Semak Status Sekatan Perjalanan Dan Rancang Percutian Ke Luar Negara

Sempena dengan cuti panjang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menyarankan kepada semua pembayar cukai untuk terlebih dahulu menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan masing-masing sebelum merancang sebarang perjalanan percutian ke luar negara.

Untuk makluman, sekatan perjalanan merupakan tindakan terakhir yang boleh dikenakan sekiranya pembayar cukai masih lagi gagal membuat bayaran terhadap baki cukai yang tertunggak (individu dan syarikat) selepas pelbagai peringatan dan notis telah diberikan.  Untuk tindakan awal, pembayar cukai boleh menyemak status tunggakan cukai mereka melalui portal MyTax yang boleh dicapai melalui pautan https://mytax.hasil.gov.my/ selain semakan sekatan perjalanan di laman web Jabatan Imigresen Malaysia di https://sspi.imi.gov.my/sspi/. 

HASiL sentiasa terbuka untuk membantu pembayar cukai dan komited untuk menjadi pemudah cara perkhidmatan percukaian menerusi tiga pendekatan utama iaitu Awareness, Education, Services (AES) sebagai rakan strategik yang erat mendekati rakyat. 

Oleh itu, pembayar cukai adalah dinasihatkan untuk tampil ke pejabat HASiL untuk berbincang dan berunding bagi mencari jalan penyelesaian terbaik kepada permasalahan yang dihadapi. 

Sekiranya pembayar cukai mempunyai tunggakan cukai dan dikenakan sekatan perjalanan, mereka adalah dimohon untuk membuat bayaran atau menghubungi pejabat HASiL yang mengendalikan fail cukai mereka untuk tujuan rundingan bayaran ansuran bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke luar negara. Bagi tujuan pembayaran tunggakan cukai pendapatan, bayaran cukai boleh dibuat melalui:

  • Portal MyTax melalui Perkhidmatan ezHasil > ByrHASiL atau pautan terus  https://byrhasil.hasil.gov.my/; atau
  • Portal perbankan internet bank komersial yang dilantik sebagai ejen kutipan HASiL; atau
  • Mesin deposit tunai/ mesin juruwang automatik (ATM) bank ejen kutipan HASiL; atau
  • Kaunter bank ejen kutipan HASiL terpilih; atau
  • Pusat Pengurusan Terimaan HASiL hanya akan menerima bayaran seperti berikut:
  1. Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) – Pegangan cukai 3% oleh pemeroleh hartanah di bawah seksyen 21B Akta CKHT 1976 (Borang CKHT502);
  2. Cukai Pendapatan Penghibur Awam (Seniman Kembara);
  3. Cukai Pegangan;
  4. Bayaran Kompaun; dan
  5. Bayaran Cukai Pendapatan menggunakan kad kredit / kad debit.

HASiL juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pelanggan yang beragama Islam.  

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui: 

  1. Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
  2. HASiL Live Chat; dan 
  3. Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas: https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/public.
Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.