Malaysia, Indonesia Akan Bincang Hasrat Penetapan Harga Sawit – Fadhillah

PUTRAJAYA, 26 Jan (Bernama) — Malaysia akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Indonesia bagi membincangkan hasrat republik itu untuk mempunyai penanda aras harga minyak sawit mentah (MSM) sendiri, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata perkara tersebut perlu dibincang bersama kerana rancangan Indonesia itu akan memberi kesan keseluruhan rantaian industri perladangan sawit bukan sahaja kepada Malaysia, malah di peringkat dunia.

Fadillah berkata pertemuan Malaysia dan Indonesia dicadangkan berlangsung pada minggu kedua Februari bagi membincangkan perkara tersebut agar memberi manfaat kepada  semua pihak. 

“Perbincangan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan penetapan harga dilaksanakan untuk kebaikan sektor perladangan di kedua-dua negara,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Perladangan dan Komoditi di sini hari ini.

Menteri Perdagangan Indonesia Zulkifli Hasan sebelum ini dilaporkan berkata jika boleh, negara itu mempunyai harga penanda aras minyak sawit sebelum Jun dan tidak perlu lagi bergantung kepada Kuala Lumpur.

Indonesia adalah pengeluar minyak sawit terbesar dunia ketika ini dengan hampir 50 juta tan MSM setahun.

Pada 12 Januari lepas, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata harga MSM pada 2023 dijangka antara RM4,000 dan RM4,200 satu tan metrik berbanding RM5,087.50 satu tan pada tahun lepas.

Fadillah berkata turut akan dibincangkan dalam pertemuan Malaysia dan Indonesia itu nanti ialah mengenai isu sekatan dan halangan perdagangan terhadap produk sawit oleh Kesatuan Eropah.

Dalam pada itu, Fadillah berkata sektor agrokomoditi negara mencatatkan jumlah nilai dagangan sebanyak RM268.2 bilion pada tahun lepas manakala imbangan dagangan pula berjumlah RM146.5 bilion.

“Pendapatan eksport produk agrokomoditi pula sebanyak RM207.3 bilion atau 13.4 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara,” katanya.

Beliau yakin prestasi perdagangan akan kekal positif bagi tahun ini walaupun terdapat sedikit penurunan sebanyak 1.1 peratus pada tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.

Dari segi sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh Januari hingga September tahun lepas, sektor agrokomoditi telah menyumbang sebanyak RM61.3 bilion iaitu sebanyak 5.5 peratus daripada keseluruhan KDNK nasional, katanya.

Dalam pada itu, Fadillah berkata seramai 63,000 tenaga kerja asing masih diperlukan dalam sektor agrokomoditi bagi sektor sawit.

Menurutnya, kekurangan pekerja dalam sektor tersebut telah menyebabkan produktiviti hasil sawit terjejas teruk dan negara mengalami kehilangan hasil pendapatan dianggarkan RM20 bilion pada tahun lepas.

— BERNAMA 

Artikel asal: https://thekapital.my/malaysia-indonesia-akan-bincang-hasrat-penetapan-harga-sawit-fadhillah/

Previous ArticleNext Article

FCPO: Kembali Ke Fasa Pengukuhan

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO ini menurun MYR9 semasa sesi dagangan lalu untuk ditutup pada harga MYR4,597. Pada hari Jumaat, komoditi ini memulakan dagangan pada paras MYR4,604. Pada awalnya, ia jatuh ke paras terendah sesi tersebut pada MYR4,575. Ia kemudiannya melantun ke paras tertinggi sesi tersebut pada MYR4,608 dan menutup dagangan pada MYR4,597. Di samping pergerakan RSI ke bawah, penutupan dagangan terkini yang menurun menunjukkan momentum menurun kembali menguat.

Komoditi ini mungkin akan melanjutkan fasa koreksi harga dan menguji paras sokongan semula pada MYR4,390. Sementara itu, garisan SMA 50 hari masih bergerak ke paras lebih rendah, lantas mengukuhkan keadaan pasaran menurun. Sekiranya komoditi ini mencatat pergerakan menaik, paras MYR4,700 akan menahan harga daripada menembusi paras berkenaan. Selagi FCPO terus berada di bawah paras ambang MYR4,700, kami tetap akan berpegang pada bias dagangan negatif.

Para pedagang disarankan untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei (MYR4,481). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,390 dan diikuti oleh paras sokongan lebih rendah pada MYR4,250. Paras rintangan pertama pula ialah MYR4,700 yang diikuti oleh paras MYR4,900.