SC Gesa PLC Kembali Adakan Mesyuarat Pemegang Saham Secara Fizikal Atau Hibrid

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang meneliti semula amalan oleh syarikat tersenarai awam (PLC) Malaysia dalam menguruskan mesyuarat agung tahunan (AGM), kata Pengerusi Eksekutifnya Datuk Mohammad Faiz Azmi.

Beliau berkata tinjauan mendapati banyak AGM masih dijalankan secara maya sepenuhnya oleh syarikat papan utama dan pasaran ACE.

“Walaupun mesyuarat secara maya sepenuhnya menjadi satu keperluan ketika pandemik, PLC perlu melaksanakan langkah diperlukan untuk kembali menjalankan mesyuarat secara fizikal atau hibrid,” katanya pada Forum Masa Depan Perniagaan Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata langkah itu akan mendorong keyakinan yang lebih tinggi terhadap PLC.

“Pada asasnya, membina kepercayaan di pasaran modal adalah penting untuk menarik pelaburan dan akan turut membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan pasaran modal secara umumnya,” katanya.

Beliau berkata pasaran PMKS adalah penting kepada pasaran modal yang aktif. 

Sehubungan itu, Pelan Induk Pasaran Modal 3 yang dilancarkan pada 2021 menguatkan keperluan untuk mewujudkan persekitaran yang memacu pertumbuhan PMKS.

Baru-baru ini SC melancarkan pelan hala tuju lima tahun yang komprehensif untuk memangkin akses kepada pembiayaan pasaran modal kepada PMKS dan syarikat peringkat pertengahan (MTC).

Pelan hala tuju itu bertujuan mengembangkan pasaran modal PMKS dan MTC sebanyak tujuh kali ganda, daripada RM6.3 bilion pada 2023 kepada RM40 bilion pada 2028.

“Maklumat asas menunjukkan kita mempunyai jurang pembiayaan kira-kira RM90 bilion. Oleh itu, bagaimana untuk kita melaksanakannya?

“(Kita boleh menyelesaikan perkara ini) dengan menambah baik akses kepada pembiayaan dan meluaskan pilihan pembiayaan, termasuk membangunkan produk pasaran modal baharu yang disesuaikan bagi memudahkan PMKS mengakses dana ini,” katanya.

Mohammad Faiz berkata, sebagai contoh, mengembangkan kumpulan pengendali pembiayaan rakan setara (P2P) yang menumpukan kepada penawaran instrumen pembiayaan berasaskan hutang akan membolehkan MTC mendapat pembiayaan berasaskan hutang secara terus daripada pelabur di samping mengurangkan jumlah pengantara yang terlibat dalam proses berkenaan.

Beliau berkata Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF), dengan penambahan RM100 juta daripada Belanjawan 2024, telah memainkan peranan penting dalam membantu PMKS mengumpul dana melalui platform P2P dan pendanaan awam ekuiti (ECF).

Sejak 2015, ECF dan P2P telah menyokong lebih 18,000 PMKS, membantu mereka mengumpulkan kira-kira RM8 bilion sehingga Jun 2024.

“Peruntukan tambahan RM100 juta akan turut menyokong inisiatif utama dalam pertanian, penjagaan kesihatan, pendidikan, alam sekitar, komuniti dan pembangunan aset wakaf,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dalam ucapannya berkata, kerajaan komited untuk mewujudkan persekitaran yang menyaksikan PMKS boleh berkembang maju dan menyumbang sepenuhnya kepada kemakmuran Malaysia.

“Kerajaan mengakui peranan kritikal yang dimainkan oleh PMKS sebagai tulang belakang ekonomi negara, memacu inovasi, mewujudkan pekerjaan dan kemajuan sosial.

“Pertumbuhan ekonomi kita berkait rapat dengan kejayaan mereka,” katanya.

Lim berkata kerajaan telah mewujudkan pelbagai geran dan inisiatif untuk membantu PMKS menangani pelbagai cabaran, termasuk akses kepada kewangan, akses pasaran, dan pembangunan bakat.

Menurutnya kerajaan menawarkan dasar dan program yang disasarkan untuk perniagaan Malaysia, iaitu rebat cukai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pemula, potongan khas PKS, potongan cukai kemudahan caj kenderaan elektrik, dan elaun cukai pelaburan.

Selain itu, kerajaan turut komited untuk memperkemas peraturan dan mengurangkan beban birokrasi bagi mewujudkan peluang yang sama untuk berjaya terhadap semua perniagaan.

Beliau berkata pembangunan bakat turut menjadi keutamaan, justeru, kerajaan melabur dalam program pendidikan dan latihan untuk melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran yang diperlukan bagi memenuhi permintaan ekonomi moden.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pelabur Asing Akhiri Dua Minggu Aktiviti Belian, Bawa Keluar US$1.71 Bilion Dari Pasaran Asia

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) — Pelabur asing beralih menjadi penjual bersih, mengakhiri aktiviti belian bersih mereka selama dua minggu berturut-turut di pasaran Asia minggu lepas dengan mencatatkan aliran keluar bersih asing bernilai US$1.71 bilion.

MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 17 Okt, 2025 berkata antara pasaran yang dipantau hanya melibatkan India, Korea Selatan dan Indonesia mencatatkan aliran masuk bersih asing, manakala selebihnya menyaksikan aktiviti jualan bersih yang didahului oleh Taiwan, yang merekodkan aliran keluar terbesar di rantau ini.

“India meneruskan aliran belian bersih asing selama dua minggu berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih asing terbesar di rantau ini sebanyak US$968.5 juta, meningkat sebanyak 4.9 kali ganda berbanding minggu sebelumnya.

“Korea Selatan meneruskan aktiviti belian bersih asing selama tiga minggu berturut-turut dengan mencatatkan aliran masuk bersih asing sebanyak US$569.5 juta, manakala Indonesia melanjutkan aliran belian bersih asing selama dua minggu berturut- turut dengan mencatatkan belian asing bernilai US$117.9 juta,” katanya.

Di Malaysia pula, MBSB IB berkata pelabur asing meneruskan aliran jualan bersih selama dua minggu berturut-turut dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM962.8 juta.

Ia berkata pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan minggu lepas, dengan aktiviti jualan bersih tertinggi dicatatkan pada Isnin sebanyak RM393.5 juta, diikuti Selasa (-RM320.0 juta), Jumaat (-RM190.8 juta) dan Rabu (-RM47.5 juta).

“Aliran keluar paling kecil berlaku pada Khamis yang menyaksikan pengeluaran sederhana berjumlah RM11.0 juta,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata hanya tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih asing minggu lalu iaitu produk pengguna dan perkhidmatan (RM518.9 juta), teknologi (RM87.3 juta) dan pembinaan (RM6.5 juta).

Ia berkata tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar bersih asing ialah perkhidmatan kewangan (-RM835.5 juta), penjagaan kesihatan (-RM270.3 juta), dan utiliti (-RM106.7 juta).

MBSB IB turut berkata pelabur institusi tempatan meneruskan aliran belian bersih selama dua minggu berturut-turut dengan mencatatkan pembelian sebanyak RM1.32 bilion, manakala peruncit tempatan meneruskan aliran jualan bersih selama enam minggu berturut-turut dengan merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM357.4 juta.

“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatatkan peningkatan secara menyeluruh minggu lalu, dengan peruncit tempatan dan pelabur asing masing-masing mencatatkan kenaikan sebanyak 26.7 peratus dan 18.7 peratus, manakala institusi tempatan menyaksikan penurunan sebanyak 4.3 peratus,” katanya.
— BERNAMA