Labuan FSA Optimis Dengan Pertumbuhan Perniagaan Pada 2023

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) — Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) kekal optimis mengenai prospek pertumbuhan perniagaannya tahun ini, didorong oleh inisiatif yang ditetapkan untuk Wilayah Persekutuan bagi 2023.

Ketua Pengarah, Nik Mohamed Din Nik Musa berkata pendigitalan juga dijangka meneruskan momentum positif tahun ini memandangkan lebih ramai pelabur memilih untuk mendigitalkan perniagaan masing-masing susulan pandemik COVID-19.

“Kami tidak terikat dengan mana-mana satu ekonomi, kami beroperasi dalam ruang antarabangsa, dan saya berpandangan dengan peningkatan perniagaan perkhidmatan kewangan digital (DFS) apabila transaksi boleh dilakukan dari mana-mana sahaja di seluruh dunia, ia akan membantu menyokong beberapa kawasan lain yang mungkin mengalami kelembapan.

“Kami akan meneruskan beberapa inisiatif untuk 2023. Mungkin terlalu awal untuk mengatakan apa yang akan berlaku pada 2023 namun saya optimis,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Laporan Pasaran 2022 Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) di sini, pada Jumaat.

Laporan itu menunjukkan DFS masih menjadi sektor yang paling pesat berkembang di Labuan IBFC, dengan 29 kelulusan baharu diberikan, menjadikan jumlah keseluruhan DFS sebanyak 111.

Sektor perdagangan komoditi antarabangsa pula  merekodkan jumlah dagangan terbesar sebanyak US$51 bilion (US$1=RM4.39), menunjukkan pertumbuhan ketara sebanyak 31 peratus.

“Jumlah komoditi yang didagangkan terutama minyak mentah dan gas asli cecair (LNG), yang meningkat sebanyak 40 peratus kepada US$48.3 bilion, seiring dengan pemulihan harga minyak dan LNG global.

“Ini telah meningkatkan keberuntungan syarikat perdagangan komoditi antarabangsa Labuan sebanyak 55 peratus kepada US$5.5 bilion — keuntungan tertinggi dicatatkan dalam tempoh lima tahun,” menurut laporan itu.

Mengikut laporan itu, bank-bank Labuan kekal kukuh dan berdaya tahan dalam situasi cabaran luar yang sukar bagi industri perbankan.

“Walaupun jumlah portfolio pinjaman industri menguncup sebanyak 11.5 peratus disebabkan penyelesaian pinjaman apabila matang namun, pembiayaan perbankan Islam Labuan meningkat 25 peratus kepada US$2.1 bilion, dengan pembiayaan Islam merangkumi 10.2 peratus daripada jumlah pinjaman industri.

“Aset perbankan Islam juga menunjukkan pertumbuhan yang baik dengan peningkatan ketara 21 peratus kepada US$2.3 bilion,” tambah laporan itu.

Mengulas mengenai laporan itu, Nik Mohamed Din berkata modus operandi Labuan IBFC menawarkan penyelesaian kewangan yang holistik dalam opsyen konvensional dan patuh syariah di samping penyelesaian khusus dalam satu lokasi yang selesa, sekali gus meletakkan Labuan IBFC di kedudukan unik di Asia.

“Tuntutan terhadap ketelusan yang lebih tinggi memberikan kelebihan kepada Labuan IBFC kerana Labuan FSA sentiasa mengekalkan standard kawal selia dan penyeliaan yang tinggi selain komitmen terhadap ketelusan yang lebih tinggi.

“Ini mengesahkan keyakinan pelabur yang mampan terhadap Labuan IBFC,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Momentum Kenaikan Pasaran Diteruskan

  • Kekalkan pegangan belian

FCPO melanjutkan kenaikannya buat kali kedua dengan mengekalkan lantunannya daripada paras sokongan MYR4,400 untuk ditutup pada harga lebih tinggi sebanyak MYR4,495. Komoditi ini memulakan sesi dagangan pada harga MYR4,491, kemudian ia mereda ke paras terendah intrahari pada MYR4,444 buat seketika, sebelum berterusan menaik ke arah paras tertinggi sesi pada MYR4,517 dan ditutup dengan corak lilin menaik. Pergerakan harga yang kukuh yang dilihat menerusi pergerakan positif kedua ini mengesahkan bahawa sentimen kenaikan sedang menguasai pasaran dengan teguhnya.

Paras rintangan terdekat sekarang ditambat pada MYR4,800, sekali gus memberi ruang untuk pergerakan menaik sekarang diteruskan. Komoditi ini kini didagangkan di atas kedua-dua garisan SMA 50 dan 200 hari, yang menandakan keadaan teknikal menaik masih berlangsung. Walau bagaimanapun, sekiranya kegiatan pengambilan untung berlaku, FCPO mungkin melantun daripada paras sokongan pertama MYR4,400, seiring dengan paras henti rugi kami. Melihat pada struktur kenaikan yang bertahan, kami tetap berpegang pada bias dagangan positif.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan belian yang dimulakan pada penutupan 6 Mac (MYR4,367). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,400.

Paras sokongan pertama sekarang berada pada MYR4,400, diikuti oleh paras MYR4,250. Paras rintangan terdekat sekarang pula adalah pada MYR4,800, disusuli oleh paras seterusnya iaitu pada MYR4,925.