Pelaburan Emas, Sesuai Untuk Anda Atau Tidak?

Ramai yang dah terlibat atau tahu mengenai potensi pelaburan emas. Tetapi sebelum nak tahu sama ada nak melabur dalam emas atau tidak, jom kita berkenalan dengannya terlebih dahulu.

Pelaburan emas adalah pembelian emas sama ada dalam bentuk emas fizikal seperti barangan perhiasan dan jongkong emas atau produk kewangan berasaskan emas yang ditawarkan bagi tujuan mendapatkan pulangan nilai yang besar / keuntungan.

Apakah Hukum Pelaburan Emas Dalam Islam?

Selagi aktiviti jual beli sebegini menepati semua rukun yang telah ditetapkan oleh syarak, ianya adalah sah. Namun begitu, sekiranya transaksi tersebut tidak menepati salah satu rukun jual beli, transaksi tersebut dianggap tidak sah.

Ini kerana emas merupakan barang ribawi, maka syarat ketat perlu dipatuhi untuk memastikan ianya patuh syariah.

Apakah Teknik Asas Pelaburan Emas?

  1. Membeli emas pada harga rendah dan menjual pada harga tinggi

Pembeli boleh memilih mana-mana masa untuk membeli atau membuat pelaburan emas mengikut keadaan pasaran ekonomi yang sesuai. Sebagai contoh, pengumuman penemuan vaksin Covid-19 pada penghujung tahun lalu menjadi faktor utama kejatuhan harga emas.

Sejurus dengan pengumuman itu, ramai orang kelihatan mengambil kesempatan untuk membeli emas sebagai pelaburan/simpanan kerana dianggap harga murah. Apabila pasaran harga emas kembali meningkat, anda boleh memilih samada ingin menjual emas tersebut atau terus menyimpan mengikut keperluan.

  1. Peruntukan wang untuk emas

Walaupun pelaburan emas ini sangat menguntungkan dan merupakan simpanan aset yang stabil, anda perlu bijak  dalam memperuntukkan wang untuk pelaburan. Sebaiknya hanya melabur sebahagian sahaja daripada wang anda, bukan kesemuanya.

Baki peruntukan wang boleh digunakan untuk melabur dalam aset lain, seperti saham, hartanah dan lain-lain.

Apakah Kelebihan Pelaburan Emas?

  1. Bersifat universal

Emas berbeza dengan mata wang di mana emas bersifat universal kerana ia boleh dijual di mana-mana kedai emas seluruh dunia. Sebagai contoh, jenama emas yang diiktiraf oleh London Bullion Market Association (LBMA) diiktiraf diseluruh dunia.

Jenama emas ini boleh didapati di mana-mana cawangan di Malaysia.

  1. Pelindung Nilai

Emas bukan sahaja boleh menjadi barangan aset perhiasan kepada wanita malah merupakan penyimpan nilai yang baik kerana mempunyai nilai yang stabil walaupun ekonomi dalam keadaan tidak stabil serta kejatuhan mata wang berlaku.

  1. Mudah ditukarkan kepada tunai

Selain itu, emas mempunyai kecairan aset yang sangat tinggi iaitu mudah ditukarkan kepada tunai berbanding dengan aset yang lain seperti tanah dan rumah yang sukar dijual.

Apakah Risiko Pelaburan Emas?

  1. Perlu mencari penjual & pembeli emas yang betul dan sesuai

Anda boleh membeli emas di beberapa tempat, seperti:

  • Kedai Emas – Jika anda membeli pada harga runcit, biasanya harganya agak tinggi. Jadi adalah lebih baik untuk mengetahui harga borong untuk mendapatkan harga terbaik.
  • Internet – perlu berhati-hati, kerana apabila penyerahan emas ditangguhkan, kemungkinan akan wujudnya unsur syubhah.
  • Bank – terdapat beberapa bank yang mematuhi garis panduan syariah untuk menjual emas fizikal tetapi anda juga perlu berhati-hati di mana emas di atas kertas dikhuatiri tidak mematuhi garis panduan syariah.
  1. Terlibat dengan sindiket penipuan atau scam

Pada era teknologi masa kini, scammer mempunyai peluang yang besar untuk mencari mangsa penipuan dengan menyamar sebagai perniagaan atau pelaburan emas. Namun ada juga yang meyakinkan pelanggan dengan menggunakan hadis palsu sebagai hujah untuk menjalankan perniagaan emas.

Seperti yang kita tahu, emas memerlukan transaksi fizikal dan keuntungannya akan diperoleh daripada kenaikan harga emas semasa.

  1. Unsur riba’

Emas adalah barang ribawi, di mana syarat pertukaran barang dagangannya adalah sangat ketat. Pembeli dan penjual mestilah memahami garis panduan yang ditetapkan oleh Islam agar tidak dipengaruhi oleh unsur riba’.

  • Pertukaran dan pembayaran barangan mestilah dilakukan dengan serta-merta.
  • Pembayaran yang terlibat dalam transaksi ini adalah secara tunai atau menggunakan kad debit/kredit sahaja dan ianya tidak boleh dibayar secara hutang atau ansuran.
  • Mempunyai jaminan atau pengesahan yang diluluskan oleh jawatankuasa undang-undang Syariah sekiranya anda ingin melabur dalam bentuk akaun pelaburan emas. Undang-undang syariah tidak membenarkan hadiah, dividen atau faedah dalam apa jua bentuk. Selain itu, apabila cukup tempoh/haul, emas juga perlu dizakatkan.

Perbandingan Pelaburan Emas dan Simpanan Tetap

Statistik Harga Emas

Sumber: GOLD PRICE

Carta di atas menunjukkan harga emas (MYR/g) dalam tempoh 5 tahun (2017-2021) dan purata statistik telah menunjukkan harga emas sentiasa meningkat. Walaubagaimanapun, perkara penting yang perlu diketahui ialah nilai emas mudah berubah-ubah dalam jangka masa pendek sementara nilai emas lebih stabil dalam jangka masa yang panjang. Hal ini berkemungkinan menjadikan simpanan emas anda mendapat pulangan yang lebih tinggi.

Kesimpulannya, pelaburan emas secara fizikal adalah pelaburan yang paling selamat, mudah dan patuh garis panduan syariah. Lebih-lebih lagi, kita semua tahu bahawa dalam jangka masa panjang, nilai emas akan meningkat. Oleh itu, jika anda merancang untuk mengembangkan dan menambah simpanan anda dalam jangka masa panjang, pelaburan emas adalah pilihan yang paling tepat dan terbaik.

Jadi, adakah wajarkah untuk membuat pelaburan emas?

Sumber Rujukan:

Aiman, N. (2020, 8 Julai). London Bullion Market Association (LBMA) – Nabil Aiman. Emasdulukiniselamanya. Diperoleh pada 1 Disember 2021, daripada http://emasdulukiniselamanya.com/2020/07/london-bullion-market-association-lbma/

Anua, A. S. (2021, 5 Mac). Masa terbaik buat pelaburan emas. Sinarharian. Diperoleh pada 30 November 2021, daripada https://www.sinarharian.com.my/article/126928/SUARA-SINAR/Analisis-Sinar/Masa-terbaik-buat-pelaburan-emas

Cara Membeli Emas & Melabur Emas Yang Betul & Selamat. (2013, 15 Mac). Hargaemas MY. Diperoleh pada 1 Disember 2021, daripada https://www.hargaemas.com.my/terkini/cara-membeli-emas-melabur-emas-yang-betul-selamat/ 

Emas vs Simpanan Tetap: Mana yang lebih baik? (2021, 20 Julai). HelloGold. Diperoleh pada 30 November 2021, daripada https://www.hellogold.com/my/emas-berbanding-simpanan-tetap-mana-yang-lebih-baik/

Gold Price Group. (n.d.). Sejarah harga emas. Gold Price. Diperoleh pada 1 Disember 2021, daripada https://goldprice.org/ms/gold-price-history.html

Hamzah, N. A. (2019, 8 Januari). Melabur Dalam Emas Ada Kelebihan dan Kelemahan. ILabur. Diperoleh pada 25 November 2021, daripada https://ilabur.com/melabur-dalam-emas/

Teh, P. (2021, 1 November). Buku Malaysia Melabur Saham. Majalah Labur. Diperoleh pada 29 November 2021, daripada https://www.majalahlabur.com/pelaburan/5-risiko-pelaburan-emas-yang-ramai-tak-tahu/#mobile-site-navigation

Penulis boleh dihubungi di:

Puteri Nur Syahirah binti Abdul Rashid ([email protected])
Mawaddah Faqihah binti Mohd Harnain ([email protected])
Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali ([email protected])
Fakulti Ekonomi dan Muamalat Malaysia
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Pada tahun 2020 yang lalu, kami telah pun menghasilkan buku sulung yang bertajuk ‘Malaysia Melabur: 10 Benda Kita Kena Tahu’. Sambutannya begitu menggalakkan sehingga buku ini terpilih sebagai Top 10 di MPH dalam kategori Malay Non-Fiction bagi tahun 2020.

Alhamdulillah, terkini kami berjaya terbitkan pula buku ‘Malaysia Melabur Saham’.

Kenapa Perlu Baca Buku Ini?

Pastinya anda selalu terdengar atau terbaca tentang peluang menambahkan pendapatan di pasaran saham patuh syariah di Bursa Malaysia.

Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat tetapi masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.

Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.

Kenapa Kena Miliki Buku Ini?

Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa. Sebab itu buku ini telah terjual lebih daripada 2,000 naskah!

Kami faham ramai nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?

Tak sempat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.

Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.

TERKINI: Miliki Buku Malaysia Melabur Saham di Shopee

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Memperkenalkan Pos ArRahnu Gold-i, Platform Simpanan Emas Patuh Syariah Bermula Serendah RM10

KUALA LUMPUR, 13 Julai 2026 –Pos Malaysia Berhad (“Pos Malaysia” atau “Syarikat”) hari ini melancarkan Pos ArRahnu Gold-i, sebuah perkhidmatan emas digital patuh Syariah yang membolehkan rakyat Malaysia mula menyimpan dan melabur dalam emas serendah RM10 menerusi platform yang mudah dan selamat.

Majlis pelancaran diadakan di ibu pejabat Pos Malaysia di Dayabumi, Kuala Lumpur, dan disempurnakan oleh Encik Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, bersama-sama Encik Fong Pok Yee, Ketua Pegawai Eksekutif Go Capital Growth Sdn Bhd, dan Encik Hong Kok Wah, Pengurus Besar Go Capital Growth Sdn Bhd. Turut hadir ialah wakil daripada Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), SIRIM QAS International Sdn Bhd, Pasukan Pengurusan Kanan Pos Malaysia, wakil media serta tokoh berpengaruh (key opinion leaders).

Dilancarkan dengan kerjasama Go Capital Growth Sdn Bhd, Pos ArRahnu Gold-i menggabungkan jangkauan runcit dan digital Pos Malaysia yang dipercayai dengan kepakaran emas Go Capital Growth, sekali gus memberikan pelanggan cara yang praktikal dan mudah diakses untuk memulakan perjalanan simpanan emas mereka.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, emas kekal sebagai simpanan kekayaan yang bernilai. Pos ArRahnu Gold-i menyahut permintaan ini dengan menjadikan pelaburan emas lebih mudah dimulakan bagi penyimpan kali pertama, golongan belia yang bekerja, keluarga dan pelanggan B40.

“Emas sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam kehidupan rakyat Malaysia, melambangkan keselamatan, kestabilan dan sesuatu yang boleh dibina serta diwariskan daripada satu generasi ke generasi seterusnya,” kata Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia.

“Menerusi Pos ArRahnu Gold-i, kami memudahkan pelanggan untuk memulakan simpanan secara kecil-kecilan dan membina simpanan mereka dengan cara yang mudah serta berpatutan. Dengan titik permulaan hanya RM10, pelanggan boleh mengambil langkah pertama ke arah membina jaminan kewangan jangka panjang menerusi perkhidmatan dan rangkaian yang telah pun mereka kenali.”

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Pos Malaysia dan Pos ArRahnu sebagai pembekal dipercayai bagi emas tempaan premium dan platform emas digital untuk Pos ArRahnu Gold-i. Komitmen kami adalah untuk sentiasa menyediakan produk emas fizikal yang memenuhi piawaian kebangsaan yang diiktiraf, termasuk SIRIM MS1247 dan NMIM. Emas bukan sekadar logam berharga; ia merupakan warisan kepercayaan, ketahanan dan nilai yang berkekalan. Menerusi kerjasama ini, kami berbangga dapat menyokong Pos Malaysia dalam menjadikan warisan itu lebih mudah diakses, berkualiti tinggi dan boleh dipercayai, sekali gus membantu membentuk masa depan kewangan yang lebih kukuh untuk seluruh rakyat Malaysia,” kata Encik Fong Pok Yee, Ketua Pegawai Eksekutif Go Capital Growth.

Memperluas Akses kepada Simpanan Emas

Berteraskan lebih 200 tahun kepercayaan dan jangkauan seluruh negara, Pos Malaysia terus memperluas perkhidmatannya melangkaui tawaran pos dan logistik tradisional bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang sentiasa berubah menerusi penyelesaian yang mudah, praktikal dan bernilai tambah.

Pos ArRahnu Gold-i menggabungkan jangkauan nasional Pos Malaysia dengan jaminan emas yang diiktiraf, titik permulaan yang rendah serta fleksibiliti untuk membeli, menjual atau menukar emas menerusi saluran digital atau cawangan Pos ArRahnu di seluruh Malaysia.

Memudahkan Simpanan Emas

Pos ArRahnu Gold-i menawarkan pelbagai kelebihan yang memudahkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mula menyimpan dan memiliki emas dengan mudah:

  • Mula menyimpan dan melabur dalam emas serendah RM10.
  • Beli, jual dan kumpul emas secara digital berdasarkan harga pasaran masa nyata.
  • Nikmati jurang harga beli dan jual emas yang rendah, antara yang terendah dalam pasaran, menjadikan simpanan emas lebih kompetitif dan mudah diakses.
  • Tukar emas digital kepada emas fizikal atau tunai apabila diperlukan.
  • Jejak, beli dan urus pegangan emas menerusi platform digital mesra pengguna (posarrahnugold.ace2u.com) dengan paparan portfolio masa nyata.
  • Nikmati had belian semula (buyback threshold) yang fleksibel bermula daripada 0.5g.
  • Akses kepada platform yang patuh Syariah sepenuhnya, disokong oleh pentauliahan dan pengesahan yang diiktiraf.

Emas yang ditawarkan menerusi Pos ArRahnu Gold-i disokong oleh pentauliahan dan pengesahan daripada badan berkaitan yang diiktiraf termasuk London Bullion Market Association (LBMA), SIRIM dan Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), memberikan jaminan yang lebih tinggi terhadap ketulenan, kualiti dan ketelusan.

Sempena pelancaran ini, Pos ArRahnu turut memperkenalkan produk emas pilihan, termasuk jongkong emas edisi khas “Pos World” 1g, yang dihadkan kepada 500 keping sahaja dan boleh diperoleh bersama-sama produk lain di cawangan Pos ArRahnu di seluruh negara.

Menyokong Rangkuman Kewangan yang Lebih Meluas

Bagi Pos Malaysia, rangkuman kewangan (financial inclusion) bermakna menjadikan penyelesaian yang praktikal dan dipercayai lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia. Dengan lebih sedekad pengalaman berkaitan emas menerusi Pos ArRahnu, Syarikat menggabungkan kemudahan digital, jaminan yang diiktiraf serta akses patuh Syariah dalam satu penyelesaian yang fleksibel.

Menerusi gabungan tradisi dan teknologi, perkhidmatan ini bertujuan membantu pelanggan membina tabiat menyimpan yang sihat dan mengukuhkan masa depan kewangan mereka.

Pos ArRahnu Gold-i tersedia mulai 13 Julai 2026 di outlet Pos ArRahnu yang mengambil bahagian di seluruh negara serta menerusi perkhidmatan digitalnya. Pelanggan yang berminat untuk memulakan perjalanan simpanan emas mereka boleh melayari posarrahnugold.ace2u.com, mendaftar, melengkapkan eKYC dengan mengimbas kad pengenalan, dan membeli emas serendah RM10 terus menerusi laman web tersebut. Pelanggan digalakkan untuk menyemak terma produk sebelum menyertainya, memandangkan harga emas tertakluk kepada pergerakan pasaran.

Berpandukan matlamatnya untuk membina kepercayaan bagi menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang, Pos Malaysia terus mencipta akses, keyakinan dan peluang yang lebih luas untuk komuniti yang dilayaninya.

Ikuti perkembangan Pos Malaysia menerusi www.pos.com.my atau saluran media sosial kami di Facebook, X, Instagram, TikTok, YouTube dan LinkedIn.