Pengambilan Perlindungan Tenang Meningkat, 94,032 Sijil Niaga Baharu Setakat Mei 2023

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) — Kadar pengambilan Perlindungan Tenang, pelan perlindungan takaful untuk kumpulan berpendapatan rendah yang diperkenalkan pada 2017 terus meningkat dengan sejumlah 94,032 sijil perniagaan baharu dikeluarkan setakat Mei 2023, terutama selepas kerajaan melancarkan program baucar berkaitan.

Program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) yang juga inisiatif nasional oleh kerajaan menerusi kerjasama dengan penyedia insurans dan takaful, telah dilancarkan pada 30 Sept, 2021, menerusi tawaran baucar RM75 untuk membantu pembelian pelan berkenaan.

Bercakap kepada Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia (MTA) Mohd Radzuan Mohamed berkata PTV yang ditawarkan bagi tempoh September 2021 hingga Disember 2022, terbukti mendorong peningkatan pelan Perlindungan Tenang.

“Sebanyak 94,032 sijil dikeluarkan bagi tempoh Januari hingga Mei 2023 manakala 447,446 sijil bagi tempoh sama 2022 serta 5,907 sijil pada 2021.

“Biarpun PTV telah ditamatkan, kami kekal optimis bahawa Perlindungan Tenang akan terus mendapat sambutan dalam kalangan mereka berpendapatan rendah berikutan kadarnya yang berpatutan dengan pelan bermula daripada serendah RM2.03-RM6.25 sebulan,” katanya.

Mengulas selanjutnya, Mohd Radzuan berkata Perlindungan Tenang ditawarkan oleh sembilan pengendali takaful yang merangkumi manfaat kematian, hilang upaya kekal, perbelanjaan perubatan, penyakit kritikal serta badal haji.

Selain itu, beliau berkata kempen Takaful4All yang dilancarkan oleh MTA pada Mei lepas, juga berjaya meningkatkan kadar penembusan takaful di negara ini.

Pada masa sama, persatuan terbabit juga aktif dalam program celik kewangan yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai manfaat takaful sehingga Disember ini dengan melibatkan universiti serta pihak berkuasa.

“Takaful di Kampus dan Takaful Masuk Kampung misalnya telah mendapat sambutan baik. Empat siri Takaful di Kampus telah diadakan dan disertai lebih daripada 2,000 penuntut manakala lebih 5,000 orang menyertai tiga siri program Takaful Masuk Kampung.

“Baru-baru ini, kami turut mengambil bahagian dalam Karnival Celik Kewangan anjuran Bank Negara Malaysia yang disertai oleh 2,600 orang dari sekitar Kota Bharu, Kelantan.

“Program ini telah membolehkan kami untuk memaksimumkan usaha menerusi pelbagai saluran untuk mendekati orang ramai seperti forum, larian dan pameran,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Takaful vs Insurans Kereta: Adakah Duit Kita ‘Hangus’ Kalau Tak Pernah Kemalangan?

Setiap tahun, pemilik kenderaan di Malaysia wajib memperbaharui cukai jalan dan perlindungan kenderaan. Namun, masih ramai yang keliru atau sekadar “ikut kawan” tanpa memahami perbezaan antara Takaful dan Insurans Konvensional.

Ramai pemilik kereta sebut “Nak renew insurans kereta lah,” tapi sebenarnya mereka nak renew Takaful. Sebaliknya, ada juga yang ingat semua perlindungan kereta di Malaysia ini automatik patuh syariah atau berkonsepkan Takaful.

Realitinya tidak. Ini cara mudah untuk anda bezakan:

Lihat nama produk: Jika namanya ada perkataan “Takaful” (contoh: Takaful Ikhlas, Syarikat Takaful Malaysia, Etiqa Takaful), maka ia adalah produk patuh syariah. Jika namanya hanya “Insurance” atau “Insurans” (contoh: Allianz Insurance, MSIG Insurance, Lonpac Insurance), itu adalah produk konvensional.

Ini kerisauan paling popular yang bermain di minda pemilik kereta. Ramai yang bertanya:

“Kalau aku bayar Takaful tapi tak pernah kemalangan, bukan ke duit tu hangus macam tu saja? Apa faedah yang aku dapat?”

Jom kita bedah perbezaan ini supaya anda tidak lagi rasa rugi.

1. Niat & Akad: Jual Beli vs Tolong-Menolong

Perbezaan paling besar bukan pada harganya, tetapi pada kontrak (akad) di belakang tabir.

  • Insurans Konvensional: Menggunakan akad Mu’awadah (pertukaran komersial). Anda bayar premium kepada syarikat untuk “membeli” pampasan. Isunya, ia mengandungi unsur Gharar (ketidaktentuan) dan Maysir (seperti perjudian) kerana jika tiada kemalangan, syarikat ambil semua duit anda sebagai untung.
  • Takaful: Menggunakan akad Tabarru’ (derma). Sebahagian wang sumbangan anda dimasukkan ke dalam “Dana Risiko Peserta”. Niat anda adalah untuk menghibahkan (mendermakan) wang tersebut bagi membantu peserta lain yang ditimpa musibah.

2. Dilema “Duit Hangus”: Benarkah Tiada Langsung Faedahnya?

Jika sepanjang tahun kereta anda selamat dan tiada tuntutan (claim) dibuat, adakah anda rugi? Dari sudut Takaful, jawapannya adalah TIDAK.

Manfaat dari Sudut Rohani (Pahala)

Oleh kerana akadnya adalah derma untuk menolong orang lain (konsep Ta’awun), setiap sen yang anda bayar dikira sebagai amal jariah. Anda mendapat “manfaat ukhrawi” kerana membantu membiayai kos pembaikan kereta orang lain yang ditimpa malang.

Manfaat Perlindungan (Peace of Mind)

Anggaplah Takaful seperti mengupah pengawal keselamatan. Jika rumah anda tidak dirompak sepanjang tahun, adakah gaji pengawal itu dianggap hangus? Tidak, kerana anda telah mendapat manfaat perlindungan dan ketenangan jiwa sepanjang tempoh tersebut.

3. Kelebihan Yang Tiada Pada Insurans

Ini adalah bonus yang ramai orang terlepas pandang. Dalam insurans konvensional, lebihan wang (setelah tolak kos tuntutan) akan menjadi milik pemegang saham syarikat sepenuhnya.

Namun dalam Takaful:

  1. Jika dana risiko mempunyai lebihan (surplus) di akhir tahun, ia adalah milik kolektif peserta.
  2. Bergantung kepada polisi syarikat, lebihan ini boleh diagihkan semula kepada peserta yang tidak membuat tuntutan.
  3. Walaupun jumlahnya tidak menentu, ia merupakan satu pulangan tunai (cashback) yang adil berbanding insurans biasa.

Kesimpulan

Jangan lihat sumbangan Takaful sebagai satu perbelanjaan yang lebur begitu sahaja. Sebaliknya, lihatlah ia sebagai simpanan amal yang memberi anda ketenangan fikiran (peace of mind). Dalam Takaful, kalau tak kena musibah, kita dapat pahala menolong orang; kalau kena musibah, orang lain pula bantu kita. Adil dan berkat, bukan?

Memilih Takaful adalah satu langkah pengurusan risiko yang lebih efisien. Selain daripada perlindungan kenderaan yang komprehensif, anda juga berpeluang menikmati agihan lebihan (surplus) jika dana mencukupi. Ia adalah situasi win-win di mana risiko dikongsi bersama dan keuntungan bukan lagi milik mutlak syarikat semata-mata.