Program PTV Bantu Tingkatkan Penetrasi Insurans Pada 2022

KUALA LUMPUR, 8 Dis  (Bernama) — Industri insurans Malaysia pada tahun ini agak kurang memberangsangkan jika bukan disebabkan program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) yang menjadi penyelamat dan membantu memacu kedua-dua industri insurans hayat dan am.

Program PTV diperkenalkan untuk menyediakan perlindungan sosial yang lebih baik kepada kumpulan B40, yang mana kedua-dua syarikat insurans hayat dan am dapat bekerjasama dengan organisasi atau perniagaan untuk berkhidmat kepada golongan berpendapatan rendah.

Dari 2021, program PTV dilanjutkan kepada Disember 2022 dengan nilai baucar meningkat kepada RM75 daripada RM50.

Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) berkata, pihaknya percaya dengan melanjutkan inisiatif PTV akan memberi manfaat kepada majoriti isi rumah B40 serta aspirasi negara untuk meningkatkan pemilikan insurans dalam kalangan penduduk dan mencapai agenda keterangkuman kewangan.

“Ketersediaan produk Perlindungan Tenang adalah penting dalam menyediakan bantuan kewangan segera sekiranya ditimpa musibah. Ahli keluarga boleh berasa tenang kerana mengetahui bahawa bantuan kewangan tersedia dengan cara yang mudah dan tepat pada masanya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LIAM, Mark O’Dell.

Platform untuk tingkatkan kadar penembusan insurans

LIAM berkata inisiatif perlindungan sosial i-Lindung juga merupakan inisiatif yang baik oleh kerajaan bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana ia adalah petanda yang baik untuk mempromosikan keterangkuman kewangan dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengambil insurans.

i-Lindung ialah platform layan diri melalui i-Akaun (Ahli) KWSP yang boleh digunakan untuk membeli produk perlindungan di bawah Pelan Perlindungan Ahli (MPP).

Ia berkata inisiatif perlindungan sosial i-Lindung bukan sahaja akan membuka jalan dalam meningkatkan kadar penembusan insurans tetapi juga meluaskan jaringan keselamatan insurans kepada seramai mungkin rakyat Malaysia yang selaras dengan agenda negara.

Kadar penembusan semasa bagi insurans dan takaful di negara ini berada pada kira-kira 56.1 peratus berbanding 100 peratus di negara-negara maju.

Prestasi keseluruhan insurans am menunjukkan pertumbuhan pada separuh pertama (1H)

Industri insurans am mencatatkan peningkatan dalam premium langsung kasar sebanyak 10.3 peratus kepada RM9.8 bilion dalam tempoh enam bulan pertama 2022 (1H 2022) berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) berkata keuntungan pengunderaitan bagaimanapun, menguncup sebanyak 21.2 peratus kepada RM810 juta, sebahagian besarnya disebabkan oleh kerugian dalam perniagaan Insurans kesihatan, motor dan perubatan.

Berhubung dengan premium, insurans motor kekal sebagai perniagaan terbesar pada 43 peratus diikuti oleh kebakaran (29 peratus) dan pelbagai (14 peratus).

Premium kemalangan peribadi menyaksikan pertumbuhan ketara sebanyak 44 peratus tahun ke tahun (y-o-y), sebahagian besarnya disebabkan oleh program PTV manakala premium daripada perniagaan insurans kebakaran meningkat lima peratus kepada RM2 bilion pada 1H 2022 berbanding setahun lalu dengan pengunderaitan keuntungan meningkat sebanyak 23 peratus peratus y-o-y.

PIAM berkata premium untuk insurans penerbangan marin dan transit pada 1H 2022 juga meningkat tujuh peratus kepada RM900 juta, tetapi insurans perubatan dan kesihatan menguncup enam peratus kepada RM550 juta berbanding 1H 2021.

Industri tersebut membayar RM15.2 juta untuk tuntutan setiap hari pada 2021 dengan insurans motor mewakili majoriti besar daripada jumlah itu pada RM12 juta sehari.

“Disebabkan kesedaran pengguna yang makin meningkat tentang risiko dan kerosakan harta benda serta aset akibat banjir kilat, kadar pengambilan insurans motor untuk banjir (polisi insurans komprehensif) meningkat lebih dua kali ganda kepada 12 peratus pada 1H 2022 berbanding lima peratus untuk sepanjang tahun 2021,” katanya.

Masa yang sesuai untuk menyokong inovasi digital

Melangkah ke hadapan, sudah tiba masanya bagi pengendali insurans untuk mempromosikan fintech dan inovasi digital dalam industri.

Persatuan Takaful Malaysia (MTA) telah membangunkan hala tuju untuk melaksanakan rangka tindakan sektor kewangan bagi industri takaful serta Pengantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT) dan bagi melancarkan program di bawah inisiatif itu, ia memerlukan komunikasi yang berkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Radzuan Mohamed dilaporkan berkata, secara keseluruhannya, persatuan itu mempunyai 60 inisiatif di bawah kedua-dua hala tuju itu sehingga 2025 dan oleh itu, kerjasama dan komunikasi yang berkesan adalah satu kemestian bagi membantu mereka menyelaras di peringkat persatuan.

Di tengah-tengah ketidaktentuan COVID-19 yang berlarutan, pengendali insurans harus lebih menumpukan kepada mengembangkan keupayaan penglibatan pelanggan mereka melalui kecerdasan buatan (AI).

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Penjagaan Kesihatan: Program Rintis MediAsas Bakal Bermula Akhir Julai

Saranan WAJARAN TINGGI kekal

Program perintis untuk MediAsas, iaitu Pelan Asas Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), dijadualkan bermula pada akhir bulan Julai. Walaupun senarai hospital yang menyertai program ini masih belum diumumkan, kami menjangka pengendalipengendali fasiliti perubatan yang kami kaji akan menyertainya, walaupun secara pilihan. Premium bulanan indikatif berlingkungan antara MYR60 dan MYR550, manakala harga muktamad akan ditetapkan sebelum pelancaran di seluruh negara pada Jan 2027.

Apa itu MediAsas?

Ia merupakan produk asas MHIT yang direka untuk menambah baik tahap kemampuan sambil bertindak sebagai batu loncatan ke arah pelaksanaan berperingkat sistem bayaran mengikut diagnosis pesakit (DRG). Dua produknya iaitu Medi Asas Teras (pelan biasa) dan MediAsas Fleksi (pelan tambahan), akan dilancarkan secara rintis di Lembah Klang sepanjang tempoh tiga bulan sehingga Okt 2026.

Program rintis ini melibatkan enam syarikat insurans dan takaful, iaitu AIA, Allianz Malaysia (ALLZ MK, BELI, TP: MYR23.90), Great Eastern Malaysia, Prudential BSN Takaful, Etiqa, dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga (STMB MK, NEUTRAL, TP: MYR3.60), dan hospital-hospital terpilih. Premium bulanan indikatif dijangka berlingkungan antara MYR60 dan MYR550 untuk individu yang menyertai pelan tersebut sehingga usia 70, dengan liputan dilanjutkan sehingga usia 85. Harga akhir akan disahkan sebelum pelancaran di seluruh negara pada Jan 2027.

Ciri-ciri utama dan bakal implikasi.

Kertas Putih untuk pelan MHIT Asas yang diterbitkan sebelum ini menggariskan potongan MYR500 di samping mekanisme bayaran bersama (co-payment) dua tahap, dengan tiada bayaran bersama untuk hospital Tahap 1 (rangkaian dalaman) dan bayaran bersama sebanyak 20% (terhad padaMYR3,000 bagi setiap kecacatan) untuk hospital Tahap 2 (luar rangkaian).

Dua kesan penting:

i) Hospital yang tidak terpilih sebagai hospital panel pilihan mungkin akan mengalami tekanan terhadap bilangan pesakit (kesan terhadap pengendali premium seharusnya kecil memandangkan tumpuan mereka pada kes-kes yang lebih serius

ii) penetapan harga yang dibandingkan dengan hospital swasta bertahap lebih rendah hingga sederhana mungkin memerlukan pengendali premium untuk menawarkan pakej yang lebih seragam dan cekap kos, sekali gus membataskan keupayaan mereka untuk mengewangkan nilai jenama premium untuk segmen M40.

Menyentuh hal tersebut, kami berpendapat bahawa KPJ Healthcare berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan pelaksanaan MHIT dan DRG kelak, khususnya menerusi rangkaian luas hospital sekunder/komuniti miliknya yang beroperasi dengan asas kos yang lebih rendah, dengan ruang untuk menampung lebih banyak bilangan pesakit dan seterusnya mungkin memelihara margin bawah struktur pembayaran balik berasaskan DRG.

Risiko-risiko negatif utama, kos mengurus lebih mahal daripada anggaran, kunjungan pesakit dan pertumbuhan intensiti hasil lebih rendah berbanding jangkaan, dan perubahan dasar yang buruk. Sekiranya nilai USD melemah dengan ketara, IHH Healthcare mungkin mengalami kesan FX yang buruk terhadap perolehannya di luar negara manakala Duopharma mungkin meraih manfaat daripada pelepasan kos terhadap bahan farmaseutikal aktif (API) diimport.