
Photo by Mikhail Nilov from Pexels
Sub Topik
Analisis Fundamental dan Analisis Teknikal merupakan dua komponen utama dalam kajian terhadap sesebuah pasaran dan juga harga saham sesebuah syarikat. Kedua-dua pendekatan ini memerlukan kita melakukan kajian dan jangkaan trend pasaran saham pada masa akan datang.
Seperti mana-mana strategi pelaburan atau perdagangan saham yang lain, kedua-dua analisa ini mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.
Bila kita melakukan perbandingan dan pemilihan metodologi ke dalam analisa tersebut, terdapat dua faktor utama.
1. Tempoh Masa
Pertama adalah, tempoh masa yang digunakan dalam pendekatan anda. Analisis Fundamental lebih kepada pelaburan jangka masa panjang. Manakala Analisis Teknikal lebih kepada jangka masa pendek.
Seterusnya anda perlu tahu, anda adalah jenis pelabur yang bagaimana. Kerana ini boleh membantu anda pilih analisa mana yang sesuai.
2. Pelabur vs Pedagang?

Tanya diri sendiri, adakah anda seorang pelabur (investor) atau seorang pedagang (trader)?
Analisis Fundamental adalah kajian mendalam terhadap syarikat. Ini melibatkan kajian terhadap laporan kewangan sama ada Quarter Report (setiap 3 bulan sekali) mahupun Annual Report (setiap setahun sekali).
Ini termasuklah kajian sama ada pendapatan syarikat semakin bertambah setiap tahun, keuntungan syarikat semakin meningkat setiap tahun walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran seperti kegawatan ekonomi disebabkan pandemik yang melanda.
Manakala analisis teknikal adalah, strategi dagangan untuk kita mendapatkan keuntungan dengan mengenalpasti arah tuju harga saham pada masa akan datang. Kita akan lebih banyak menghabiskan masa untuk mengkaji carta, candlestick, volume dan sebagainya.
Masih keliru? Berikut adalah penerangan lebih lanjut mengenai Analisis Fundamental dan Analisis Teknikal.
Analisis Fundamental

Dalam pelaburan saham, analisis fundemantal termasuk dalam memahami asas perniagaan sesebuah syarikat. Pelabur akan mencari dan mengkaji syarikat yang mempunyai produk yang baik, dikenali ramai, mempunyai pihak pengurusan yang mantap, potensi tinggi dalam perniagaan, dan banyak lagi.
Setelah kita melakukan kajian terperinci terhadap sesebuah syarikat, kita boleh melabur ke dalam saham dan mendapatkan keuntungan pada masa akan datang, berdasarkan potensi syarikat yang baik.
Analisis Fundamental hampir sama dengan ‘Depth Analysis’, iaitu analisa yang digunapakai oleh seseorang usahawan ketika merancang perniagaan pada awalnya. Kami mempercayai bahawa Analisis Fundamental adalah ibarat sebahagian daripada jati diri seorang usahawan dalam memilih portfolio saham yang ingin dibeli dan disimpan untuk tempoh bertahun-tahun lamanya.
Analisis Teknikal

Analisis Teknikal pula biasanya disertai oleh analisa carta melalui sejarah pergerakan harga pada masa lalu. Ini termasuklah perkara seperti volume dan harga saham pada tempoh masa yang berbeza.
Pemahaman tentang corak dalam data carta saham juga adalah sebahagian daripada analisis teknikal yang sangat popular. Pelabur membuat jangkaan masa hadapan berdasarkan corak harga yang pernah berlaku pada masa lalu. ‘History repeat itself’ ternyata benar dalam pelaburan saham.
Setelah kita menjumpai saham yang dijangka akan meningkat naik, kita akan membeli dan menyimpan saham tersebut. Sehinggalah kita dapati bahawa arah saham tersebut akan bertukar arah dan tidak lagi mendatangkan keuntungan kepada kita.
Sekarang dah tahu apakah yang dimaksudkan dengan Analisis Fundamental dan Analisis Teknikal, anda suka yang mana?










