Petronas Chemicals Catat Kerugian Bersih RM1.08 Bilion Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) — Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM1.08 bilion pada suku kedua yang berakhir 30 Jun, 2025 daripada keuntungan bersih RM777 juta pada suku kedua 2024.

Pengeluar bahan kimia bersepadu itu memaklumkan iaitu kerugian bersih berkenaan disebabkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih rendah, pelupusan aset di Perstorp Holding AB serta kerugian pertukaran mata wang asing belum direalisasi daripada penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd (PPCSB).

Selain itu kerugian bersih juga disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan kewangan daripada pelarasan masa pembayaran perdagangan belum bayar di PPCSB.

Pendapatan syarikat susut sebanyak 16 peratus kepada RM6.44 bilion berbanding RM7.73 bilion sebelum ini, disebabkan terutamanya oleh penurunan jumlah jualan, pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta harga produk yang lebih rendah.

PCG mencatatkan kadar penggunaan loji pada 77 peratus daripada 89 peratus pada suku yang sama sebelumnya disebabkan gangguan bekalan bahan mentah di PC Fertiliser Kedah serta penangguhan perancangan aktiviti pembaikan dan penyelenggaraan loji sepanjang suku tersebut yang mengakibatkan penurunan dalam jumlah pengeluaran.

Bagi tempoh enam bulan, PCG turut mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM1.10 bilion daripada keuntungan bersih RM1.45 bilion tahun lepas manakala pendapatan merosot sebanyak tujuh peratus kepada RM14.09 bilion berbanding RM15.23 bilion sebelumnya.

Penurunan pendapatan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh tukaran mata wang asing berikutan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS serta purata harga produk yang lebih rendah.

Sementara itu, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG Mazuin Ismail berkata suku kedua 2025 menyaksikan beberapa cabaran operasi sama ada dalaman mahupun luaran yang menjejaskan prestasi loji-loji syarikat.

Dari segi dalaman, katanya, syarikat menutup PC Ethylene secara proaktif bagi kerja pembaikan dinding tangki tanpa menjejaskan komitmennya kepada pelanggan.

“Kami turut mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan operasi di PC Aromatics berikutan keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan.

“Dari segi luaran, loji kami di PC Fertiliser Kedah terjejas akibat gangguan bekalan bahan suapan susulan insiden talian paip gas di Putra Heights. Gangguan ini diselesaikan dan operasi dipulihkan sepenuhnya pada Jun 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mazuin, memandang ke hadapan, walaupun keadaan pasaran kekal mencabar, pihaknya yakin iaitu asas kukuh digabungkan dengan inisiatif-inisiatif yang giat dijalankan akan terus memperkukuhkan daya tahan syarikat.

PCG mengumumkan dividen interim pertama atau satu peringkat sebanyak tiga sen sesaham biasa, diumumkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis., 2025.

Jumlah dividen sebanyak RM240 juta, akan dibayar pada 10 Sept., 2025.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.