Harimau Mati Meninggalkan Belang, Manusia Mati Meninggalkan Hutang

Di dalam bidang perancangan kewangan, saya terlibat secara langsung dalam perkara-perkara seperti pelaburan (bersama iSaham), perlindungan (AIA Public Takaful) dan perancangan pewarisan harta (Wasiyyah Shoppe). Saya juga terlibat secara tidak langsung dengan berkongsi pendapat dan pengalaman bersama sahabat-sahabat yang mencari jalan untuk memperbaiki aliran tunai dengan menambahkan pendapatan ataupun mengurangkan kos perbelanjaan bulanan.

Di antara topik yang sering dibincangkan adalah mengenai aliran tunai (cash flow), dan ini adalah berkenaan tips melangsaikan hutang.

Berikut saya senaraikan ranking setiap topik berdasarkan minat sahabat-sahabat yang bersembang panjang dengan saya selama ini. Turutan ini mungkin tidak tepat, kerana hanya dibuat berdasarkan pemerhatian saya.

1. Pelaburan Saham (Memang mendapat minat tertinggi setakat ini)
2. Pendapatan Sampingan (Idea business yang menjana pulangan berjuta-juta)
3. Harta Pusaka (Penyelesaian kes-kes yang telah berlaku)
4. Selesaikan Hutang
5. Perlindungan Takaful

Apa yang dapat anda lihat daripada pemerhatian ini? Pada pendapat saya berbincang mengenai peluang menggandakan wang memang lebih menyeronokkan. Tambahan pula apabila dikongsikan pengalaman mendapat keuntungan 60% dalam masa 3 hari misalnya, siapa yang tak seronok.

Manakala perkara yang berada pada tiga ranking terbawah misalnya paling tidak digemari kerana seringkali perbincangan mengaitkan soal kematian. Mungkin ini yang menyebabkan tidak ramai suka berbicara tentang perkara ini.

Mana satu yang lebih penting? Memang sukar untuk dijawab. Kedua-duanya juga penting. Sejujurnya saya juga lebih seronok bila berkongsi mengenai perkara 1 dan 2 berbanding yang lain-lain.

Kisah Tragis Depan Mata

Baru-baru ini saya telah menerima berita yang sangat mengejutkan. Salah seorang daripada pelanggan Takaful di dalam group saya, diberitakan meninggal dunia kerana dibunuh dengan kejam. Allahyarham ini baru berusia 23 tahun dan beliau disahkan menemui ajal 3 hari selepas permohonan Takaful beliau diluluskan.

Kejadian ini memang memberi kesan yang sangat mendalam kepada diri saya. Selama ini jika berbicara bersama pelanggan-pelanggan Takaful, saya sering membincangkan secara teori.

Bagaimana agaknya dengan keluarga tersayang sekiranya ajal menjemput lebih awal daripada jangkaan? Kali ini ia bukan lagi sekadar teori.

Saya Manusia Berhutang

Jujur saya akui saya adalah manusia yang berhutang. Kerja keras yang saya lakukan sejak kebelakangan ini, matlamat utamanya adalah untuk melangsaikan hutang duniawi. Alhamdulillah dapat dilangsaikan sedikit demi sedikit.

Namun apa yang saya risaukan adalah andainya kisah ini terjadi kepada diri saya, ajal menjemput tanpa disangka, mungkin esok atau lusa. Sangat tidak adil saya tinggalkan dunia ini dengan hutang yang masih berbaki.

Tanpa berlengah saya terus menambah perlindungan Takaful saya daripada RM200 ribu kepada RM700 ribu. Walaupun jumlah perlindungan awal memadai untuk menyelesaikan baki hutang, namun masih ada hutang dengan Allah yang saya tak tunaikan.

Rukun Islam kelima belum saya tunaikan. Saya rasa perlu juga saya sediakan sejumlah wang untuk keluarga tunaikan Haji bagi pihak saya, juga sebahagian untuk disedekahkan, dan selebihnya untuk dibahagi-bahagikan kepada keluarga tersayang.

Andai di dunia saya tak sempat beri kesengangan kepada keluarga, ini lah hibah yang saya tinggalkan, sebagai tanda kasih sayang untuk keluarga yang sentiasa memberikan sokongan di saat getir dan sukar.

Rebut Saham Akhirat Dengan Infaq Dan Waqaf Bagi Pembinaan Bangunan Tahfiz Al Quran Al Ansar

Bagaimana Dengan Anda?

Setiap individu pasti memiliki perancangan tersendiri. Andainya anda telah bebas daripada sebarang hutang. Alhamdulillah. Tahniah saya ucapkan. Andainya masih ada hutang yang belum dilangsaikan cuba fikir sejenak…jika ditakdirkan nyawa kita dicabut esok, siapakah yang akan menyelesaikan semua ini. Biarlah kita tinggalkan keluarga tanpa sebarang harta, jangan sesekali menambah duka dengan bebanan hutang kepada mereka.

Andai ada lebihan rezeki, tambahlah sedikit perlindungan Takaful anda supaya ada sejumlah wang yang dapat di hibah kan, sebagai tanda kasih kepada mereka.

Ditulis oleh Suddin Salleh, beliau merupakan jurulatih saham di iSaham Sdn. Bhd. dan perunding Takaful di AIA Public Takaful Berhad.

Tenang dengan Takaful, Untung dengan Saham

Layari http://duitakuhalaku.blogspot.my untuk maklumat lanjut.

This image has an empty alt attribute; its file name is suri-rumah-bangkit1.jpg

Anda Berkeinginan Nak Selesaikan Hutang?

Semua orang nak sangat bayar dan selesaikan hutang.

Tapi setiap kali nak bayar, pasti akan ada halangan yang tak dijangka maka pembayaran hutang juga tertangguh.

Hutang yang semakin bertambah dan tidak dapat dibayar akan buat kita semakin stress akibat tekanan yang dihadapi.

Jadi bagaimana cara nak bayar hutang yang ada?

Anda boleh belajar dari kisah seorang suri rumah ni melangsaikan hutangnya sebanyak setengah juta yang ditanggungnya.

Dapatkan eBook Suri Rumah Bangkit Hutang ½ Juta Selesai hari ini.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Takaful vs Insurans Kereta: Adakah Duit Kita ‘Hangus’ Kalau Tak Pernah Kemalangan?

Setiap tahun, pemilik kenderaan di Malaysia wajib memperbaharui cukai jalan dan perlindungan kenderaan. Namun, masih ramai yang keliru atau sekadar “ikut kawan” tanpa memahami perbezaan antara Takaful dan Insurans Konvensional.

Ramai pemilik kereta sebut “Nak renew insurans kereta lah,” tapi sebenarnya mereka nak renew Takaful. Sebaliknya, ada juga yang ingat semua perlindungan kereta di Malaysia ini automatik patuh syariah atau berkonsepkan Takaful.

Realitinya tidak. Ini cara mudah untuk anda bezakan:

Lihat nama produk: Jika namanya ada perkataan “Takaful” (contoh: Takaful Ikhlas, Syarikat Takaful Malaysia, Etiqa Takaful), maka ia adalah produk patuh syariah. Jika namanya hanya “Insurance” atau “Insurans” (contoh: Allianz Insurance, MSIG Insurance, Lonpac Insurance), itu adalah produk konvensional.

Ini kerisauan paling popular yang bermain di minda pemilik kereta. Ramai yang bertanya:

“Kalau aku bayar Takaful tapi tak pernah kemalangan, bukan ke duit tu hangus macam tu saja? Apa faedah yang aku dapat?”

Jom kita bedah perbezaan ini supaya anda tidak lagi rasa rugi.

1. Niat & Akad: Jual Beli vs Tolong-Menolong

Perbezaan paling besar bukan pada harganya, tetapi pada kontrak (akad) di belakang tabir.

  • Insurans Konvensional: Menggunakan akad Mu’awadah (pertukaran komersial). Anda bayar premium kepada syarikat untuk “membeli” pampasan. Isunya, ia mengandungi unsur Gharar (ketidaktentuan) dan Maysir (seperti perjudian) kerana jika tiada kemalangan, syarikat ambil semua duit anda sebagai untung.
  • Takaful: Menggunakan akad Tabarru’ (derma). Sebahagian wang sumbangan anda dimasukkan ke dalam “Dana Risiko Peserta”. Niat anda adalah untuk menghibahkan (mendermakan) wang tersebut bagi membantu peserta lain yang ditimpa musibah.

2. Dilema “Duit Hangus”: Benarkah Tiada Langsung Faedahnya?

Jika sepanjang tahun kereta anda selamat dan tiada tuntutan (claim) dibuat, adakah anda rugi? Dari sudut Takaful, jawapannya adalah TIDAK.

Manfaat dari Sudut Rohani (Pahala)

Oleh kerana akadnya adalah derma untuk menolong orang lain (konsep Ta’awun), setiap sen yang anda bayar dikira sebagai amal jariah. Anda mendapat “manfaat ukhrawi” kerana membantu membiayai kos pembaikan kereta orang lain yang ditimpa malang.

Manfaat Perlindungan (Peace of Mind)

Anggaplah Takaful seperti mengupah pengawal keselamatan. Jika rumah anda tidak dirompak sepanjang tahun, adakah gaji pengawal itu dianggap hangus? Tidak, kerana anda telah mendapat manfaat perlindungan dan ketenangan jiwa sepanjang tempoh tersebut.

3. Kelebihan Yang Tiada Pada Insurans

Ini adalah bonus yang ramai orang terlepas pandang. Dalam insurans konvensional, lebihan wang (setelah tolak kos tuntutan) akan menjadi milik pemegang saham syarikat sepenuhnya.

Namun dalam Takaful:

  1. Jika dana risiko mempunyai lebihan (surplus) di akhir tahun, ia adalah milik kolektif peserta.
  2. Bergantung kepada polisi syarikat, lebihan ini boleh diagihkan semula kepada peserta yang tidak membuat tuntutan.
  3. Walaupun jumlahnya tidak menentu, ia merupakan satu pulangan tunai (cashback) yang adil berbanding insurans biasa.

Kesimpulan

Jangan lihat sumbangan Takaful sebagai satu perbelanjaan yang lebur begitu sahaja. Sebaliknya, lihatlah ia sebagai simpanan amal yang memberi anda ketenangan fikiran (peace of mind). Dalam Takaful, kalau tak kena musibah, kita dapat pahala menolong orang; kalau kena musibah, orang lain pula bantu kita. Adil dan berkat, bukan?

Memilih Takaful adalah satu langkah pengurusan risiko yang lebih efisien. Selain daripada perlindungan kenderaan yang komprehensif, anda juga berpeluang menikmati agihan lebihan (surplus) jika dana mencukupi. Ia adalah situasi win-win di mana risiko dikongsi bersama dan keuntungan bukan lagi milik mutlak syarikat semata-mata.