Nak Melabur Saham Petronas Chemical Group? Ambil Tahu 12 Perkara Ini Terlebih Dahulu

Petronas Chemical Group Bhd (PCG) merupakan pengeluar petrokimia terbesar di Malaysia dan diiktiraf sebagai di antara yang terunggul di Asia Tenggara. Kini, ia bernilai RM73.0 bilion dalam market capitalisation dan merupakan di antara syarikat tersenarai yang terbesar di Bursa Malaysia.

Di sini, saya ingin berkongsi update mengenai keputusan kewangan terkini bagi PCG, pelan perkembangan dan menilai sahamnya secara objektif. Jom kita lihat 12 perkara ini sebelum nak melabur ke dalam saham PCG.

1. Kapasiti Pengeluaran

Bagi tahun 2018, PCG mempunyai kapasiti pengeluaran petrokimia sejumlah 12.8 juta tan setahun. Ia terdiri daripada penghasilan produk olefins & derivatives sejumlah 4.8 juta tan setahun dan penghasilan produk baja & methanol sejumlah 8.0 juta tan setahun.

Kapasiti terkini adalah satu peningkatan daripada 10.8 juta tan setahun pada tahun 2014-2016.

Sumber: Laporan Tahunan PCG 2018

2. Olefins & Derivatives (O&D)

Perolehan O&D bagi PCG telah meningkat daripada RM9.5 bilion pada tahun 2015 kepada RM12.3 bilion pada tahun 2018. Ia telah membantu segmen ini untuk mencatat sebanyak RM2.8 bilion dalam keuntungan segmen.

Ini merupakan prestasi kewangan yang terbaik dalam jangka masa 5 tahun tersebut dan ia disumbangkan oleh peningkatan dalam plant utilization dalam tempoh tersebut.

Sumber: Laporan Tahunan PCG

3. Fertiliser & Methanol (F&M)

Perolehan F&M bagi PCG telah meningkat secara mendadak daripada RM4.1 bilion pada tahun 2016 kepada RM7.2 bilion pada tahun 2018. Ini disumbangkan oleh dua projek baru iaitu:

– PC Fertiliser Sabah: Urea & Ammonia Plant pada Mei 2017.
– Highly Reactive Polyisobutene (HR-PIB) pada Januari 2018.

Maka, keuntungan segmen pun telah meningkat secara mendadak daripada RM1.0 bilion pada tahun 2016 kepada RM2.3 bilion pada tahun 2018.

Maka, ia juga adalah prestasi kewangan yang terbaik dalam jangka masa 5 tahun tersebut.

Sumber: Laporan Tahunan PCG

4. Pasaran Utama

Pada tahun 2018, 64% jualan keseluruhan PCG adalah jualan eksport. Pasaran utama, selain pasaran domestik, bagi PCG adalah China, Indonesia dan Thailand. Nisbah sumbangan daripada negara tersebut pada tahun 2018 adalah seperti berikut:

Sumber: Laporan Tahunan PCG 2018

5. Prestasi Kewangan Keseluruhan

Secara keseluruhannya, PCG telah mencapai peningkatan daripada segi jumlah perolehan, daripada RM14.6 bilion pada tahun 2014 kepada RM19.6 bilion pada tahun 2018. Ia disumbangkan oleh kenaikan perolehannya daripada segmen O&D dan F&M.

Maka, keuntungan bersih untuk PCG telah meningkat daripada RM2.7 bilion pada tahun 2014 kepada setinggi RM5.0 bilion pada tahun 2018.

PCG telah mencapai 5-tahun purata Return on Equity (ROE) sebanyak 13.71%. Ini bermaksud, ia telah mengaut keuntungan bersih sejumlah RM13.71 daripada setiap RM100 dalam ekuiti pemegang saham daripada tahun 2014 ke tahun 2018.

Sumber: Laporan Tahunan PCG

6. Pengurusan Aliran Tunai

Daripada tahun 2014 sehingga 2018, PCG telah berjaya menjanakan sebanyak RM23.0 bilion dalam aliran tunai operasi, RM1.5 bilion dalam faedah dan RM0.7 bilion dalam dividen daripada syarikat associates dan joint ventures.

Ia juga menerima RM 3.5 bilion dalam pinjaman jangka panjang bersih.

Daripada jumlah tersebut, PCG telah membiayai:

– RM 15.5 bilion dalam capital expenditures (CAPEX).
– RM 8.5 dalam dividen kepada pemegang sahamnya.

Kini, PCG mempunyai RM 12.3 bilion dalam baki tunai. Terbuktilah, PCG merupakan satu syarikat yang mantap dari segi pengurusan aliran tunai dan ia berupaya untuk memberi dividen secara berterusan kepada para pemegang sahamnya pada masa hadapan.

Sumber: Laporan Tahunan PCG

7. Kedudukan Kewangan Terkini

Pada 31 Disember 2018, PCG mencatat sejumlah RM1.08 bilion dalam liabiliti bukan semasa dan RM30.48 bilion dalam ekuiti bagi pemegang saham. Maka, nisbah hutang bagi PCG adalah 3.55%. Di samping itu, ia telah mencatatkan RM16.76 bilion dalam aset semasa dan RM5.11 dalam liabiliti semasa.

Maka, nisbah semasa bagi PCG ialah 3.28.

8. Siapa Pemilik Terkini PCG?

Pada 25 Februari 2019, selain Petronas, 5 pemilik yang terbesar terkini dan pemegangan saham dalam PCG adalah seperti berikut:

No.Senarai Pemilik Terbesar PCGPemegangan Saham
1Petroliam Nasional Bhd64.35%
2Employees Provident Fund Board6.79%
3Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)2.55%
4Amanah Saham Bumiputera1.60%
5State Street Bank & Trust Company0.83%

Sumber: Laporan Tahunan PCG 2018

9. Pelan Perkembangan

PCG akan meneruskan rancangan perkembangannya untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran petrokimia daripada 12.8 juta tan setahun kepada 16.1 juta tan setahun pada tahun 2020. Kini, PCG telah merekod 96.0% persiapan bagi projek Pengerang Integrated Complex (PIC).

Ia berupaya menghasilkan sebanyak 2.7 juta tan setahun produk petrokimia seperti polymers, glycols, dan elastomers. PIC dijangka akan mula beroperasi pada suku kedua tahun 2019.

10. P/E Ratio

Pada 9 April 2019, harga saham PCG berada pada paras RM9.12. Pada tahun 2018, PCG telah merekodkan sebanyak RM0.622 dalam Earnings Per Share (EPS).

Maka, P/E Ratio bagi PCG yang terkini ialah 14.66, lebih rendah jikalau ia dibandingkan dengan 17.46, iaitu 5-tahun purata P/E Ratio-nya.

11. P/B Ratio

Pada 31 Disember 2018, PCG telah merekodkan aset bersih RM3.81 setiap saham. Maka, P/B Ratio terkini bagi PCG adalah 2.39, lebih tinggi jika ia dibandingkan dengan 2.20, iaitu 5-tahun purata P/B Ratio-nya.

12. Kadar Dividen

Pada 2018, PCG memberikan RM0.32 dalam dividends per share (DPS). Ini adalah satu peningkatan daripada RM0.16 dalam DPS pada 2014. Pada harga saham RM 9.12, kadar dividen terkini bagi PCG ialah 3.51% setiap tahun jika PCG boleh mengekalkan DPS-nya pada RM 0.32 setahun bagi tahun-tahun hadapan.

Bagi kadar dividen terkini, ia adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan 3.02%, iaitu purata kadar dividen-nya dalam masa 5 tahun tersebut.

Sumber: Laporan Tahunan PCG

Sudut Pandangan

Terutamanya 2 tahun lepas, PCG telah mencapai peningkatan daripada segi prestasi kewangan. Ia telah mencatatkan kenaikan perolehan dan keuntungan bersih. Oleh itu, ia boleh menaikkan pembayaran DPS kepada pemegang sahamnya.

Buat masa sekarang, penilaian saham PCG adalah:

– P/E Ratio sebanyak 14.66 (lebih rendah daripada 5-tahun purata)
– P/B Ratio sebanyak 2.39 (lebih tinggi daripada 5-tahun purata)
– Kadar dividen sebanyak 3.51% (lebih tinggi daripada 5-tahun purata)

Jadi, wajarkah untuk melabur PCG hari ini pada harga RM 9.12 sesaham?

Itu bergantunglah kepada pelan pelaburan masing-masing.

Biodata Penulis

Ian Tai merupakan Pengasas portal saham Bursaking.com.my dan Editor di KCLau.com. Beliau juga merupakan Penyumbang Artikel kepada The Fifth Person, Value Invest Asia dan Small Cap Asia, laman-laman web saham terkemuka di Singapura.
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Meridian Ditegur Bursa, Didenda RM8,500

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Securities Bhd mengenakan teguran secara terbuka terhadap Meridian Bhd dan Pengarah Eksekutifnya, Tang Boon Koon, selepas syarikat itu didapati melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities (LR Utama).

Tang turut dikenakan denda keseluruhan RM8,500 berikutan pelanggaran berkenaan.

Bursa Malaysia Securities dalam kenyataan berkata, Meridian melanggar perenggan 9.23(1) LR Utama kerana gagal menerbitkan laporan tahunan termasuk penyata kewangan diaudit dalam tempoh ditetapkan bagi tempoh kewangan 17 bulan berakhir 30 November 2023 dan tempoh kewangan 18 bulan berakhir 31 Mei 2025.

Menurutnya, laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 30 November 2023 hanya diterbitkan pada 5 April 2024, iaitu lewat lima hari urus niaga selepas tarikh akhir pada 31 Mac 2024.

Sementara itu, laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mei 2025 diterbitkan pada 8 Oktober 2025, iaitu lewat enam hari urus niaga selepas tarikh akhir pada 30 September 2025.

“Tang, Pengarah Eksekutif Meridian pada masa itu, melanggar perenggan 16.13(b) LR Utama kerana membenarkan Meridian melakukan pelanggaran berkenaan serta dikenakan teguran secara terbuka selain denda keseluruhan berjumlah RM8,500,” katanya.

Bursa Malaysia Securities turut mengarahkan Meridian memastikan Tang dan kakitangan berkaitan menghadiri program latihan pematuhan LR Utama, khususnya berkaitan penyata kewangan.

Selain itu, lembaga pengarah syarikat diminta menyemak semula kecukupan serta kecekapan sumber kewangan dan perakaunan, selain dasar serta prosedur pelaporan kewangan syarikat.

Bursa Malaysia Securities berkata, dapatan pelanggaran dan tindakan terhadap Meridian serta Tang dibuat menurut perenggan 16.19 LR Utama selepas proses sewajarnya selesai dengan mengambil kira semua fakta dan keadaan berkaitan kes berkenaan.

Pertimbangan itu termasuk kepentingan material pelanggaran, kesannya terhadap Meridian serta pemegang saham atau pelabur, selain peranan, tanggungjawab, pengetahuan dan tingkah laku Tang.

Bursa Malaysia Securities memandang serius pelanggaran berkenaan kerana penyerahan penyata kewangan dalam tempoh ditetapkan adalah kewajipan asas bagi syarikat tersenarai.

“Amat penting untuk memastikan pasaran yang teratur dan adil bagi sekuriti yang diniagakan di Bursa Malaysia Securities serta perlu bagi membantu keputusan pelaburan yang termaklum.

“Bursa Malaysia Securities turut mengingatkan Meridian dan lembaga pengarahnya mengenai tanggungjawab masing-masing untuk mengekalkan piawaian tanggungjawab korporat serta akauntabiliti yang sewajarnya kepada pemegang saham dan orang awam yang melabur,” katanya.

Menurut Bursa Malaysia Securities, kelewatan penerbitan laporan tahunan berkenaan berpunca terutamanya daripada kegagalan Meridian menyelenggara serta menyediakan maklumat, dokumen dan rekod perakaunan yang diperlukan kepada juruaudit luar.

Keadaan itu turut menyebabkan juruaudit memberikan pendapat penafian terhadap kedua-dua set penyata kewangan diaudit berkenaan.

Pendapat penafian itu mencetuskan kriteria yang ditetapkan di bawah Nota Amalan 17 (PN17), sekali gus menyebabkan Meridian diklasifikasikan sebagai penerbit berstatus PN17 pada 8 April 2024.