Industri Barang Kemas Kekal Berdaya Tahan Walaupun Harga Emas Meningkat

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) — Sektor barang kemas Malaysia kekal berdaya tahan, dengan permintaan kukuh yang berterusan walaupun harga emas meningkat, sebahagian besarnya didorong oleh menghargai emas bukan sahaja sebagai perhiasan tetapi juga sebagai simbol kekayaan dan pelaburan yang dipercayai atau aset selamat.

Menurut Pengerusi Eksekutif Habib Jewels Sdn Bhd (Habib Group) Datuk Seri Meer Habib, kenaikan harga emas tidak menghalang pembeli Malaysia untuk terus membeli logam berharga itu.

Sehingga 17 Mac, harga emas dicatatkan pada RM426.71 segram, berdasarkan data oleh FXStreet.

“Apabila harga sesuatu produk meningkat, permintaan biasanya berkurangan. Bagaimanapun, dalam kes kami, keadaan adalah sebaliknya. Rakyat Malaysia – sama ada Melayu, Cina atau India – mempunyai amalan yang telah lama wujud dalam membeli emas.

“Mereka melihatnya sebagai pelaburan yang dipercayai dan apabila harga naik, keyakinan terhadap emas (sebenarnya) meningkat, membawa kepada lebih banyak pembelian,” katanya kepada Bernama.

Mendepani Kenaikan Kos Melalui Inovasi dan Kemampanan

Walaupun permintaan kekal kukuh, peruncit barang kemas sedang menyesuaikan diri dengan inovasi untuk memastikan harga mampu milik. Habib Group telah memperkenalkan teknik pembentukan elektro yang membolehkan penghasilan barang kemas bersaiz besar tetapi ringan, memberikan pelanggan ilusi barang kemas yang mewah tanpa harga yang tinggi.

“Kami juga menawarkan kepingan emas tulen 999 dan barangan yang lebih berat bagi mereka yang memilih emas sebagai pelaburan.  

“Dalam pasaran e-dagang yang semakin berkembang, kami memberi tumpuan kepada barangan yang lebih ringan untuk memenuhi keperluan pembeli dalam talian,” kata Meer.

Selain inovasi reka bentuk, katanya kemampanan memainkan peranan penting dalam menguruskan kos. 

Habib Group menjalankan program belian semula emas iaitu pelanggan boleh menukar barang kemas lama pada harga yang kompetitif.

“Syarikat sama ada melebur dan menapis semula emas untuk dijadikan barangan baharu atau menjual semula barang kemas terpakai di bawah jenama Chantique kami.

“Pendekatan ini mesra alam dan menawarkan alternatif yang lebih mampu milik bagi mereka yang ingin melabur dalam barang kemas,” katanya.

Emas Sebagai Pelaburan Selamat Dalam Ketidaktentuan Ekonomi

Meer, yang telah menerajui jenama barang kemas terkemuka Malaysia sejak 1986 berkata harga emas telah meningkat hampir dua kali ganda sejak pandemik COVID-19, mengukuhkan statusnya sebagai aset selamat.

Beliau berkata emas telah mengekalkan nilainya sejak dahulu walaupun semasa ekonomi tidak stabil.

“Lebih 1,400 tahun lepas, satu dinar boleh membeli seekor kambing dan hari ini, nilainya masih sama. Bagaimanapun, syiling 20 sen dari dahulu telah kehilangan kuasa belinya. Emas merupakan lindung nilai terhadap inflasi dan mengekalkan nilainya dari semasa ke semasa,” katanya.

Nilai emas yang berterusan ini turut disokong oleh ketegangan geopolitik yang meningkat dan strategi bank-bank pusat, yang terus mendorong permintaan.

“Negara seperti China dan Rusia membeli dan menyimpan emas manakala dana dagangan bursa yang disokong emas turut meningkatkan pelaburan global dalam logam berharga ini,” katanya.

Walaupun sesetengah penganalisis mengunjurkan sedikit penurunan harga emas disebabkan perubahan dasar ekonomi, Meer percaya prospek jangka panjang kekal kukuh.

“Julat harga semasa adalah antara US$2,700 (US$1=RM4.43) dan US$3,000 setiap auns troy. Penurunan kecil sehingga 10 peratus boleh berlaku jika tarif global berkurangan tetapi secara keseluruhannya, emas kekal sebagai pelaburan jangka panjang yang kukuh,” katanya.

Permintaan Musim Perayaan dan Masa Depan Industri Emas Malaysia

Pada Ramadan dan menjelang Hari Raya, jualan emas meningkat berikutan rakyat Malaysia membeli barang kemas untuk sambutan perayaan.

“Pada waktu ini, kami lebih sibuk daripada biasa. Walaupun harga tinggi, mereka yang telah melabur sebelum ini mula menikmati manfaatnya.

“Permintaan bukan sahaja tertumpu kepada barang kemas. Perkhidmatan pajak gadai Islam berasaskan emas seperti Ar-Rahnu Express oleh Habib Jewels turut mencatatkan aktiviti yang meningkat terutamanya dalam kalangan peniaga kecil yang menggunakan emas sebagai cagaran untuk pembiayaan perniagaan,” katanya. 

Meer menegaskan bahawa emas bukan sekadar barangan mewah tetapi juga alat kewangan, tradisi budaya dan pelaburan jangka panjang.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Memperkenalkan Pos ArRahnu Gold-i, Platform Simpanan Emas Patuh Syariah Bermula Serendah RM10

KUALA LUMPUR, 13 Julai 2026 –Pos Malaysia Berhad (“Pos Malaysia” atau “Syarikat”) hari ini melancarkan Pos ArRahnu Gold-i, sebuah perkhidmatan emas digital patuh Syariah yang membolehkan rakyat Malaysia mula menyimpan dan melabur dalam emas serendah RM10 menerusi platform yang mudah dan selamat.

Majlis pelancaran diadakan di ibu pejabat Pos Malaysia di Dayabumi, Kuala Lumpur, dan disempurnakan oleh Encik Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, bersama-sama Encik Fong Pok Yee, Ketua Pegawai Eksekutif Go Capital Growth Sdn Bhd, dan Encik Hong Kok Wah, Pengurus Besar Go Capital Growth Sdn Bhd. Turut hadir ialah wakil daripada Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), SIRIM QAS International Sdn Bhd, Pasukan Pengurusan Kanan Pos Malaysia, wakil media serta tokoh berpengaruh (key opinion leaders).

Dilancarkan dengan kerjasama Go Capital Growth Sdn Bhd, Pos ArRahnu Gold-i menggabungkan jangkauan runcit dan digital Pos Malaysia yang dipercayai dengan kepakaran emas Go Capital Growth, sekali gus memberikan pelanggan cara yang praktikal dan mudah diakses untuk memulakan perjalanan simpanan emas mereka.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, emas kekal sebagai simpanan kekayaan yang bernilai. Pos ArRahnu Gold-i menyahut permintaan ini dengan menjadikan pelaburan emas lebih mudah dimulakan bagi penyimpan kali pertama, golongan belia yang bekerja, keluarga dan pelanggan B40.

“Emas sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam kehidupan rakyat Malaysia, melambangkan keselamatan, kestabilan dan sesuatu yang boleh dibina serta diwariskan daripada satu generasi ke generasi seterusnya,” kata Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia.

“Menerusi Pos ArRahnu Gold-i, kami memudahkan pelanggan untuk memulakan simpanan secara kecil-kecilan dan membina simpanan mereka dengan cara yang mudah serta berpatutan. Dengan titik permulaan hanya RM10, pelanggan boleh mengambil langkah pertama ke arah membina jaminan kewangan jangka panjang menerusi perkhidmatan dan rangkaian yang telah pun mereka kenali.”

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Pos Malaysia dan Pos ArRahnu sebagai pembekal dipercayai bagi emas tempaan premium dan platform emas digital untuk Pos ArRahnu Gold-i. Komitmen kami adalah untuk sentiasa menyediakan produk emas fizikal yang memenuhi piawaian kebangsaan yang diiktiraf, termasuk SIRIM MS1247 dan NMIM. Emas bukan sekadar logam berharga; ia merupakan warisan kepercayaan, ketahanan dan nilai yang berkekalan. Menerusi kerjasama ini, kami berbangga dapat menyokong Pos Malaysia dalam menjadikan warisan itu lebih mudah diakses, berkualiti tinggi dan boleh dipercayai, sekali gus membantu membentuk masa depan kewangan yang lebih kukuh untuk seluruh rakyat Malaysia,” kata Encik Fong Pok Yee, Ketua Pegawai Eksekutif Go Capital Growth.

Memperluas Akses kepada Simpanan Emas

Berteraskan lebih 200 tahun kepercayaan dan jangkauan seluruh negara, Pos Malaysia terus memperluas perkhidmatannya melangkaui tawaran pos dan logistik tradisional bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang sentiasa berubah menerusi penyelesaian yang mudah, praktikal dan bernilai tambah.

Pos ArRahnu Gold-i menggabungkan jangkauan nasional Pos Malaysia dengan jaminan emas yang diiktiraf, titik permulaan yang rendah serta fleksibiliti untuk membeli, menjual atau menukar emas menerusi saluran digital atau cawangan Pos ArRahnu di seluruh Malaysia.

Memudahkan Simpanan Emas

Pos ArRahnu Gold-i menawarkan pelbagai kelebihan yang memudahkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mula menyimpan dan memiliki emas dengan mudah:

  • Mula menyimpan dan melabur dalam emas serendah RM10.
  • Beli, jual dan kumpul emas secara digital berdasarkan harga pasaran masa nyata.
  • Nikmati jurang harga beli dan jual emas yang rendah, antara yang terendah dalam pasaran, menjadikan simpanan emas lebih kompetitif dan mudah diakses.
  • Tukar emas digital kepada emas fizikal atau tunai apabila diperlukan.
  • Jejak, beli dan urus pegangan emas menerusi platform digital mesra pengguna (posarrahnugold.ace2u.com) dengan paparan portfolio masa nyata.
  • Nikmati had belian semula (buyback threshold) yang fleksibel bermula daripada 0.5g.
  • Akses kepada platform yang patuh Syariah sepenuhnya, disokong oleh pentauliahan dan pengesahan yang diiktiraf.

Emas yang ditawarkan menerusi Pos ArRahnu Gold-i disokong oleh pentauliahan dan pengesahan daripada badan berkaitan yang diiktiraf termasuk London Bullion Market Association (LBMA), SIRIM dan Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), memberikan jaminan yang lebih tinggi terhadap ketulenan, kualiti dan ketelusan.

Sempena pelancaran ini, Pos ArRahnu turut memperkenalkan produk emas pilihan, termasuk jongkong emas edisi khas “Pos World” 1g, yang dihadkan kepada 500 keping sahaja dan boleh diperoleh bersama-sama produk lain di cawangan Pos ArRahnu di seluruh negara.

Menyokong Rangkuman Kewangan yang Lebih Meluas

Bagi Pos Malaysia, rangkuman kewangan (financial inclusion) bermakna menjadikan penyelesaian yang praktikal dan dipercayai lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia. Dengan lebih sedekad pengalaman berkaitan emas menerusi Pos ArRahnu, Syarikat menggabungkan kemudahan digital, jaminan yang diiktiraf serta akses patuh Syariah dalam satu penyelesaian yang fleksibel.

Menerusi gabungan tradisi dan teknologi, perkhidmatan ini bertujuan membantu pelanggan membina tabiat menyimpan yang sihat dan mengukuhkan masa depan kewangan mereka.

Pos ArRahnu Gold-i tersedia mulai 13 Julai 2026 di outlet Pos ArRahnu yang mengambil bahagian di seluruh negara serta menerusi perkhidmatan digitalnya. Pelanggan yang berminat untuk memulakan perjalanan simpanan emas mereka boleh melayari posarrahnugold.ace2u.com, mendaftar, melengkapkan eKYC dengan mengimbas kad pengenalan, dan membeli emas serendah RM10 terus menerusi laman web tersebut. Pelanggan digalakkan untuk menyemak terma produk sebelum menyertainya, memandangkan harga emas tertakluk kepada pergerakan pasaran.

Berpandukan matlamatnya untuk membina kepercayaan bagi menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang, Pos Malaysia terus mencipta akses, keyakinan dan peluang yang lebih luas untuk komuniti yang dilayaninya.

Ikuti perkembangan Pos Malaysia menerusi www.pos.com.my atau saluran media sosial kami di Facebook, X, Instagram, TikTok, YouTube dan LinkedIn.