3 Kesilapan Yang Sering Dilakukan Dalam Pelaburan Saham

Hi, nama saya Ian. Saya seorang pelabur dividen. Ertinya, saya melabur saham untuk mendapatkan keuntungan daripada segi penerimaan dividen secara berterusan.

Dengan ikhlas, saya percaya pelaburan saham adalah satu cara yang baik untuk menjana sumber rezeki secara sampingan dan membina kekayaan bagi pelabur bagi jangka masa yang panjang.

Tetapi, hakikatnya bukanlah sebegitu.

Hari ini, ramai telah mengalami kerugian dalam pelaburan saham. Kenapa?

Maka, di sini, saya ingin kongsikan 3 kesilapan yang sering dilakukan oleh ramai orang ketika melabur dalam saham.

Kesilapan #1: Melabur Tanpa Rancangan

Soalan: “Apakah langkah pertama yang harus dan perlu dilakukan oleh individu untuk memulakan pelaburannya dalam saham?”

Adakah ia buka CDS akaun? Bukan.

Bagi saya, jawapannya adalah dengan membuat perancangan pelaburan yang peribadi dengan terperinci. Bayangkan situasi ini.

Bolehkah anda membina rumah idaman sendiri tanpa lukisan ‘Blueprint’? Di manakah letaknya bilik dapur, bilik tidur, bilik mandi dan tandas?

Sedar tak sedar pada hari ini, ramai yang membeli saham tanpa sebarang pelan pelaburan atau pun ‘Blueprint’ terlebih dahulu. Ini satu kesilapan yang menyebabkan kerugian dalam pelaburan saham.

Berapa banyak ROI yang anda nak dalam masa setahun? 10% setahun? 20% setahun? 30% setahun? Atau mungkin anda nak 10% sebulan?

Berapa banyak pula masa yang anda boleh peruntukkan setiap hari? Untuk baca news, untuk baca laporan kewangan, untuk kaji carta, untuk conteng carta.

Maka, buatlah perancangan terlebih dahulu sebelum membeli apa-apa saham.

Kesilapan #2: Beli Saham Umpama Berjudi

Hari ini, kita ada lebih daripada 900 syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Dan yang patuh Syariah pula hampir 700 buah syarikat.

Mungkin, anda tanya: ‘Saham manakah yang menguntungkan?’

Jawapannya ada di dalam ‘Blueprint’ pelaburan peribadi anda tadi. Tak sama dengan orang lain.

Tanpa adanya ‘Blueprint’, ramai tidak mempunyai satu sistem yang cekap untuk pilih saham yang menguntungkan dan dapat mengasingkan saham-saham yang tidak berkualiti daripada masuk ke dalam ‘Watchlist’ mereka.

Maka, ramai pilih saham secara perjudian, berdasarkan Buy Call atau terikut-ikut orang lain. Orang lain dah untung dan post screenshot, kita pun ikut beli. Tapi malangnya terbeli di puncak.

Ini merupakan cara pantas untuk membazirkan modal yang boleh dan sepatutnya digunakan untuk menambahkan kekayaan.

Maka, kalau anda tidak pasti saham mana yang bagus dan asingkan yang bagus daripada yang buruk, jangan beli saham. Lebih baik tambah lagi ilmu di dada dan melabur dalam diri sendiri terlebih dahulu.

Kesilapan #3: Mula Besar-Besaran

Soalan: “Saya ada RM100,000 untuk beli saham. Saya sangat yakin bahawa saham A, B, dan C akan naik harga. Adakah bijak kalau saya beli guna semua modal saya?”

Mungkin, anda dah buat perancangan yang terperinci.

Mungkin, anda rasa dah cukup belajar ilmu dalam bidang pelaburan saham ini.

Mungkin, anda akan rasa kesal kalau tidak ambil kesempatan yang terhidang di depan mata untuk mendapatkan keuntungan.

Bagi saya, tak perlulah mula secara besar-besaran.

Pada awalnya, rasa sikap yang perlu ada dan dipupuk adalah ‘sikap untuk belajar’ dan bukannya ‘sikap ketamakan’. Maka, kalau saya ada RM100,000, saya akan mula dengan RM10,000 terlebih dahulu dan letak baki RM90,000 dalam ASB, Tabung Haji atau instrumen lain.

Bila dah dapat keuntungan daripada pelaburan RM10,000 tadi, barulah perlahan-lahan menambahkan jumlah pelaburan tersebut secara progresif.

Kalau dengan RM10,000 pun tak boleh dikembangkan, ingat dengan RM100,000 tu boleh dikembangkan ke?

Sekurang-kurangnya kalau saya mengalami kerugian, masih ada RM90,000 dan mungkin faedah sikit untuk pelaburan yang seterusnya.

Yang lebih penting adalah untuk belajar daripada kesilapan dan teruskan usaha untuk memperbaikinya.

Kesimpulan

Pelaburan saham secara amnya boleh membawa kepada kebebasan kewangan diri sendiri dan keluarga. Di sini, saya ingin mengakhiri perkongsian dengan 3 perkara yang anda boleh lakukan pada hari ini untuk menjadi pelabur yang lebih bijaksana:

1. Buatlah Perancangan Kewangan Terlebih Dahulu.

Pastikan anda mempunyai perlindungan Takaful dan simpanan sebanyak 3-6 bulan daripada gaji bulanan, barulah nak mula melabur.

2. Baca Artikel Saham di KCLau.com bagi Bahasa Inggeris atau MajalahLabur.com bagi Bahasa Malaysia.

3. Mula Pelaburan Saham Dengan Modal Yang Kecil. Niatnya Untuk Kumpul Pengalaman Dan Asah Ilmu Yang Dipelajari

Biodata Penulis

Ian Tai merupakan Pengasas portal saham Bursaking.com.my dan Editor di KCLau.com. Beliau juga merupakan Penyumbang Artikel kepada The Fifth Person, Value Invest Asia dan Small Cap Asia, laman-laman web saham terkemuka di Singapura.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Air Selangor Selesai Terbit Sukuk SRI Bernilai RM1.5 Bilion

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) — Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berjaya menyempurnakan terbitan tranche ketujuh dan terbesar sukuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) di bawah program Sukuk Kelestarian Air Selangor bernilai RM1.5 bilion.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata terbitan tersebut merangkumi lima siri sukuk dengan tempoh matang antara tujuh hingga 25 tahun.

Ia merupakan terbitan kelapan di bawah Program Sukuk Murabahah Air Selangor yang dinaikkan hadnya kepada RM20 bilion bagi menyokong keperluan infrastruktur jangka panjang dan matlamat kemampanan syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Adam Saffian Ghazali berkata sambutan yang menggalakkan terhadap sukuk SRI sebelum ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap daya tahan kewangan syarikat serta komitmen bersama ke aras kemajuan mampan.

Beliau berkata untuk terbitan kali ini, ia menerima permintaan tinggi daripada pelabur, dengan lebihan langganan sebanyak 2.51 kali dan jumlah nilai perolehan kontrak mencecah RM3.77 bilion, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Air Selangor dalam pasaran sukuk mampan.

“Program Sukuk Murabahah itu turut menerima pengukuhan semula penarafan kredit AAA jangka panjang dengan tinjauan stabil oleh RAM Rating Services Bhd pada 28 Ogos 2025, membuktikan asas kredit program yang kukuh,” katanya.

Air Selangor berkata hasil daripada penerbitan sukuk SRI ini akan digunakan bagi membiayai projek-projek layak yang sejajar dengan keutamaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) syarikat serta Rangka Kerja Sukuk Kelestarian Pembangunan Mampan.

Antara projek utama yang bakal menerima pembiayaan termasuk inisiatif bekalan air mampan dan pengurusan sumber air seperti Skim Bekalan Air Rasau serta program penggantian paip, yang mencerminkan komitmen Air Selangor dalam memastikan jaminan bekalan air jangka panjang untuk generasi akan datang, kata syarikat itu.
— BERNAMA