Prudential BSN Takaful Perkenal Dana ESG Pertamanya

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) — Prudential BSN Takaful Bhd (PruBSN) telah memperkenalkan dana alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)nya yang pertama, dikenali sebagai Takafulink Dana ESG Global.

Ketua Pegawai Pemasaran PruBSN Azlin Arshad berkata dana itu akan membantu mengukuhkan lagi hasrat untuk menyokong syarikat yang mempunyai metrik ESG yang mantap.

“Dengan dana ini, individu boleh melabur dalam perniagaan yang menerajui amalan ESG, menyokong usaha untuk mengurangkan perubahan iklim, menghapuskan penyakit berjangkit, menyediakan akses global kepada air minuman bersih, menawarkan perkhidmatan kewangan asas dan inisiatif kemampanan lain.

“Kesemua ini adalah untuk  mencipta nilai dan memenuhi objektif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut PruBSN, pelancaran Takafulink Dana ESG Global bertujuan mengukuhkan pertumbuhan yang mampan, melengkapkan SDG PBB serta menyokong pengembangan agenda negara untuk menjadi hab kewangan mampan yang semakin berkembang.

“Ini adalah langkah penting ke arah menyediakan penyelesaian ketara kepada isu global dan mewujudkan dunia yang lebih saksama dan mampan. Tawaran daripada PruBSN ini menyediakan pelabur kaedah baharu pelaburan bertanggungjawab yang menyokong pergerakan ESG,” katanya sambil menambah PruBSN mengiktiraf kepentingan ESG.

“Pembangunan Takafulink Dana ESG Global membolehkan kami mengakses rangkaian pelabur yang lebih luas yang mempunyai minat mendalam untuk memberi impak global yang positif.

“PruBSN yakin ia boleh memaksimumkan pulangan dalam jangka panjang dengan melabur dalam dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) yang layak dengan peruntukan aset sehingga 100 peratus.

“Sebarang baki dana perlu dilaburkan dalam instrumen pasaran wang Islam. Caj wakalah pengurusan aset dana ialah 1.50 peratus setahun,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi ejen servis PruBSN atau layari www.prubsn.com.my.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

BNM Umum Dana Tambahan RM2.5 Bilion Bagi PKS

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) · Bank Negara Malaysia (BNM) menyediakan dana tambahan sebanyak RM2.5 bilion di bawah Dana BNM bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan tumpuan penyalurannya kepada peminjam kali pertama.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank pusat itu mengalu-alukan pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan amanat Tahun Baharu 2026 mengenai dana tambahan tersebut dan pengenalan skim jaminan pembiayaan.

“Setakat ini, BNM berjaya menyediakan pembiayaan konsesi sebanyak RM32.4 bilion untuk menyokong akses pembiayaan PKS menerusi institusi kewangan peserta, terutamanya perusahaan mikro dan kecil yang berdepan dengan kekangan pembiayaan.

“Oleh itu, penambahan itu meningkatkan peruntukan di bawah Dana BNM kepada RM34.9 bilion,” katanya.

Sehubungan itu, BNM berkata ia beralih kepada sokongan berasaskan jaminan, dengan menyasarkan sebanyak RM10 bilion dalam pembiayaan yang dijamin.

Menurut bank pusat itu, peralihan kepada skim jaminan kredit akan memanfaatkan segmen PKS yang lebih luas, termasuk peminjam kali pertama dan aktiviti keusahawanan baharu.

“Skim ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) dan institusi kewangan,” katanya.
— BERNAMA