BNM Lantik Semula Empat Ahli Majlis Penasihat Shariah Bagi Tempoh Tiga Tahun

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) — Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan semula empat ahli Majlis Penasihat Shariah (MPS) untuk tempoh tiga tahun dan pelantikan dua ahli MPS yang baharu untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.

BNM dalam satu kenyataan berkata pelantikan itu dilakukan mengikut seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009. 

“MPS dibarisi sembilan orang ahli yang mempunyai berkepakaran dan berpengalaman dalam bidang shariah, ekonomi Islam, undang-undang dan kewangan,” kata BNM.

Ahli-ahli yang dilantik semula itu ialah Pengerusi baharu MPS dan Profesor di INCEIF University, Prof Dr Ashraf Md Hashim; Timbalan Pengerusi baharu MPS dan Profesor di Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali; Pengarah Eksekutif, Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA, INCEIF University,  Datuk Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin; Ahli Jawatankuasa Penasihat Haji, Lembaga Tabung Haji, Burhanuddin Lukman.

Sementara itu, dua ahli baharu dilantik adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Ketua Pengurusan Shariah, Permodalan Nasional Berhad, Dr Ahmad Basri Ibrahim.

Lain-lain ahli MPS sedia ada ialah Mufti Selangor, Datuk Setia Dr Anhar Opir; Pengarah, Jaminan Kualiti Penyelidikan dan Penerbitan, Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA, INCEIF University, Dr Marjan Muhammad  dan Pengasas dan Rakan Kongsi Kanan, Zainal Abidin & Co. (Peguambela dan Peguamcara), Zainal Abidin Jamal.

Dalam pada itu, BNM juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Datuk A. Aziz A. Rahim yang telah menyempurnakan tempoh perkhidmatan mereka sebagai ahli MPS.

Mohd Daud dilantik sebagai ahli MPS pada 1 Mei 1997 dan telah memegang jawatan sebagai Pengerusi MPS sejak 27 Disember 2006, A. Aziz pula mula dilantik sebagai ahli MPS pada 1 November 2016.

Sementara itu, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata MPS memainkan peranan penting dalam memajukan aspirasi kewangan Islam di Malaysia.

“Sepanjang tempoh ini, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Datuk A Aziz A Rahim telah memberikan sumbangan yang sangat besar dalam proses tersebut dan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih terhadap komitmen dan dedikasi mereka yang tidak berbelah bahagi,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.