Apa Itu Dagangan Kontra Atau Contra Trading?

Ada yang pernah dengar pasal dagangan kontra atau contra trading ni tak? Bersama-sama kita pada hari ini untuk menjelaskan lebih lanjut pasal dagangan kontra, kita jemput Tuan Azmi Mohd Amin, seorang anak muda yang bergelar remisier di Maybank Investment Bank untuk menjelaskan dengan lebih lanjut.

Formula T+3

Transaksi contra merujuk kepada jumlah hari yang diambil untuk menyelesaikan sesuatu transaksi jual atau beli saham. Ia bermula dari hari berlakunya transaksi beli atau jual saham yang kita rujuk sebagai “T-day” dan berakhir dengan hari pembayaran saham yang kita rujuk sebagai “T+3”.

Dalam proses ini, Bursa Malaysia mengambil masa 3 hari bekerja untuk membuat pertukaran duit dan saham di antara para pelabur. Jadi contra trading berlaku apabila pelabur membuat urusan beli dan jual saham sebelum berlakunya pembayaran saham tersebut pada hari ke-3.

Prosedur dalam pembelian dan penjualan saham untuk transaksi contra sama seperti biasa. Cuma perbezaannya adalah sama ada pelabur yang perlu bayar broker atau broker yang perlu bayar pelabur untuk perbezaan harga transaksi beli dan jual saham tersebut.

  • Sekiranya harga beli lebih tinggi daripada harga jual, ini akan menjadi contra loss di mana pelabur perlu bayar kerugian tersebut kepada broker
  • Sekiranya harga jual lebih tinggi daripada harga beli, ini akan menjadi contra profit, di mana broker perlu bayar keuntungan tersebut kepada pelabur.

Transaksi contra ini adalah satu keistimewaan yang diberikan oleh broker kepada pelabur. Akan tetapi keistimewaan ini bergantung kepada jenis akaun saham pelabur. Ia merupakan satu kemudahan yang diberikan oleh broker yang membenarkan pelabur untuk membeli dan menjual saham dalam tempoh masa 3 hari tanpa membayar kontrak pembelian tersebut.

Sehingga 3 Kali Ganda Had

Untuk jenis cash account, pelabur hanya mendapat had pembelian bersamaan dengan jumlah duit yang ada dalam akaun sahamnya. Untuk jenis collateralized direct account, pelabur akan mendapat had pembelian bersamaan dengan 3 kali ganda jumlah duit yang ada dalam akaun sahamnya.

Saya bagi 1 senario yang sering berlaku:

Pak Kodi mempunyai duit RM10,000 di dalam akaun sahamnya (collateralized direct account). Dia boleh membeli saham bernilai sehingga RM30,000, di mana RM20,000 lagi merupakan kemudahan yang diberikan oleh broker tersebut.

Jadi Pak Kodi membeli 30,000-unit saham syarikat getah XYZ pada harga RM0.80 (RM24,000) pada hari Isnin (T-day). Beliau juga perlu membayar kos pembelian sebanyak RM132. Jumlah kos keseluruhan pembelian Pak Kodi adalah RM24,132.

Tambah Duit Atau Terpaksa Jual (Force Selling)

Beliau menjangkakan sahamnya itu boleh naik dalam tempoh contra tersebut. Pak Kodi boleh menambah duit RM14,132 pada hari Khamis (T+3) sekiranya dia ingin menyimpan saham tersebut. Sekiranya beliau gagal atau tidak ingin berbuat demikian, maka saham bernilai RM14,132 itu wajib dijual pada hari ke-4 atau hari Jumaat (T+4).

Ini juga dikenali sebagai force selling. Baki saham bernilai RM10,000 lagi boleh disimpan.

Andai kata, pada hari ke-3 iaitu hari Khamis (T+3) harga saham Pak Kodi naik dan beliau ingin menjual 30,000-unit saham syarikat getah XYZ pada harga RM0.85 (RM25,500). Beliau juga perlu membayar kos penjualan RM140.75 di mana nilai akhir penjualan saham adalah RM25,359.25.

Jadi contra profit yang Pak Kodi dapat adalah sebanyak RM1,213.89 dalam tempoh contra tersebut.

Boleh Mendatangkan Keuntungan, Tetapi Berisiko Tinggi

Contra trading sangat berisiko. Ianya merupakan aktiviti spekulasi saham yang mana boleh membuatkan pelabur overtrade, dengan kata lain membeli saham melebihi kemampuan mereka dan mengalami kerugian yang besar. Tempoh masa untuk spekulasi saham juga menjadi semakin singkat. Sebelum ini pernah dilaksanakan T+7 dan T+5 kepada pelabur.

Kini, Bursa Malaysia ingin menyelaraskan operasi menjadi T+2, dijangka pada suku tahun kedua 2019 seperti yang dilaksanakan di negara jiran kita iaitu Thailand, Indonesia & Singapura pada tahun ini. Oleh itu, contra trading tidak disarankan kepada pelabur yang baru menceburkan diri dalam pelaburan saham melainkan mereka yang memiliki ilmu teknikal yang tinggi.

Boleh follow saya di FB Azmi Mohd Amin Stokbroker atau telefon saya di 016-4469288 untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kelas saham.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Meridian Ditegur Bursa, Didenda RM8,500

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Securities Bhd mengenakan teguran secara terbuka terhadap Meridian Bhd dan Pengarah Eksekutifnya, Tang Boon Koon, selepas syarikat itu didapati melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities (LR Utama).

Tang turut dikenakan denda keseluruhan RM8,500 berikutan pelanggaran berkenaan.

Bursa Malaysia Securities dalam kenyataan berkata, Meridian melanggar perenggan 9.23(1) LR Utama kerana gagal menerbitkan laporan tahunan termasuk penyata kewangan diaudit dalam tempoh ditetapkan bagi tempoh kewangan 17 bulan berakhir 30 November 2023 dan tempoh kewangan 18 bulan berakhir 31 Mei 2025.

Menurutnya, laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 30 November 2023 hanya diterbitkan pada 5 April 2024, iaitu lewat lima hari urus niaga selepas tarikh akhir pada 31 Mac 2024.

Sementara itu, laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mei 2025 diterbitkan pada 8 Oktober 2025, iaitu lewat enam hari urus niaga selepas tarikh akhir pada 30 September 2025.

“Tang, Pengarah Eksekutif Meridian pada masa itu, melanggar perenggan 16.13(b) LR Utama kerana membenarkan Meridian melakukan pelanggaran berkenaan serta dikenakan teguran secara terbuka selain denda keseluruhan berjumlah RM8,500,” katanya.

Bursa Malaysia Securities turut mengarahkan Meridian memastikan Tang dan kakitangan berkaitan menghadiri program latihan pematuhan LR Utama, khususnya berkaitan penyata kewangan.

Selain itu, lembaga pengarah syarikat diminta menyemak semula kecukupan serta kecekapan sumber kewangan dan perakaunan, selain dasar serta prosedur pelaporan kewangan syarikat.

Bursa Malaysia Securities berkata, dapatan pelanggaran dan tindakan terhadap Meridian serta Tang dibuat menurut perenggan 16.19 LR Utama selepas proses sewajarnya selesai dengan mengambil kira semua fakta dan keadaan berkaitan kes berkenaan.

Pertimbangan itu termasuk kepentingan material pelanggaran, kesannya terhadap Meridian serta pemegang saham atau pelabur, selain peranan, tanggungjawab, pengetahuan dan tingkah laku Tang.

Bursa Malaysia Securities memandang serius pelanggaran berkenaan kerana penyerahan penyata kewangan dalam tempoh ditetapkan adalah kewajipan asas bagi syarikat tersenarai.

“Amat penting untuk memastikan pasaran yang teratur dan adil bagi sekuriti yang diniagakan di Bursa Malaysia Securities serta perlu bagi membantu keputusan pelaburan yang termaklum.

“Bursa Malaysia Securities turut mengingatkan Meridian dan lembaga pengarahnya mengenai tanggungjawab masing-masing untuk mengekalkan piawaian tanggungjawab korporat serta akauntabiliti yang sewajarnya kepada pemegang saham dan orang awam yang melabur,” katanya.

Menurut Bursa Malaysia Securities, kelewatan penerbitan laporan tahunan berkenaan berpunca terutamanya daripada kegagalan Meridian menyelenggara serta menyediakan maklumat, dokumen dan rekod perakaunan yang diperlukan kepada juruaudit luar.

Keadaan itu turut menyebabkan juruaudit memberikan pendapat penafian terhadap kedua-dua set penyata kewangan diaudit berkenaan.

Pendapat penafian itu mencetuskan kriteria yang ditetapkan di bawah Nota Amalan 17 (PN17), sekali gus menyebabkan Meridian diklasifikasikan sebagai penerbit berstatus PN17 pada 8 April 2024.