Tanah Kita Tapi Hilang Hak Milik Pula, Kenapa?

Pernahkah anda mengalami keadaan di mana tanah yang anda miliki boleh hilang hak milik? Berang sudah tentu menguasai diri. Siapa yang tidak marah apabila hak kita dipermainkan sebegitu.

Tanah adalah aset yang berharga. Tidak mungkin kita hendak pejam mata sahaja apabila keadaan sebegini berlaku.

Bagaimana kes sebegini berlaku? Mari baca kupasan di bawah tentang faktor-faktor yang mendorong kepada berlakunya kes sebegini.

1. Penipuan

Boleh jadi telah berlaku desakan ataupun salah faham daripada pihak-pihak hingga mendorong tuan tanah menurunkan tanda tangan mereka ke atas dokumen mahupun geran tanah yang telah dinyatakan sebagai pertukaran hak milik.

Besar kemungkinan perkara sebegini banyak berlaku di kampung-kampung di mana pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dan memperdaya masyarakat kampung terutamanya mereka yang sudah berusia.

2. Pemalsuan Tandatangan

Berlakunya peniruan tandatangan tuan milik tanah. Faktor sebegini juga kerap berlaku di mana pemalsuan tandatangan dilakukan tanpa pengetahuan empunya badan.

Kerana tamak, kerja jahat sebegini sanggup dilakukan sehingga mendorong untuk meniru tandatangan palsu.

3. Berhutang

Ada juga kes yang berlaku apabila tuan tanah gagal untuk melunaskan hutang-hutang mereka sehingga menyebabkan tanah yang mereka jadikan sebagai cagaran ditukar hak milik.

Mungkin juga pada ketika itu tuan milik tanah sedang memerlukan duit yang banyak sehingga terpaksa menjadikan tanah mereka sebagai cagaran. Apabila tak mampu nak bayar balik, maka terpaksa gadaikan tanah tersebut.

4. Tunggakan Cukai Tanah

Kes ini juga berlaku disebabkan oleh kegagalan tuan tanah untuk melangsaikan tunggakan cukai tanah ataupun tuan tanah itu sendiri telah melanggar syarat-syarat yang dinyatakan pada perjanjian tanah tersebut sehingga membawa kepada rampasan oleh pihak yang berkuasa ke atas tanah miliknya sendiri.

Oleh itu, pastikan betul-betul apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh. Yang penting, jangan buat tak tahu apabila bil cukai tersebut sampai.

5. Pecah Amanah

Ketidakjujuran daripada pihak yang berwajib seperti pemegang amanah, di mana mereka ini yang mendaftarkan urusan pindah milik kepada pihak tertentu yang tidak sepatutnya dibuat.

Apa yang boleh tuan tanah lakukan adalah jangan mudah percaya kepada orang dan kaji selidik terlebih dahulu sebelum menyerahkan apa-apa urusan berkaitan tanah kepada pihak pemegang amanah.

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda daripada mengalami masalah ini.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman