Anda Kenal Mickey Mouse, Tapi Kenalkah Anda Siapa Penciptanya?

Siapa yang tidak kenal dengan kartun Mickey Mouse? Satu dunia pasti familiar dengan tikus yang boleh berjalan dan bercakap kan? Ia merupakan perintis kepada satu jenama besar dalam dunia animasi seluruh dunia. Tapi tahukah anda tentang kisah suka-duka sebelum jenama animasi ini tercipta?

Watak Mickey Mouse telah dicipta oleh seorang lelaki yang bernama Walt Disney. Lelaki yang dilahirkan pada 5 Disember 1901 ini memang minat melukis sejak daripada kecil lagi. Disebabkan beliau lahir dalam keluarga yang agak susah, beliau dan abangnya terpaksa bekerja sebagai budak penghantar suratkhabar sambil belajar.

Beliau mengasah skill melukisnya dengan menjual lukisan kepada jirannya. Selain daripada itu, dia turut melukis kartun berkisarkan tentang Perang Dunia Pertama dalam suratkhabar sekolah.

Pada tahun 1917 pula, hidup Walt Disney terus berubah apabila Amerika terlibat dalam perang. Sebagai seorang yang berjiwa patriotik, beliau telah mengambil keputusan untuk menyertai pasukan tentera. Tetapi disebabkan ketika itu beliau masih lagi di bawah umur, permohonannya telah ditolak. Beliau kemudian telah menyertai Palang Merah sebagai pemandu ambulans dan berkhidmat di Perancis selama setahun.

Setelah perang tamat, beliau kembali ke Amerika untuk mengejar cita-citanya bagi menjadi kartunis terkenal. Tetapi permohonannya ditolak kerana pihak penerbit mendakwa beliau kurang kreatif untuk bekerja bersama mereka. Beliau kemudiannya bekerja di Kansas City Film Ad Company. Di sini beliau membuat pengiklanan menggunakan teknik cut-out animations. Bermula daripada detik itu, minat dalam bidang animasi mula timbul.

Beliau mula membaca pelbagai buku tentang dunia animasi dan juga bereksperimen menggunakan kamera. Beliau kemudian telah membuka syarikat animasinya sendiri dan menerbitkan kartun ‘Laugh-O-Grams’ yang ditayangkan di panggung-panggung tempatan. Kejayaan kartun ini telah membolehkan beliau memiliki studionya sendiri.

Tapi sekali lagi, malang menimpa apabila studio ini terpaksa ditutup. Tidak berputus asa, beliau mengambil keputusan untuk ke Hollywood dan membuka studio di sana bersama dengan abangnya Roy. Mereka kemudian menerbitkan animasi ‘Alice Comedies’ yang mencatatkan kejayaan.

Pada tahun 1927, mereka mendapat peluang bekerjasama dengan Universal Studio untuk menerbitkan ‘Oswald The Lucky Rabbit’. Animasi ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan, tetapi beliau terpaksa berhenti menerbitkannya kerana ramai pekerjanya yang berhenti kerja.

Pada waktu inilah, beliau telah mencipta watak Mickey Mouse bersama sahabatnya Ubbe Iwerks. Tetapi tiada siapa yang berminat untuk mengedarkan animasi tikus itu kecuali Pat Powers. Anda pasti dapat mengagak apa yang berlaku seterusnya bukan? Animasi tersebut menjadi hits mengalahkah saingannya iaitu Felix the Cat.

Walt Daisney juga mencipta sejarah dalam dunia animasi apabila menerbitkan filem animasi Snow White. Kalau anda hendak tahu, pada waktu itu belum ada mana-mana syarikat animasi yang pernah menerbitkan filem animasi yang berdurasi panjang. Kemudian kejayaan demi kejayaan telah berjaya dicapai.

Kini syarikat beliau menjadi antara syarikat penerbitan yang paling berjaya di dunia. Syarikat itu tidak terhad kepada penghasilan animasi sahaja, tetapi merangkumi segala cabang dalam industi hiburan seperti kabel televisyen, muzik, filem dan sebagainya. Pendapatan syarikat ini pada tahun 2017 dianggarkan sebanyak $55.14 bilion US Dollar! Bayangkan jika lelaki yang bernama Walt Disney ini berputus asa separuh jalan, pasti kita tak akan dapat menikmati rancangan hebat dan berkualiti daripada mereka bukan?

Sumber Rujukan

  1. https://successstory.com/people/walter-elias-disney
  2. https://the-artifice.com/walt-disney-story/

 

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.