CEO Syarikat Bertambah Kaya Dengan Kenaikan Harga Saham Syarikat

Kita semua tahu bahawa asas dalam membuat keuntungan dalam pelaburan saham adalah ‘buy low sell high’. Beli masa harga tengah rendah dan jual bila harga saham meningkat.

Tapi bagaimana pula dengan pemilik syarikat? Takkan nak ‘buy low sell high’ juga? Takkan nak take profit juga sekiranya tahu syarikat memiliki masa depan yang cerah?

Borong Saham Masa Harga Murah

Kita ambil contoh yang baru saja berlaku, iaitu Encik Jalil Rasheed di Berjaya Corporation.

Sumber: Bursa Malaysia

Encik Abdul Jalil bin Abdul Rasheed yang berusia 38 tahun, baru saja dilantik sebagai CEO Berjaya Corporation pada 16 Mac 2021. Beliau merupakan bekas Presiden dan CEO Kumpulan bagi Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Sumber: Malaysiastock.biz

Yang lebih menarik lagi, beliau telah borong 70 juta unit saham Berjaya Corporation pada 24 Mac 2021. Dan beliau tambah lagi pegangan apabila membeli lagi 5 juta pada 29 Mac dan 61 juta lagi pada 30 Mac.

Jumlah pemilikan saham Jalil Rasheed di dalam Berjaya Corporation adalah sebanyak 136 juta unit setakat 30 Mac.

Minat Belian Semakin Meningkat

Sumber: Trading View

Jika dilihat kepada chart syarikat Berjaya Corporation, kelihatan ianya membuat downtrend dan kemudian sideways sejak bertahun-tahun lamanya.

Namun sejak pengumuman bahawa Jalil Rasheed telah dilantik sebagai CEO bagi Berjaya Corporation (CEO pertama yang bukan di kalangan ahli keluarga Tan Sri Vincent Tan), maka volume pun mula masuk.

Bila minat belian meningkat, secara lumrahnya harga saham semakin meningkat. Sehinggalah ke hari ini (1 April), harga saham berterusan naik.

Bertambah Kaya Apabila Saham Berjaya Naik

Bagi Jalil Rasheed pula, jom kita tengok berapa keuntungan yang diperolehinya sejak beliau mula memborong saham Berjaya Corporation.

24 Mac 2021: 70 juta unit x RM0.29 (harga penutup) = RM20.3 juta
31 Mac 2021: 70 juta unit x RM0.455 (harga penutup) = RM31.85 juta
Keuntungan = RM11.55 juta atau kenaikan 56.9%.

Baru masuk pejabat dalam tempoh dua minggu, baru beli saham syarikat dalam masa seminggu, dah untung jutaan ringgit.

Itu belum dikira lagi, belian yang beliau lakukan pada 29 Mac (5 juta unit) dan 30 Mac (61 juta unit).

Sumber: Malaysiastock.biz

Dengan Jalil Rasheed mengemudi Berjaya Corporation, adakah syarikat yang sedang mengalami kerugian ini akan membuat turn around dan menjadi syarikat yang membuat keuntungan pula selepas ini?

Jika ianya berlaku, Jalil Rasheed pasti akan bertambah kaya disebabkan pemilikan beliau dalam syarikat.

*** Nota: Saham Berjaya Corporation adalah tidak patuh syariah.

Baca juga:

Previous ArticleNext Article

PNB Institusi Pelaburan Keempat Terbaik Global Dalam Skor GSR

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) mencatat pencapaian baharu apabila menduduki tempat keempat terbaik di peringkat global dalam Papan Skor Governance, Sustainability and Resilience (GSR) 2026 yang diterbitkan oleh Global SWF.

PNB turut mengekalkan kedudukan sebagai institusi pelaburan milik negara dengan penarafan tertinggi di Malaysia dalam penilaian yang membabitkan lebih 200 institusi pelaburan milik kerajaan di seluruh dunia.

Dalam penarafan itu, PNB memperoleh markah keseluruhan 88 peratus, merangkumi 90 peratus bagi tadbir urus, 100 peratus untuk kelestarian dan 60 peratus bagi aspek daya tahan.

Pencapaian berkenaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding kedudukan ke-17 yang direkodkan pada tahun lalu, sekali gus mencerminkan usaha berterusan organisasi memperkukuh tadbir urus serta amalan perniagaan yang bertanggungjawab.

Menurut PNB, skor penuh bagi komponen kelestarian diberikan berdasarkan kekuatan rangka kerja tadbir urus, ketelusan pendedahan maklumat, komitmen terhadap agenda iklim dan penerapan pertimbangan kelestarian dalam aktiviti pelaburan.

PNB juga memaklumkan bahawa pihaknya memperbaharui Rangka Kerja Kelestarian dengan memberi tumpuan kepada tiga teras strategik iaitu Kelestarian Organisasi, Kepengurusan Bertanggungjawab dan Pembangunan Negara.

Selain itu, antara faktor yang menyokong pencapaian itu ialah kejayaan memenuhi sasaran Perusahaan Sifar Bersih bagi pelepasan Skop 1 dan Skop 2 pada 2025 serta usaha memperkukuh aspirasi Portfolio Sifar Bersih menjelang 2050.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli, berkata peningkatan daripada tangga ke-17 kepada tangga keempat global dalam tempoh setahun mencerminkan usaha kolektif organisasi memperkukuh tadbir urus dan daya tahan institusi.

“Pencapaian ini mencerminkan kemajuan yang telah kami capai dalam memperkukuh tadbir urus, menerapkan amalan yang bertanggungjawab dan membina organisasi yang lebih berdaya tahan.

“Pencapaian skor kelestarian sempurna ini merupakan pengiktirafan yang amat bermakna kepada PNB kerana ia mencerminkan komitmen dan usaha berterusan kami untuk mengintegrasikan pertimbangan kelestarian ke dalam cara kami beroperasi, melabur dan melaksanakan kepengurusan.

“Menerusi Rangka Kerja Kelestarian yang telah diperbaharui, kami terus memperkukuh pendekatan yang lebih holistik, berteraskan kelestarian organisasi, kepengurusan bertanggungjawab dan pembangunan negara,” katanya.

— Berita Harian