NVIDIA Lihat Malaysia Miliki Sumber, Kemampuan Jadi Hab AI, Setuju Bangun Ekosistem AI – Anwar

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) — NVIDIA Corporation, sebuah syarikat teknologi multinasional, melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai sumber dan kemampuan untuk menyediakan keperluan dan syarat sebagai sebuah hab kecerdasan buatan (AI).

NVIDIA telah menjadi perintis dalam pengkomputeran dipercepatkan dan kini merupakan syarikat keenam terbesar di dunia dari segi permodalan pasaran. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata NVIDIA telah menyatakan kesediaan untuk menyokong hasrat Malaysia menjadi 20 negara teratas terkait AI dan bersetuju membantu membangunkan ekosistem AI di Malaysia menerusi sokongan dalam pembinaan pusat kecemerlangan bagi memudahkan pembelajaran dan penyelidikan AI, selain pewujudan sistem Awan AI Malaysia sendiri. 

“Dalam pertemuan tadi, perbincangan kami menyinggung potensi Malaysia menjadi 20 negara teratas terkait AI. Saya tekankan bahawa Malaysia memerlukan infrastruktur AI bertaraf dunia bagi memupuk bakat tempatan dan membangunkan inovasi yang diterajui AI,” katanya dalam catatan di laman Facebook beliau.

Petang tadi, Anwar telah mengadakan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA Jensen Huang dan Pengarah Urusan YTL Power Datuk Yeoh Seok Hong.

Anwar berkata keputusan NVIDIA untuk melabur di Malaysia adalah satu isyarat yang jelas bahawa pelabur asing, terutamanya syarikat gergasi teknologi dunia terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini. 

Beliau berkata NVIDIA akan mengadakan perkongsian strategik dengan konglomerat Malaysia, YTL yang membina pusat data AI melibatkan pelaburan berjumlah RM20 bilion.

YTL telah memulakan pelaburan dalam superkomputer berkuasa H100 terbaru bagi membina sistem Awan AI berpangkalan di Malaysia.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Mendatar Di Bawah Garisan SMA 50 Hari

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO menurun MYR2 untuk ditutup pada paras MYR4,535 selepas tekanan jualan muncul berhampiran garisan SMA 50 hari. Pada Jumaat, komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,547. Ia kemudiannya berayun antara MYR4,570 dan MYR4,518 sebelum menutup dagangan pada paras MYR4,535. Pergerakan harga ini mengesahkan bahawa garisan SMA 50 hari terus menjadi paras rintangan overhed.

Selagi komoditi ini berada di bawah garisan purata bergerak jangka sederhana ini, mereka yang menantikan penurunan harga akan mempunyai kelebihan teknikal. Sementara itu, paras rintangan kukuh dijangka berada pada paras MYR4,700. Dalam keadaan pasaran menurun, paras rintangan kukuh dan akan menghalang kenaikan harga komoditi ini. Kami akan terus berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO menembusi paras ambang MYR4,700 tersebut.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan terdekat sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840