Seramai 6,287 Peserta Sertai Inisiatif Pendapatan Rakyat Sehingga 17 Mac


KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) — Seramai 6,287 peserta yang telah diluluskan menyertai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) iaitu Inisiatif Usahawatan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Basmi Miskin Tegar (BMT) sehingga 17 Mac 2025.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata menerusi IPR-INTAN, seramai 517 daripada 3,628 peserta yang diluluskan berjaya meraih hasil jualan bagi pusingan pertama.

Beliau berkata secara umumnya, peserta berupaya meraih julat pendapatan bulanan berjumlah antara RM2,000 hingga RM6,000 bagi pelaksanaan program itu.

“Bagaimanapun, memandangkan peserta IPR-INTAN diberikan elaun prapenuaian bulanan berjumlah RM500, maka sebahagian besar daripada mereka telah berjaya meraih pendapatan melebihi RM1,700,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai jumlah peserta yang berjaya menyertai program IPR mengikut kategori dan jumlah yang telah melepasi garis pendapatan RM1,700.

Hanifah berkata bagi IPR-INSAN pula, sejumlah 374 peserta program rintis telah mendapat manfaat daripada program itu dengan purata jualan harian peserta adalah antara RM90 hingga RM400.

Daripada jumlah peserta itu, seramai 199 peserta berjaya meraih purata hasil jualan melebihi RM1,700 berdasarkan rekod jualan bagi Disember 2024 dan Januari 2025, katanya.

Selain itu, di bawah IPR-BMT, sejumlah 2,285 ketua isi rumah miskin tegar di seluruh negara telah diluluskan projek dan program berkaitan peningkatan pendapatan.

“Daripada jumlah berkenaan, seramai 411 peserta telah berjaya melepasi paras garis kemiskinan tegar iaitu RM1,198, merangkumi 376 peserta yang telah berjaya meraih pendapatan minimum bulanan berjumlah RM1,700,” kata Hanifah Hajar.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA