9 Tips Mencari Guru, Cikgu atau Sifu Pelaburan Saham

Selalu nampak tak dekat news feed banyak iklan kelas melabur saham?

Sekarang musim saham. Baru-baru ini ramai yang dapat keuntungan segera dalam saham apabila berjaya raih pulangan yang baik.

Dan bagaimana pula nak tahu jika guru saham tersebut benar-benar layak untuk mengajar?

Takut nanti tersilap pilih guru, dapat ajaran sesat pula.

Mengikut Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan, istilah-istilah “otai”, “sifu” dan seumpamanya tidak menjadikan seseorang itu layak dengan sendirinya untuk memberi nasihat pelaburan.

1. Tengok Latarbelakang Guru Saham

Memang tak dinafikan, guru saham tersebut perlulah seorang yang berkelayakan. Lagi elok, sekiranya guru tersebut mempunyai pengalaman bertahun lamanya dan sudah melalui proses jatuh bangun terutamanya apabila fasa pasaran saham merudum (bearish) dan fasa pasaran saham naik mendadak (bullish).

  1. Ada tak guru tersebut mempunyai kelulusan berkaitan kewangan daripada institusi pengajian tinggi?
  2. Ada tak beliau menjadi mana-mana ahli persatuan seperti Malaysian Association of Technical Analysts (MATA) dan CMT Association?
  3. Adakah guru saham tersebut ada sijil yang diiktiraf seperti Certified Financial Technician (CFTe) atau Certified Market Technician (CMT)?

Sebab kalau guru saham serius untuk mengajar anak buah, pasti beliau mementingkan ilmu dan sentiasa upgrade diri sendiri. Saban tahun pergi belajar dan terus belajar, lalu menyampaikan ilmu yang baru.

2. Tengok Anak Didik

Dah lulus latarbelakang guru saham tersebut, jangan lupa untuk tengok anak didiknya juga. Guru saham yang hebat, sudah pasti mampu menghasilkan anak didik yang hebat-hebat juga. Mereka ini tidak kedekut ilmu, malahan suka menolong dan menjawab pertanyaan orang ramai yang baru dalam pasaran saham.

Bukan setakat post screenshot untung semata-mata.

3. Guru Bukan Sekadar Beri Buy Call

Biasa dengar pepatah, “If you give a man a fish, he will eat for one day. But if you teach a man how to fish, he will eat everyday”.

Ya, seorang guru saham bukan setakat memberi tips tau Buy Call (saham apa boleh beli) saja, tetapi mampu mengajar anak buahnya bagaimana untuk mengesan awal saham-saham yang berpotensi untuk mendatangkan pulangan yang baik.

Faham betul-betul apa itu CANSLIM, Fundamental Analysis, Technical Analysis dan banyak lagi.

4. Bantu Sampai Jadi

Perasan tak ada guru tu, bila kita dah pergi seminar beliau – sampai sekarang tak dengar khabar berita. Lebih parah lagi kalau kita pergi kelas yang berbayar.

Dah menjadi lumrah alam, ada yang dapat terima ilmu dan aplikasinya dengan sangat cepat; tapi ada juga yang merangkak. Kesian kepada mereka yang terkapai-kapai ini, tak dapat sebarang bantuan. Carilah guru yang mempunyai kumpulan sokongan supaya dapat terus membantu anda secara berterusan.

5. Aktif Berkongsi di Laman Sosial

Lagi satu, nak berhijrah mencari ilmu yang baru; kena rajin follow mereka yang berilmu. Biasanya guru saham (dan anak didiknya), rajin berkongsi tips-tips yang perlu ikut dan perlu elak dan langkah-langkah untuk berjaya seperti mereka.

Berusaha untuk cari mereka ini, dan add mereka sebagai friend di Facebook dan seterusnya follow mereka.

6. Tak Tahu, Boleh Tanya Remisier Anda

Dah minat dengan saham, dan dah buka pula akaun CDS; cuba menjadi rakan dengan remisier anda. Tak tahu siapa itu remisier, boleh baca Siapa Itu Remisier? Ramai Pelabur Saham Keliru Dengan Tugas Mereka.

Secara ringkasnya, remisier adalah orang yang akan membantu dari segi teknikal, contohnya jika anda ada masalah dengan trading platform, bagaimana nak jual dan beli saham, kos brokerage yang terlibat dan sebagainya.

Guru saham kebanyakannya adalah remisier, lagi champion sekiranya mereka menjadi ahli The Bumiputera Dealer Representatives Education Fund (BDREF). Kenali 3 Tokoh Bumiputera Terima Anugerah BDREF Champions.

Ada juga kami nampak guru-guru saham yang bukan remisier pun tetapi berjaya buat kelas sebab ‘menjual’ testimoni anak murid mereka sebagai bahan marketing. Rasanya tak ada undang-undang yang melarang, tetapi kami nasihatkan supaya berhati-hati.

7. Mendapat Pengiktirafan Daripada Badan Berautoriti

Seterusnya kita boleh tengok samada guru saham tersebut mendapat pengiktirafan daripada badan berautoriti. Ada tak pihak Bursa Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti mengiktiraf mereka? Ada tak mereka menang apa-apa award daripada badan berautoriti?

Dekat laman web BursaMKTPLC (sebahagian Bursa Malaysia) ada senarai mereka yang diiktiraf.

Dan baru-baru ini, kita dapat lihat Pusat Zakat pun banyak menggalakkan penganjuran majlis ilmu berkaitan pelaburan saham. Dah Kenapa Pusat Pungutan Zakat Anjur Seminar Saham?

8. Harimau Mati Meninggalkan Belang, Manusia Mati Meninggalkan Ilmu

Salah satu daripada 3 perkara yang boleh membawa kebaikan selepas kita meninggal dunia kelak, adalah ilmu yang bermanfaat. Dan ilmu ini boleh datang daripada anak buah yang meneruskan dakwah guru saham tersebut, dan juga daripada buku-buku yang ditinggalkan mereka.

Boleh semak Senarai Buku-Buku Kalau Nak Belajar Pasal Pelaburan Saham, semoga bermanfaat.

9. Tidak Hanya Cerita Untung

Akhir sekali carilah guru yang tidak hanya cerita untung, untung, untung semata-mata. Carilah guru yang sentiasa mengingatkan kita tentang kepentingan menjadi seorang pelabur / pedagang saham yang bertaqwa.

Kalau beliau tak pernah langsung berkongsi atau sebut tentang zakat saham, memang berat tu.

Jangan Silap Pilih Guru

Semoga dengan 9 tips mencari guru pelaburan saham ini, anda dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan kaki-kaki scammers.

Masih keliru lagi? OK lah, kami bagi jawapan bocor untuk anda dengan Senarai Sifu-Sifu Saham & Kewangan Di Malaysia. Harga kelas murah atau mahal itu subjektif. Macam nak beli kereta, Honda atau Mercedes. Dua-dua ni jenama kereta tetapi harga, kualiti dan nilai tak sama.

Nak untung melabur saham ribu-ribu, juta-juta tapi nak melabur dalam ilmu pun berkira?

“Gerenti buat untung ke kalau belajar dengan si polan?”

Banyak cantik muka tu.

Ada orang belajar 3 hari dia faham.
Ada orang belajar 3 hari dia faham sikit.
Ada orang belajar 3 hari satu apa pun dia tak faham.

Ada orang belajar dengan seorang guru, sekali belajar, dah pandai.
Ada orang belajar dengan sorang guru, repeat kelas 4-5 kali, baru pandai.
Ada orang belajar dengan pelbagai guru, pun boleh pandai, siap dah boleh buat seminar saham sendiri.

Akhir kata lepas masuk mana-mana kelas nanti jangan pula mengharapkan ada FB group, WhatsApp group, Telegram group supaya senang tak perlu fikir dah nak beli saham apa, tunggu orang suap. Anda yang jenis sebegini memang tak sesuai menjadi pelabur!

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Terpaksa Pilih Satu: Melabur Dalam Saham atau Emas?

Pelaburan merupakan salah satu cara terbaik untuk membina kekayaan jangka panjang dan melindungi nilai wang daripada inflasi. Namun begitu, persoalan yang sering timbul di kalangan pelabur baharu ialah sama ada lebih baik melabur dalam saham atau emas.

Hakikatnya, saham dan emas bukan musuh.
Mereka adalah dua watak yang berbeza dalam cerita kekayaan kita (fuh!).

Saham beri peluang untuk kita buat banyak duit, tapi ada masa dia boleh jatuh tanpa amaran.
Emas pula jarang mengecewakan, tapi juga jarang buat kita rasa “wow” (kecuali akhir-akhir ini bila harga melambung).

Artikel ini akan menghuraikan perbezaan utama antara saham dan emas berdasarkan sifat aset, potensi pulangan, risiko, kecairan, jangka masa pelaburan, serta modal minimum.

Sifat Aset

Saham ialah pemilikan sebahagian kecil daripada sesuatu syarikat. Apabila seseorang membeli saham, secara asasnya beliau menjadi pemilik bersama syarikat tersebut. Nilai saham dipengaruhi oleh prestasi kewangan syarikat, pertumbuhan perniagaan, unjuran masa depan, serta sentimen pasaran.

Apa contoh saham yang boleh dimiliki?

  • Rasa nak minum susu, kita cari Farm Fresh.
  • Tekak haus, kita capai air Spritzer.
  • Perlukan barang RM2.60, kita masuk kedai Eco-Shop.
  • Nak barang murah, kita ke Mr DIY.
  • Nak minum kopi dan lepak-lepak, kita pakat beratur di Oriental Kopi.

Apa yang ramai tak sedar, semua jenama ini bukan sekadar tempat kita berbelanja tetapi adalah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia yang sahamnya boleh dimiliki oleh orang ramai.

Emas pula merupakan aset fizikal berbentuk komoditi yang diiktiraf di seluruh dunia. Ia tidak bergantung pada prestasi mana-mana syarikat. Harga emas lazimnya dipengaruhi oleh permintaan global, pengeluaran lombong, kekuatan dolar Amerika Syarikat, inflasi serta ketidakstabilan geopolitik.

Potensi Pulangan

Pulangan saham datang daripada dua sumber utama iaitu kenaikan harga (capital gain) dan dividen.

Sebagai contoh, seorang pelabur membeli saham sebuah syarikat pada harga RM2 dan lima tahun kemudian harga saham tersebut naik kepada RM4. Itu sudah memberikan pulangan 100%. Sepanjang tempoh lima tahun itu, katakan syarikat tersebut turut membayar dividen sebanyak 10 sen setahun. Jika pelabur memiliki 1,000 unit saham, beliau menerima RM100 setahun, atau RM500 sepanjang lima tahun. Dividen ini adalah wang tunai sebenar yang boleh digunakan atau dilaburkan semula, tanpa perlu menjual saham.

Gabungan kenaikan harga dan dividen inilah yang menjadikan saham sebagai salah satu instrumen paling berkuasa untuk membina kekayaan. Semakin lama saham dipegang dalam syarikat yang berkualiti, semakin besar peluang untuk menikmati kesan penggandaan hasil daripada pertumbuhan perniagaan dan pendapatan dividen.

Emas pula memberikan pulangan melalui kenaikan harga sahaja.

Sebagai contoh, seseorang membeli emas pada harga RM250 segram dan lima tahun kemudian harga naik kepada RM350 segram, pulangannya adalah sekitar 40%. Pelabur tidak menerima sebarang bayaran berkala sepanjang tempoh pegangan tersebut.

Risiko

Pelaburan saham membawa risiko lebih tinggi kerana harga boleh turun naik setiap hari. Ia dipengaruhi oleh prestasi syarikat, keadaan ekonomi, dasar kerajaan, malah sentimen global. Sebagai contoh, ketika pandemik tahun 2020, banyak saham jatuh mendadak sebelum kembali pulih.

Sebaliknya, emas dianggap aset selamat atau safe haven. Semasa krisis kewangan, harga emas sering naik kerana pelabur mencari perlindungan daripada kejatuhan pasaran saham. Namun emas juga boleh susut nilai apabila ekonomi stabil dan pelabur kembali kepada aset berisiko tinggi.

Kecairan

Pasaran saham sangat cair kerana pelabur boleh membeli dan menjual saham melalui broker atau platform dalam talian pada bila-bila masa ketika pasaran dibuka. Proses transaksi juga pantas.

Emas juga boleh ditukar kepada wang tunai dengan mudah, tetapi jika emas fizikal, pelabur perlu menjualnya semula kepada kedai emas atau pembeli. Spread harga beli dan jual emas fizikal biasanya lebih tinggi. Kini wujud alternatif emas digital melalui akaun pelaburan bank atau aplikasi yang membolehkan pelabur membeli emas dengan modal kecil dan menjualnya semula dengan lebih mudah.

Jangka Masa Pelaburan

Saham sesuai untuk pelaburan jangka pendek, sederhana dan panjang. Bergantung kepada strategi dan kemahiran pelabur.

Dalam jangka pendek, saham sering digerakkan oleh berita, sentimen pasaran dan aliran dana institusi. Pelabur yang berpengalaman boleh memanfaatkan turun naik ini untuk menjana keuntungan dalam tempoh seminggu atau sebulan. Namun pendekatan ini menuntut disiplin kerana pergerakan harga boleh berubah dengan cepat.

Sebagai contoh, seorang pelabur mungkin membeli saham selepas keputusan kewangan yang baik dan menetapkan sasaran keuntungan 15% serta had kerugian 3%. Jika harga naik dan mencapai sasaran, dia terus jual walaupun masih ada potensi untuk naik lagi. Jika harga jatuh dan menyentuh had kerugian, dia terus jual tanpa menaruh harapan harga akan naik. Inilah disiplin.

Dalam jangka sederhana dan panjang, perkara yang paling penting ialah prestasi sebenar syarikat. Pertumbuhan pendapatan, keuntungan dan kedudukan pasaran akan tercermin dalam harga saham dari masa ke masa. Di sinilah pelabur boleh menikmati kesannya apabila syarikat yang baik terus berkembang dan nilai pegangan mereka meningkat secara beransur-ansur.

Semakin lama saham dipegang dalam syarikat yang berkualiti, semakin tinggi kebarangkalian pelabur memperoleh pulangan yang mengatasi inflasi dan simpanan biasa.

Emas pula lebih sesuai sebagai simpanan nilai jangka panjang. Ia berfungsi sebagai alat perlindungan nilai terhadap inflasi. Ramai pakar kewangan mengesyorkan agar pelabur menyimpan sekitar lima hingga sepuluh peratus daripada jumlah aset mereka dalam bentuk emas untuk menstabilkan risiko. Bank Negara Malaysia pernah melaporkan purata inflasi Malaysia sekitar dua hingga tiga peratus setahun, menjadikan emas sebagai pilihan lindung nilai yang relevan.

Modal Minimum

Pelaburan saham boleh bermula dengan modal serendah ratusan ringgit. Sebagai contoh, jika harga sesuatu saham ialah RM1.50 seunit dengan lot minimum 100 unit, pelabur hanya memerlukan RM150 untuk mula melabur.

Pelaburan emas menggunakan platform digital boleh dimulakan serendah RM10 hingga RM100. Namun, bagi emas fizikal seperti jongkong atau syiling, pelabur biasanya memerlukan modal sekurang-kurangnya beberapa ratus ringgit.

Ketahui beberapa platform yang ada untuk kita pilih sebelum nak melabur emas. Info di 7 Platform Yang Ada Untuk Kita Melabur Emas

Kesimpulan

Strategi yang lebih seimbang adalah dengan menggabungkan kedua-duanya dalam portfolio pelaburan. Sebagai contoh, 70 peratus dalam saham patuh syariah untuk pertumbuhan modal dan 30 peratus dalam emas sebagai aset pelindung inflasi. Dengan cara ini, pelabur bukan sahaja berpeluang membina kekayaan tetapi juga mengekalkan kestabilan kewangan. Namun peratusan ini hanyalah ilustrasi. Nisbah sebenar bergantung kepada umur, tahap risiko, matlamat kewangan dan situasi setiap individu

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.

Berminat nak buka akaun CDS dengan CGSI (sebelum ini dikenali sebagai CGS-CIMB)? Sekarang dah mudah, boleh buka secara atas talian (online) sahaja. Kelulusan pun segera jika tiada apa-apa isu.

Rujuk tutorial mudah ini > Nak Buka Akaun CDS Online Dengan CGSI (CGS-CIMB)? Jom Ikut Tutorial Ini

Masukkan kod SP1M538 pada ruang Remisier Reference.