Sukuk Lestari USD1 Bilion

Bulan lepas, kerajaan Malaysia mengumumkan telah memulakan penawaran Sukuk Lestari yang bernilai lebih daripada USD1 bilion bagi menyokong matlamat negara untuk menjadi hab kewangan lestari.

Hasil daripada sukuk itu akan membiayai program dan projek yang mempunyai elemen kelestarian dan alam sekitar di samping menangani kesan sosio-ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Sebelum ini, kerajaan telah pun melancarkan Sukuk Prihatin, antara inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), yang mendapat sambutan luar jangkaan apabila mencatatkan langganan lebih RM666 juta mengatasi sasaran asal penerbitannya iaitu sebanyak RM500 juta.

Persoalannya, apa itu Sukuk?

Sukuk adalah satu sijil kewangan yang mengambil konsep sama seperti bon dalam kewangan konvensional.

Struktur membayar faedah terhadap pelaburan bon dalam kewangan konvensional adalah tidak dibenarkan kerana mengandungi unsur-unsur riba maka wujudlah penerbitan sukuk yang menggantikan konsep bon.

Bezanya dalam penjualan Sukuk, hasil langganan daripada pembeli sijil Sukuk itu akan digunakan untuk membeli aset dan melalui aset tersebut keuntungan akan dijana. Ia bukan semata-mata duit atas duit seperti dalam konsep bon.

Para pemegang sijil Sukuk atau disebut sebagai Sukukholders akan memiliki aset sokongan dan pulangan terhadap aset sokongan tersebut akan dibayar secara tetap dalam tempoh masa yang ditetapkan sama ada 2 tahun, seperti dalam kes Sukuk Prihatin, 5, 10, 20 atau mungkin 30 tahun.

Dalam Sukuk, penerbit Sukuk akan membuat kontrak untuk membeli kembali sijil Sukuk tadi di akhir tempoh dan aset sokongan akan dikembalikan oleh pemegang sijil Sukuk. Ini bermakna setelah aset dikembalikan, tiada lagi pulangan akan diterima oleh pemegang sijil Sukuk.

Dalam pelaburan, Sukuk sama seperti Bon yang merupakan instrumen pelaburan yang memberikan hasil tetap atau fixed-income.

Oleh kerana itu, selari dengan konsep tinggi risiko tinggi pulangan dan rendah risiko rendah pulangan, pulangan Sukuk tidaklah begitu tinggi berbanding pelaburan dalam ekuiti. Maka sama seperti Bon, ia dianggap sebagai pelaburan yang selamat.

Perbezaan ketara di antara Sukuk dengan Bon pula adalah, Sukuk melibatkan pemilikan aset manakala bon adalah obligasi hutang. Jika harga aset sokongan sukuk meningkat, maka keuntungan bulanan pelabur juga meningkat manakala keuntungan kadar faedah bon adalah tetap.

Dalam industri kewangan Islam. terdapat beberapa jenis kontrak yang digunakan dalam menerbitkan Sukuk, antaranya Sukuk Mudarabah (perkongsian untung), Sukuk Musharakah (perkongsian) , Sukuk Wakalah (wakil), Sukuk Ijarah (sewaan), dan Sukuk Murabahah (jual beli untung).

Hari ini struktur Sukuk digabungkan dengan elemen pasaran semasa seperti kelestarian (sustainable), Economic, Social, Governance (ESG), di peringkat Suruhanjaya Sekuriti juga ada panduan Sukuk Sustainable Responsible Investment (SRI), dan Sukuk Hijau atau Green Sukuk.

Semuanya bagi menarik tumpuan pelabur yang ingin pelaburan mereka disalurkan ke projek-projek hijau, lestari, dan memberi impak positif kepada alam dan masyarakat.

Ditulis oleh Arham Merican, Pengurus Shariah di sebuah institusi kewangan negara dan pemegang sijil Islamic Financial Planner (IFP). Merupakan lepasan Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan, Fakulti Ekonomi Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di [email protected].

Previous ArticleNext Article

FCPO: Pemulihan Harga Yang Sementara

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO meneruskan lantunan teknikalnya untuk sesi kedua pada hari Selasa apabila menaik MYR23 untuk ditutup pada paras MYR4,496. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,461. Pada awalnya, ia jatuh kepada paras terendah bernilai MYR4,445 sebelum sentimen menaik membawanya lebih tinggi kepada paras MYR4,510. Walaupun penutupan dagangan positif, pergerakan menaik ini hanyalah dianggap sebagai satu koreksi harga dalam trend pasaran yang menurun. Komoditi ini terus berada di bawah garisan SMA 50 hari yang sekarang berperanan sebagai rintangan overhed yang dinamik.

Apabila harga menaik, paras rintangan kuat dijangka muncul pada paras MYR4,700. Berdasarkan pasaran teknikal ini, mereka yang menjangkakan penurunan harga masih mempunyai kelebihan teknikal. FCPO mungkin menyambung semula koreksi harga sebaik sahaja ia gagal menembusi paras rintangan overhed yang dinamik itu – garisan SMA 50 hari. Buat masa sekarang, kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi kekal kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama ialah MYR4,390, yang diikuti oleh paras MYR4,300. Sementara itu, paras rintangan pertama kini berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840.