4 Strategi Pengurusan Kewangan Islam

Sedar tak sedar, 2018 dah nak sampai ke pertengahan tahun. Dan setiap tahun itu jugalah, kita perlu letakkan matlamat untuk dicapai. Ada juga yang tidak mempunyai sebarang matlamat dalam kehidupan.

Jack Canfield dalam bukunya ‘The Success Principles’ menyarankan setiap orang menulis matlamat dalam 7 aspek kehidupan iaitu:

  • Karier
  • Kewangan
  • Masa lapang
  • Kesihatan
  • Hubungan
  • Kendiri atau spiritual
  • Sumbangan kepada komuniti

Bagi orang Islam pula , Nabi Muhammad S.A.W berpesan bahawa akan datang lima perkara sebelum lima perkara:

  • Sihat sebelum sakit
  • Kaya sebelum miskin
  • Lapang sebelum sibuk
  • Muda sebelum tua
  • Hidup sebelum mati

Secara tidak langsung, kita dapat memahami kepentingan menetapkan matlamat supaya kita dapat melaksanakan tanggungjawab semasa kita dalam keadaan lima perkara sebelum datang lima perkara yang dinyatakan tadi.

Begitu juga halnya dalam aspek pengurusan kewangan. Bagi mereka yang masih bergelumang dengan riba dengan sistem kewangan konvensional, segeralah bertukar kepada sistem kewangan Islam.

Jom kita tengok 4 strategi pengurusan kewangan Islam yang kita boleh amalkan untuk tahun ini.

1. Mencari Rezeki Yang Halal

Allah Maha Pemurah dan Pemberi Rezeki menyebut di dalam Surah Al-Jumuah, ayat 10 yang bermaksud:

“Kemudian, setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.”

Rezeki dan limpah kurniaan Allah itu sangat luas dan kita disarankan untuk mencari rezeki yang halal iaitu pekerjaan atau perniagaan hasil usaha jujur, bebas penipuan atau rasuah, tidak terlibat dengan perkara yang haram.

Orang Islam yang beriman dan bertakwa akan mengelakkan diri daripada terjerumus dalam riba’, arak, judi dan lain-lain hal yang dilarang oleh agama.

2. Melanggan Takaful Sebagai Persediaan Menghadapi Musibah

Takaful ialah produk perlindungan yang berlandaskan syariah. Kontrak takaful berbeza dengan insurans kerana ia menggunakan konsep ‘bantu-membantu’ di kalangan peserta takaful. Tiada unsur faedah dan ketidakpastian (gharar) sebagaimana kontrak insurans konvensional.

Orang awam kadangkala menghadapi dilema apabila ejen takaful mempromosi pelan perlindungan yang ada di pasaran. Hal ini berlaku kerana terdapat terma yang kurang difahami dan ejen pula tidak memberi penjelasan yang mencukupi di dalam bahasa yang mudah untuk difahami.

Produk takaful adalah keperluan bagi anda yang mempunyai tanggungan dan sebagai persediaan menghadapi musibah seperti sakit. Anggaplah ia sebagai suatu perbelanjaan untuk masa depan.

Peserta takaful membuat sumbangan secara bulanan dengan kadar yang telah ditetapkan. Sumbangan ini nampak kecil kerana dibuat secara konsisten setiap bulan. Apabila berlaku musibah, operator takaful akan membayar manfaat perlindungan kepada peserta.

Semua peserta dalam pelan takaful seolah berpegangan tangan, jika seorang peserta terjatuh yang lain akan membantu dan menghulurkan tangan supaya dia dapat bangun semula atau sekurang-kurangnya keluarganya dapat bangkit daripada beban kewangan yang melanda.

3. Melabur Tanpa Berhutang

Matlamat pelaburan ialah menambah nilai daripada apa yang anda miliki. Pakar kewangan tidak menggalakkan anda membuat pelaburan melalui pinjaman. Setiap pelaburan mempunyai risiko masing-masing. Tahap risiko bergantung kepada jenis pelaburan yang anda sertai.

Pelaburan dalam saham berpotensi untuk mendapat untung yang tinggi, risikonya juga tinggi berbanding pelaburan unit amanah saham. Untung rendah, risiko juga lebih rendah.

Pinjaman akan mengikat anda dengan suatu komitmen hutang. Hutang perlu dijelaskan tidak kira anda membuat untung atau menanggung kerugian. Oleh itu, hutang akan menambah beban kewangan jika tidak diuruskan dengan betul.

Kegagalan membayar hutang atau pinjaman khususnya kepada pihak bank mendedahkan anda kepada satu lagi risiko iaitu disaman atau diisytihar muflis bagi kes yang berat. Usah mengikat diri dengan hutang.

Jika anda mampu membayar sejumlah nilai untuk membayar hutang, gunakan sahaja wang itu untuk menyimpan atau melabur dalam saham atau unit amanah saham. Dan jangan lupa untuk pilih pelaburan yang patuh Syariah.

4. Menunaikan Zakat dan Bersedekah (Infaq)

Zakat merupakan rukun Islam yang ke-empat dan menjadi tanggungjawab ekonomi setiap umat Islam. Zakat dikenakan ke atas harta yang telah cukup jumlahnya (nisab) dan tempohnya (haul). Pusat Zakat menerima bayaran Zakat dan mengagihkan kepada lapan golongan yang disyariatkan sebagai penerima zakat.

Zakat tidak sama sekali mengurangkan harta. Kadar 2.5% daripada pendapatan amat besar ertinya bagi golongan yang memerlukan. Secara tidak langsung, pengeluar Zakat melaksanakan tanggungjawab sosial kepada saudara seagama.

Infaq atau sedekah adalah pelengkap kepada Zakat. Sesiapa pun boleh memberi sedekah tanpa mengira jumlah harta dan ia boleh dilakukan bila-bila masa.

Mendermakan sebahagian daripada harta adalah ciri orang yang bertakwa. Hal ini dijelaskan dalam ayat 132 dan 133 Surah Ali Imran yang bermaksud:

132: Dan segeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.

133: Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.

Bersama-Sama Kita Jadi Jutawan Dunia Dan Akhirat

Seorang usahawan yang berjaya dan mempunyai syarikat dengan pendapatan jutaan Ringgit setahun berkongsi bagaimana beliau mengajak orang lain menjadi jutawan akhirat sepertinya.

AJK masjid di tempat tinggal beliau memohon sumbangan untuk memasang karpet baru dan menyelenggara masjid. Beliau mampu beri sumbangan tersebut dengan kos mencecah puluhan ribu. Namun, apa yang beliau lakukan ialah meminta AJK masjid mengumpulkan sumbangan daripada penduduk setempat terlebih dahulu dan dia akan menanggung perbelanjaan selebihnya.

Begitulah indahnya amalan bersedekah. Amalan yang kecil tetapi konsisten itu adalah lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa.

Sumber Rujukan:

Baca juga 5 Tips Untuk Mencapai Matlamat Kewangan.

Dapatkan eBook 30 Tips Bijak Merancang Wang

TAJUK MENARIK DALAM EBOOK

Pelajari konsep-konsep teras dalam pengurusan kewangan dengan ebook ini.

Aliran Tunai Kewangan Cash Flow

Merupakan asas dalam perancangan kewangan yang meliputi aspek pendapatan dan perbelanjaan melalui formula I-E=S supaya perbelanjaan tidak melebihi pendapatan setiap bulan dan tahun.

Nilai Bersih Aset Nett Worth

Formula A>L supaya dapat menyediakan aset dan dana yang cukup untuk menghadapi masa hadapan serta hutang yang terkawal supaya ia tidak membebankan hari tua kelak.

Simpanan Kewangan Saving

Jika seseorang itu gagal untuk menguruskan simpanannya dengan baik, agak sukar untuk dia mengurus instrumen-instrumen kewangan yang lain.

Perlindungan Kewangan Protection

Dalam kita bekerja untuk memperoleh pendapatan, dan menghasilkan aset, kita seharusnya untuk memastikan kedua-duanya itu dilindungi. Di sinilah fungsi perlindungan melalui takaful.

Pelaburan Kewangan Investment

Inflasi akan menurunkan nilai aset kita. Jadi, di sini perlunya untuk seseorang itu untuk membuat pelaburan sekurang-kurangnya untuk melawan inflasi.

Banyak Lagi Others

Pelbagai lagi topik menarik yang bakal dikongsikan bersama anda di dalam ebook ini. Pelaburan yang paling utama adalah pelaburan ilmu.

Khusus untuk pembaca Majalah Labur, dapatkan diskaun sebanyak 40% untuk eBook ini.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend