
KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) — Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) melancarkan Kaotim, platform digital baharu yang menyediakan kad perubatan dalam talian bagi rakyat Malaysia, bersempena dengan ulang tahun ke-39 pengendali takaful itu.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Nor Azman Zainal berkata Kaotim merupakan inisiatif digital Takaful Malaysia yang menawarkan MediKad, pelan perlindungan perubatan dengan tiga pelan mampu milik bermula RM38 sebulan dan had tahunan sehingga RM1.1 juta dengan pilihan rider, MediBooster.
Beliau berkata pelan itu ditawarkan kepada rakyat Malaysia berumur enam hingga 69 tahun dengan tempoh perlindungan sehingga 85 tahun.
“Dengan pendaftaran dalam talian empat langkah dan soal selidik perubatan ringkas tanpa perlu menjalani pemeriksaan kesihatan, keperluan perlindungan pelanggan akan dilindungi serta-merta,” katanya selepas pelancaran Kaotim di sini hari ini.
Beliau berkata objektif jenama itu menyasarkan segmen pelanggan yang meluas sambil memenuhi keperluan pelanggan.
“Kini, perlindungan perubatan sangat mahal, kami cuba mengurangkan beban rakyat melalui gabungan keperluan pelanggan dan digital,” katanya.
Beliau berkata memandangkan pasaran kini semakin berkembang, matlamat jangka panjang untuk inovasi adalah dengan mengekalkan dan memastikan jenama dan syarikat terus relevan dalam pasaran.
“Ini adalah permulaan bagi Kaotim yang memiliki keunikan, perkhidmatan yang pantas dan harga yang berpatutan. Pada masa hadapan, akan ada lebih banyak produk yang dilancarkan di bawah jenama ini,” katanya.
Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Takaful Malaysia, pengendali takaful itu berkata pelanggan boleh mendaftar untuk MediKad dalam talian melalui Kaotim, pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja dalam beberapa minit dengan hanya beberapa klik dan terus dilindungi pada hari yang sama.
Ia berkata melalui teknologi inovatif dan identiti jenama yang menyerlah, Kaotim kini bersedia menjadi pembeza utama berdasarkan cadangan nilai pelanggan, memberikan syarikat kelebihan dan hubungan dengan pelanggan.
— BERNAMA