
KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) — Kalangan pelabur asing meneruskan aktiviti pembelian ketara di Bursa Malaysia pada minggu lepas yang juga minggu kedua berturut-turut dengan menyumbang aliran masuk berjumlah RM853.8 juta.
Perkembangan itu juga memaparkan aliran masuk dana asing pertama berterusan atau secara berturut-turut sejak 24 September lepas.
Mengikut Laporan Aliran Dana MIDF Amanah Investment Bank Bhd bagi minggu berakhir pada 2 Mei, 2025, pelabur asing muncul sebagai pembeli bersih pada setiap hari dagangan dengan mencatat jumlah dalam julat RM50.7 juta hingga RM340.8 juta.
Jumaat lepas misalnya meraih aliran masuk asing bersih tertinggi dan diikuti Khamis dengan masing-masing berjumlah RM340.8 juta dan RM325.2 juta.
“Tiga sektor dengan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM567.4 juta), penjagaan kesihatan (RM124.8 juta) dan produk dan perkhidmatan industri (RM107.9 juta).
“Dua sektor yang mencatatkan aliran keluar asing bersih adalah tenaga (RM31.9 juta) dan perladangan (RM6.0 juta),” katanya.
Bank pelaburan itu berkata institusi tempatan meneruskan aktiviti jualan bersih mereka kepada dua minggu berturut-turut dengan aliran keluar berjumlah RM692.6 juta.
Angka itu juga adalah minggu kedua jualan bersih dicatatkan institusi tempatan secara berturut-turut sejak 24 Ogos, 2025.
Menurut MIDF, pelabur runcit tempatan melanjutkan trend jualan bersih yang mencecah tiga minggu dengan aliran keluar sebanyak RM161.2 juta atau hampir 2.5 kali lebih tinggi daripada aliran keluar minggu sebelumnya.
“Purata jumlah dagangan harian meningkat ketara pada minggu lepas dengan institusi tempatan dan peruncit tempatan masing-masing menokok 8.7 peratus dan 5.7 peratus manakala pelabur asing menyaksikan peningkatan sebanyak 26 peratus,” katanya.
Di peringkat Asia, MIDF berkata pelabur asing turut meneruskan aktiviti belian bersih untuk minggu kedua yang menyumbang aliran masuk bersih sebanyak US$3.32 bilion (US$1=RM4.25), didorong oleh peningkatan semula sentimen belian kukuh di India dan Taiwan.
— BERNAMA