tidak dianggap sebagai aset yang berkembang.

1. Emas Perhiasan Dipakai

Wilayah Persekutuan telah menetapkan kadar uruf (kadar kebiasaan) emas perhiasan sebanyak 800 gram. Justeru sebarang pemakaian yang berulang ataupun sekali dalam tempoh setahun melebihi 800 gram wajib dikeluarkan zakat ke atasnya.

Sebagai contoh, sekiranya jumlah emas perhiasan yang dipakai dalam tempoh setahun ialah 900 gram:

= Berat emas dipakai (jika melebihi nilai uruf Nota 1) x Harga Emas Semasa x 2.5% Kadar Zakat
= 900 gram x RM260 (contoh) x 2.5%
= RM5,850.00

2. Emas Yang Disimpan (Tidak Dipakai)

Emas yang disimpan adalah emas yang tidak dipakai, iaitu emas yang benar-benar menjadi simpanan dan tidak digunakan sebagai perhiasan walaupun fizikalnya sama seperti emas perhiasan. Ianya termasuk barang kemas yang tidak dipakai kerana sudah rosak atau lama.

Ianya juga termasuk barang perhiasan yang dimiliki oleh lelaki sungguhpun pemakaiannya haram disisi syarak. Jika jumlah berat emas yang disimpan itu menyamai atau melebihi nisab 85 gram, serta melepasi tempoh masa 12 bulan atau setahun (cukup haul), maka wajib dikeluarkan zakat keatasnya sebanyak 2.5 peratus (%).

Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Tiada wajib atas kamu sesuatu pun iaitu pada emas sehingga ada 20 dinar (85 gram) dan telah cukup haul wajib padanya setengah dinar. Apa yang lebih dari itu, mengikut kiraan yang sama.

HR Abu Dawud

Formula Kiraan

Berat emas disimpan (jika melebihi nilai nisab Nota 2) x Harga Emas Semasa x 2.5% Kadar Zakat

Sebagai contoh, sekiranya jumlah emas yang disimpan dalam tempoh setahun ialah 200 gram maka,

= Berat emas dipakai x Harga emas semasa 1gram x Kadar Zakat 2.5%
= 200 gram x RM260 (contoh) x 2.5%
= RM1,300.00

3. Emas Pelaburan Patuh Syariah

Pelaburan emas yang patuh syarak lazimnya dibahagikan kepada dua bentuk iaitu,

  • Pelaburan dalam emas fizikal
  • Pelaburan dalam bentuk akaun emas (Passbook)

Pelaburan Emas Fizikal

Emas fizikal yang dimiliki lazimnya diniatkan sebagai pelaburan untuk mendapatkan keuntungan. Biasanya emas ini berbentuk syiling, jongkong, bar dan wafer. Wajib dizakatkan sekiranya berat emas menyamai atau melebihi nisab 85 gram.

Sebagai contoh, jumlah emas yang dimiliki diniatkan untuk pelaburan adalah sebanyak 400 gram maka:

Zakat Emas (pelaburan/perniagaan)

= Berat Emas x Harga Semasa x 2.5%

= 400 gram x RM260 (contoh) x 2.5%

= RM2,600

Akaun Emas (Passbook)

Terdapat bank menawarkan emas pelaburan berbentuk passbook atau Akaun Simpanan Emas. Akaun ini mencatatkan jumlah simpanan dalam unit gram emas yang dilaburkan.

Pelaburan yang patuh syarak ialah fizikal emas itu wujud dan boleh dimiliki oleh pelabur. Wajib dizakatkan sekiranya ada niat pelaburan dan berat emas mencukupi nisab 85 gram.

Sebagai contoh, jika jumlah emas yang dimiliki dalam passbook sebanyak 200 gram maka:

Zakat Emas (pelaburan/perniagaan)

= Berat Emas x Harga Semasa x 2.5%

= 200 gram x RM260 (contoh) x 2.5%

= RM1,300

4. Emas Pelaburan Tidak Patuh Syariah

Pelaburan emas yang tidak patuh syarak lazimnya dibahagikan kepada dua bentuk iaitu;

  • Pelaburan dalam bentuk akaun emas (Passbook) yang tidak menyediakan emas fizikal
  • Pelaburan emas melalui alam maya

Akaun Emas (Passbook) Tanpa Fizikal Emas

Emas pelaburan passbook atau akaun simpanan emas tidak patuh syarak sekiranya tiada pegangan emas fizikal. Zakat hanya dikenakan ke atas pelaburan pokok sahaja sekiranya jumlahnya melebihi nilai nisab tahunan. Ia dikira mengikut formula Zakat Wang Simpanan.

Akaun Emas Maya

Emas maya adalah emas yang diniagakan untuk pelaburan secara bukan fizikal. Perniagaan emas maya menggunakan platform elektronik. Pelabur yang mempunyai akaun di broker tertentu boleh membuat arahan belian dan jualan emas dengan harga semasa dipaparkan di platform tetapi tidak boleh menuntut emas fizikal yang dibelinya.

Memandangkan jualbeli emas ini tidak melibatkan emas fizikal maka ia adalah tidak patuh syariah. Zakat hanya dikenakan ke atas pelaburan pokok sekiranya jumlah melebihi kadar nisab tahunan. Ia dikategorikan sebagai bayaran Zakat Wang Simpanan.

Kaedah kiraan Zakat emas pelaburan tidak patuh syarak:

Zakat

= Pelaburan pokok @ baki terendah x kadar zakat

= RM40,000 (contoh) x 2.5%

= RM1,000

Nota 1: Uruf Emas ialah kebiasaan pemakaian emas masyarakat setempat. Berat uruf emas di Wilayah Persekutuan bersamaan dengan 800 gram.
Nota 2: Nisab ialah nilai semasa 85 gram emas.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pos Malaysia Memperkenalkan Pos ArRahnu Gold-i, Platform Simpanan Emas Patuh Syariah Bermula Serendah RM10

KUALA LUMPUR, 13 Julai 2026 –Pos Malaysia Berhad (“Pos Malaysia” atau “Syarikat”) hari ini melancarkan Pos ArRahnu Gold-i, sebuah perkhidmatan emas digital patuh Syariah yang membolehkan rakyat Malaysia mula menyimpan dan melabur dalam emas serendah RM10 menerusi platform yang mudah dan selamat.

Majlis pelancaran diadakan di ibu pejabat Pos Malaysia di Dayabumi, Kuala Lumpur, dan disempurnakan oleh Encik Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, bersama-sama Encik Fong Pok Yee, Ketua Pegawai Eksekutif Go Capital Growth Sdn Bhd, dan Encik Hong Kok Wah, Pengurus Besar Go Capital Growth Sdn Bhd. Turut hadir ialah wakil daripada Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), SIRIM QAS International Sdn Bhd, Pasukan Pengurusan Kanan Pos Malaysia, wakil media serta tokoh berpengaruh (key opinion leaders).

Dilancarkan dengan kerjasama Go Capital Growth Sdn Bhd, Pos ArRahnu Gold-i menggabungkan jangkauan runcit dan digital Pos Malaysia yang dipercayai dengan kepakaran emas Go Capital Growth, sekali gus memberikan pelanggan cara yang praktikal dan mudah diakses untuk memulakan perjalanan simpanan emas mereka.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, emas kekal sebagai simpanan kekayaan yang bernilai. Pos ArRahnu Gold-i menyahut permintaan ini dengan menjadikan pelaburan emas lebih mudah dimulakan bagi penyimpan kali pertama, golongan belia yang bekerja, keluarga dan pelanggan B40.

“Emas sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam kehidupan rakyat Malaysia, melambangkan keselamatan, kestabilan dan sesuatu yang boleh dibina serta diwariskan daripada satu generasi ke generasi seterusnya,” kata Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia.

“Menerusi Pos ArRahnu Gold-i, kami memudahkan pelanggan untuk memulakan simpanan secara kecil-kecilan dan membina simpanan mereka dengan cara yang mudah serta berpatutan. Dengan titik permulaan hanya RM10, pelanggan boleh mengambil langkah pertama ke arah membina jaminan kewangan jangka panjang menerusi perkhidmatan dan rangkaian yang telah pun mereka kenali.”

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Pos Malaysia dan Pos ArRahnu sebagai pembekal dipercayai bagi emas tempaan premium dan platform emas digital untuk Pos ArRahnu Gold-i. Komitmen kami adalah untuk sentiasa menyediakan produk emas fizikal yang memenuhi piawaian kebangsaan yang diiktiraf, termasuk SIRIM MS1247 dan NMIM. Emas bukan sekadar logam berharga; ia merupakan warisan kepercayaan, ketahanan dan nilai yang berkekalan. Menerusi kerjasama ini, kami berbangga dapat menyokong Pos Malaysia dalam menjadikan warisan itu lebih mudah diakses, berkualiti tinggi dan boleh dipercayai, sekali gus membantu membentuk masa depan kewangan yang lebih kukuh untuk seluruh rakyat Malaysia,” kata Encik Fong Pok Yee, Ketua Pegawai Eksekutif Go Capital Growth.

Memperluas Akses kepada Simpanan Emas

Berteraskan lebih 200 tahun kepercayaan dan jangkauan seluruh negara, Pos Malaysia terus memperluas perkhidmatannya melangkaui tawaran pos dan logistik tradisional bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang sentiasa berubah menerusi penyelesaian yang mudah, praktikal dan bernilai tambah.

Pos ArRahnu Gold-i menggabungkan jangkauan nasional Pos Malaysia dengan jaminan emas yang diiktiraf, titik permulaan yang rendah serta fleksibiliti untuk membeli, menjual atau menukar emas menerusi saluran digital atau cawangan Pos ArRahnu di seluruh Malaysia.

Memudahkan Simpanan Emas

Pos ArRahnu Gold-i menawarkan pelbagai kelebihan yang memudahkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mula menyimpan dan memiliki emas dengan mudah:

  • Mula menyimpan dan melabur dalam emas serendah RM10.
  • Beli, jual dan kumpul emas secara digital berdasarkan harga pasaran masa nyata.
  • Nikmati jurang harga beli dan jual emas yang rendah, antara yang terendah dalam pasaran, menjadikan simpanan emas lebih kompetitif dan mudah diakses.
  • Tukar emas digital kepada emas fizikal atau tunai apabila diperlukan.
  • Jejak, beli dan urus pegangan emas menerusi platform digital mesra pengguna (posarrahnugold.ace2u.com) dengan paparan portfolio masa nyata.
  • Nikmati had belian semula (buyback threshold) yang fleksibel bermula daripada 0.5g.
  • Akses kepada platform yang patuh Syariah sepenuhnya, disokong oleh pentauliahan dan pengesahan yang diiktiraf.

Emas yang ditawarkan menerusi Pos ArRahnu Gold-i disokong oleh pentauliahan dan pengesahan daripada badan berkaitan yang diiktiraf termasuk London Bullion Market Association (LBMA), SIRIM dan Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), memberikan jaminan yang lebih tinggi terhadap ketulenan, kualiti dan ketelusan.

Sempena pelancaran ini, Pos ArRahnu turut memperkenalkan produk emas pilihan, termasuk jongkong emas edisi khas “Pos World” 1g, yang dihadkan kepada 500 keping sahaja dan boleh diperoleh bersama-sama produk lain di cawangan Pos ArRahnu di seluruh negara.

Menyokong Rangkuman Kewangan yang Lebih Meluas

Bagi Pos Malaysia, rangkuman kewangan (financial inclusion) bermakna menjadikan penyelesaian yang praktikal dan dipercayai lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia. Dengan lebih sedekad pengalaman berkaitan emas menerusi Pos ArRahnu, Syarikat menggabungkan kemudahan digital, jaminan yang diiktiraf serta akses patuh Syariah dalam satu penyelesaian yang fleksibel.

Menerusi gabungan tradisi dan teknologi, perkhidmatan ini bertujuan membantu pelanggan membina tabiat menyimpan yang sihat dan mengukuhkan masa depan kewangan mereka.

Pos ArRahnu Gold-i tersedia mulai 13 Julai 2026 di outlet Pos ArRahnu yang mengambil bahagian di seluruh negara serta menerusi perkhidmatan digitalnya. Pelanggan yang berminat untuk memulakan perjalanan simpanan emas mereka boleh melayari posarrahnugold.ace2u.com, mendaftar, melengkapkan eKYC dengan mengimbas kad pengenalan, dan membeli emas serendah RM10 terus menerusi laman web tersebut. Pelanggan digalakkan untuk menyemak terma produk sebelum menyertainya, memandangkan harga emas tertakluk kepada pergerakan pasaran.

Berpandukan matlamatnya untuk membina kepercayaan bagi menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang, Pos Malaysia terus mencipta akses, keyakinan dan peluang yang lebih luas untuk komuniti yang dilayaninya.

Ikuti perkembangan Pos Malaysia menerusi www.pos.com.my atau saluran media sosial kami di Facebook, X, Instagram, TikTok, YouTube dan LinkedIn.