Mana Lagi Bagus, Private Mandate Atau Unit Trust?

“Nak melabur dalam unit trust atau private mandate?”

Private mandate, sebuah medium pelaburan yang kini hype di kalangan rakyat Malaysia. Mana tidaknya, ada sesetengah ejen atau wakil yang tidak bertanggungjawab menjanjikan pulangan lebih daripada 100% kepada pelabur tanpa menceritakan tentang risiko di sebaliknya.

Oleh itu, kita kena tahu dulu apa yang dimaksudkan dengan private mandate ini, dan beza private mandate dengan unit trust.

Apa Itu Private Mandate?

Private mandate merupakan sebuah medium pelaburan yang menyelesaikan masalah pelabur yang terlalu sibuk untuk menguruskan pelaburan mereka sendiri terutamanya dalam pelaburan saham.

Bukan hanya menyelesaikan masalah pelabur yang tiada masa, perkhidmatan private mandate ini juga mampu menyelesaikan masalah pelabur yang takut nak menekan button BUY di platform pelaburan mereka.  

Jika ada yang berani melabur sendiri pun, hanya berani melabur dengan jumlah yang kecil kerana masih baru dalam dunia pelaburan dan masih tidak yakin untuk meletakkan jumlah yang besar untuk dilaburkan sendiri.

Maka, wujudlah perkhidmatan private mandate ini untuk menyelesaikan masalah-masalah di atas.

Private mandate ini adalah perkhidmatan yang diberikan oleh pengurus dana yang berlesen dan berpengalaman untuk menguruskan pelaburan pelabur terutama dalam pelaburan saham.

Perkhidmatan yang dulunya hanya tertumpu hanya kepada golongan kayangan kini sudah terbuka kepada golongan sederhana.

Perkhidmatan private mandate ini akan disertai dengan dengan kadar fi atau upahnya tersendiri seperti:

  1. Fi pengurusan (management fee) – 3%-5% : Dikenakan setiap kali memasuk dana pelaburan
  2. Fi tahunan (Annual Fee) – 1%-2% : Dikenakan setahun sekali
  3. Fi prestasi pelaburan (Performance fee) – 10%-20% : Dikenakan setahun sekali dengan terma dan syarat tertentu.

    Contohnya jika kita melabur sebanyak RM50,000 dan kita berjaya memperolehi keuntungan sebanyak 50% dalam setahun, maka untung kita adalah sebanyak RM25,000. Daripada keuntungan RM25,000 ini, 10% atau RM2,500 akan dikenakan sebagai fi prestasi.

Sebelum ini, modal minima untuk menggunakan perkhidmatan private mandate ini adalah sekurang-kurangnya RM1 juta ke atas, khas untuk golongan kayangan. Kini, sudah ada syarikat yang menawarkan perkhidmatan yang serupa dengan modal pelaburan serendah RM50,000 sahaja.

Baca: Apa Itu Pelaburan Private Mandate?

“Alamak besarnya modal, fi yang dikenakan pun banyak juga untuk melabur private mandate ini. Kalau begitu, lebih baik melabur dalam unit trust sahaja.”

OK baik, jom kita ambil tahu apa yang dimaksudkan dengan Unit Trust pula.

Apa Itu Unit Trust?

Unit trust atau amanah saham pula merupakan satu bentuk pelaburan yang menghimpun atau mengumpul dana daripada beberapa pelabur untuk dilaburkan dalam instrumen pelaburan yang sah oleh pengurus dana yang profesional.

Bahasa mudahnya, unit trust ini merupakan collective investment scheme yang membolehkan sekumpulan pelabur yang mempunyai objektif pelaburan yang sama untuk mengumpulkan modal mereka untuk melabur ke dalam sesuatu portfolio pelaburan.

Semua dana-dana yang telah dikumpulkan daripada pelabur, akan dilaburkan di atas satu payung atau satu nama yang ditetapkan oleh syarikat.

Untuk pelaburan menerusi unit trust, biasanya dana tersebut akan dilaburkan dalam instrumen pelaburan yang pelbagai seperti:

  • Ekuiti/saham
  • Bond/sukuk
  • Hartanah
  • Komoditi

Pelaburan unit trust ini juga biasanya mempunyai beberapa kategori. Ada yang hanya fokus kepada ekuiti sahaja, ada juga yang jenis fixed income yang melabur dalam sukuk atau bon. Ada juga yang menggabungkan kedua-duanya iaiatu ekuiti dan sukuk, ianya dikenali sebagai unit trust balanced.

Ada yang melabur di dalam Malaysia saja dan ada juga yang melabur ke luar negara.

Unit trust juga mempunyai fi atau kos yang dikenakan kepada pelabur. Antara kos yang dikenakan adalah seperti:

  1. Sales charges: dikenakan hanya sekali untuk setiap transaksi pembelian
  2. Management fee: dikenakan setahun sekali
  3. Trustee fee: dikenakan setahun sekali
  4. Switching fee: dikenakan jika pelaburan ingin menukar ke dana pelaburan lain
  5. Redemption fee: dikenakan jika pelabur ingin menjual unit pegangan.

Modal pelaburan untuk unit trust pula biasanya sangat rendah, sekitar RM100 ke RM1,000 untuk memulakan pelaburan. Ianya bergantung kepada ketetapan syarikat yang menguruskan dana tersebut. Para pencarum KWSP juga boleh menggunakan duit lebihan dalam akaun 1 untuk melabur.

Baca juga : Apa Itu Unit Trust

Jadi nak melabur menerusi private mandate atau unit trust?

Sebelum kita membuat keputusan, mari kita lihat perbezaan di antara kedua-dua perkhidmatan ini.

Private Mandate VS Unit Trust

Dua perkhidmatan ini mempunyai perbezaan yang ketara yang membezakan di antara satu sama lain. Antaranya adalah seperti:

  1. Modal
  2. Hak
  3. Ketulusan transaksi
  4. Risiko

Modal Pelaburan Private Mandate VS Unit Trust

Minima modal pelaburan untuk menggunakan perkhidmatan private mandate yang dilaburkan ke pasaran saham adalah RM50,000. Modal ini adalah besar dan tidak sesuai dengan semua orang.

Manakala modal minima untuk pelaburan unit trust pula adalah RM100 ke RM1,000. Dengan modal permulaan yang rendah ini, ianya lebih terbuka dan mampu kepada ramai pelabur.

Hak Terhadap Aset Pelaburan Private Mandate VS Unit Trust

Perkhidmatan private mandate ini lebih bersifat peribadi dan akaun pelaburan akan dibuka atas nama pelabur. Oleh itu, setiap aset pelaburan seperti saham yang dibeli oleh pengurus dana, ianya adalah atas nama pelabur, bukan nama pengurus dana mahupun nama syarikat yang menyediakan perkhidmatan berikut.

Dengan ini, pelabur berhak untuk mendapat dividen, hak mengundi di Annual General Meeting (AGM) dan hak-hak lain yang berkaitan.

Berbeza dengan unit trust, segala aset yang dibeli oleh fund manager, ianya adalah di atas nama syarikat pengurusan atau nama khas unit trust tersebut.

Pelabur tidak mempunyai hak terhadap aset yang dibeli seperti menerima dividen, mengundi dan lain-lain.

Pelabur unit trust hanya akan menerima keuntungan atau kerugian yang telah ditentukan oleh pengurus dana untuk pelaburan tersebut.

Ketelusan Transaksi Pelaburan Private Mandate VS Unit Trust

Oleh kerana perkhidmatan private mandate ini merupakan perkhidmatan yang lebih bersifat peribadi, ianya adalah transparent kerana pelabur akan mengetahui segala transaksi pelaburan mereka yang diuruskan oleh pengurus dana.

Pelabur akan tahu saham apa yang dibeli, berapa banyak dibeli, harga ianya dibeli, kos-kos yang terlibat dalam pembelian dan juga sama ada saham yang dibeli tersebut menjana keuntungan atau kerugian.

Cumanya pelabur tidak perlu susah hati memikirkan bila nak jual, bila nak beli, boleh hold lagi atau tidak dan gangguan emosi apabila melihat saham yang hijau menjadi merah.

Unit trust pula bersifat dana pelaburan yang dikumpulkan oleh beberapa pelabur. Oleh itu pelabur biasanya tidak akan tahu secara terperinci saham-saham atau aset yang dibeli oleh pengurus dana.

Biasanya pelabur hanya tahu pegangan terbesar yang dimiliki oleh dana unit tersebut.

Risiko Pelaburan Private Mandate VS Unit Trust

Secara kasarnya, pelaburan yang terdedah kepada satu instrumen pelaburan sahaja mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding pelaburan yang melabur ke dalam instrumen pelaburan yang pelbagai.

Jika perkhidmatan private mandate tersebut hanya menumpukan kepada satu instrumen sahaja seperti saham, ianya lebih berisiko tinggi berbanding pelaburan yang dipelbagaikan dengan pelbagai jenis instrumen pelaburan.

Sama juga halnya dengan risiko untuk pelaburan unit trust. Sekiranya semuanya dilaburkan ke dalam ekuiti saja, maka kita boleh katakan ianya berisiko tinggi.

Pengalaman dan skill pengurus dana juga memainkan peranan penting dalam pengurusan risiko ini terhadap portfolio pelabur. Biasanya pelabur akan memilih syarikat yang mempunyai fund manager yang mereka yakin untuk melabur.

Hakikatnya, semua pelaburan mempunyai risikonya tersendiri dan sebarang pulangan yang berjaya diraih pada tahun-tahun sebelumnya tidak akan menjanjikan pulangan yang sama pada masa akan datang.

Itu sedikit sebanyak perbezaan antara kedua-dua perkhidmatan pelaburan yang kini berada dipasaran. Jika anda berminat untuk membuat pelaburan, pastikan anda berurusan dengan Marketing Representative atau ejen yang sah sahaja.

Untuk Private Mandate, anda boleh membuat semakan ejen di laman web Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Untuk Unit Trust pula, pastikan ejen tersebut mempunyai lesen yang sah yang dikeluarkan oleh Federation of Investment Managers Malaysia (FIMM).

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Memperkenalkan Pos ArRahnu Gold-i, Platform Simpanan Emas Patuh Syariah Bermula Serendah RM10

KUALA LUMPUR, 13 Julai 2026 –Pos Malaysia Berhad (“Pos Malaysia” atau “Syarikat”) hari ini melancarkan Pos ArRahnu Gold-i, sebuah perkhidmatan emas digital patuh Syariah yang membolehkan rakyat Malaysia mula menyimpan dan melabur dalam emas serendah RM10 menerusi platform yang mudah dan selamat.

Majlis pelancaran diadakan di ibu pejabat Pos Malaysia di Dayabumi, Kuala Lumpur, dan disempurnakan oleh Encik Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, bersama-sama Encik Fong Pok Yee, Ketua Pegawai Eksekutif Go Capital Growth Sdn Bhd, dan Encik Hong Kok Wah, Pengurus Besar Go Capital Growth Sdn Bhd. Turut hadir ialah wakil daripada Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), SIRIM QAS International Sdn Bhd, Pasukan Pengurusan Kanan Pos Malaysia, wakil media serta tokoh berpengaruh (key opinion leaders).

Dilancarkan dengan kerjasama Go Capital Growth Sdn Bhd, Pos ArRahnu Gold-i menggabungkan jangkauan runcit dan digital Pos Malaysia yang dipercayai dengan kepakaran emas Go Capital Growth, sekali gus memberikan pelanggan cara yang praktikal dan mudah diakses untuk memulakan perjalanan simpanan emas mereka.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, emas kekal sebagai simpanan kekayaan yang bernilai. Pos ArRahnu Gold-i menyahut permintaan ini dengan menjadikan pelaburan emas lebih mudah dimulakan bagi penyimpan kali pertama, golongan belia yang bekerja, keluarga dan pelanggan B40.

“Emas sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam kehidupan rakyat Malaysia, melambangkan keselamatan, kestabilan dan sesuatu yang boleh dibina serta diwariskan daripada satu generasi ke generasi seterusnya,” kata Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia.

“Menerusi Pos ArRahnu Gold-i, kami memudahkan pelanggan untuk memulakan simpanan secara kecil-kecilan dan membina simpanan mereka dengan cara yang mudah serta berpatutan. Dengan titik permulaan hanya RM10, pelanggan boleh mengambil langkah pertama ke arah membina jaminan kewangan jangka panjang menerusi perkhidmatan dan rangkaian yang telah pun mereka kenali.”

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Pos Malaysia dan Pos ArRahnu sebagai pembekal dipercayai bagi emas tempaan premium dan platform emas digital untuk Pos ArRahnu Gold-i. Komitmen kami adalah untuk sentiasa menyediakan produk emas fizikal yang memenuhi piawaian kebangsaan yang diiktiraf, termasuk SIRIM MS1247 dan NMIM. Emas bukan sekadar logam berharga; ia merupakan warisan kepercayaan, ketahanan dan nilai yang berkekalan. Menerusi kerjasama ini, kami berbangga dapat menyokong Pos Malaysia dalam menjadikan warisan itu lebih mudah diakses, berkualiti tinggi dan boleh dipercayai, sekali gus membantu membentuk masa depan kewangan yang lebih kukuh untuk seluruh rakyat Malaysia,” kata Encik Fong Pok Yee, Ketua Pegawai Eksekutif Go Capital Growth.

Memperluas Akses kepada Simpanan Emas

Berteraskan lebih 200 tahun kepercayaan dan jangkauan seluruh negara, Pos Malaysia terus memperluas perkhidmatannya melangkaui tawaran pos dan logistik tradisional bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang sentiasa berubah menerusi penyelesaian yang mudah, praktikal dan bernilai tambah.

Pos ArRahnu Gold-i menggabungkan jangkauan nasional Pos Malaysia dengan jaminan emas yang diiktiraf, titik permulaan yang rendah serta fleksibiliti untuk membeli, menjual atau menukar emas menerusi saluran digital atau cawangan Pos ArRahnu di seluruh Malaysia.

Memudahkan Simpanan Emas

Pos ArRahnu Gold-i menawarkan pelbagai kelebihan yang memudahkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mula menyimpan dan memiliki emas dengan mudah:

  • Mula menyimpan dan melabur dalam emas serendah RM10.
  • Beli, jual dan kumpul emas secara digital berdasarkan harga pasaran masa nyata.
  • Nikmati jurang harga beli dan jual emas yang rendah, antara yang terendah dalam pasaran, menjadikan simpanan emas lebih kompetitif dan mudah diakses.
  • Tukar emas digital kepada emas fizikal atau tunai apabila diperlukan.
  • Jejak, beli dan urus pegangan emas menerusi platform digital mesra pengguna (posarrahnugold.ace2u.com) dengan paparan portfolio masa nyata.
  • Nikmati had belian semula (buyback threshold) yang fleksibel bermula daripada 0.5g.
  • Akses kepada platform yang patuh Syariah sepenuhnya, disokong oleh pentauliahan dan pengesahan yang diiktiraf.

Emas yang ditawarkan menerusi Pos ArRahnu Gold-i disokong oleh pentauliahan dan pengesahan daripada badan berkaitan yang diiktiraf termasuk London Bullion Market Association (LBMA), SIRIM dan Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), memberikan jaminan yang lebih tinggi terhadap ketulenan, kualiti dan ketelusan.

Sempena pelancaran ini, Pos ArRahnu turut memperkenalkan produk emas pilihan, termasuk jongkong emas edisi khas “Pos World” 1g, yang dihadkan kepada 500 keping sahaja dan boleh diperoleh bersama-sama produk lain di cawangan Pos ArRahnu di seluruh negara.

Menyokong Rangkuman Kewangan yang Lebih Meluas

Bagi Pos Malaysia, rangkuman kewangan (financial inclusion) bermakna menjadikan penyelesaian yang praktikal dan dipercayai lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia. Dengan lebih sedekad pengalaman berkaitan emas menerusi Pos ArRahnu, Syarikat menggabungkan kemudahan digital, jaminan yang diiktiraf serta akses patuh Syariah dalam satu penyelesaian yang fleksibel.

Menerusi gabungan tradisi dan teknologi, perkhidmatan ini bertujuan membantu pelanggan membina tabiat menyimpan yang sihat dan mengukuhkan masa depan kewangan mereka.

Pos ArRahnu Gold-i tersedia mulai 13 Julai 2026 di outlet Pos ArRahnu yang mengambil bahagian di seluruh negara serta menerusi perkhidmatan digitalnya. Pelanggan yang berminat untuk memulakan perjalanan simpanan emas mereka boleh melayari posarrahnugold.ace2u.com, mendaftar, melengkapkan eKYC dengan mengimbas kad pengenalan, dan membeli emas serendah RM10 terus menerusi laman web tersebut. Pelanggan digalakkan untuk menyemak terma produk sebelum menyertainya, memandangkan harga emas tertakluk kepada pergerakan pasaran.

Berpandukan matlamatnya untuk membina kepercayaan bagi menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang, Pos Malaysia terus mencipta akses, keyakinan dan peluang yang lebih luas untuk komuniti yang dilayaninya.

Ikuti perkembangan Pos Malaysia menerusi www.pos.com.my atau saluran media sosial kami di Facebook, X, Instagram, TikTok, YouTube dan LinkedIn.