Bagaimana Jutawan Broker Saham Ni Jatuh Muflis, Kemudian Jadi Jutawan Semula

Tak sangka daripada seorang jutawan yang kaya-raya, pelabur ini telah jatuh muflis pada tahun 1977 dan kini telah menjadi jutawan semula. Inilah kisah benar yang boleh dijadikan inspirasi untuk semua orang terutamanya para broker dan pelabur.

Sirivat Voravetvuthikunn adalah seorang ahli perniagaan dan broker saham yang berjaya dan dikatakan multi-jutawan. Akibat kegawatan ekonomi di Asia yang turut menyebabkan kejatuhan pasaran saham, beliau telah mengalami zaman gelap kerana gagal menjual kondominium yang dimilikinya pada ketika itu. 

Beliau tidak dapat membayar pinjaman wang dan mempunyai komitmen untuk membayar 40 orang pekerja. Tambahan pula, beliau perlu menanggung pembelajaran 3 orang anaknya yang berada di England dan New Zealand.

Jual Sandwic Setelah Diisytiharkan Muflis

Perkara yang beliau lakukan untuk mencari duit setelah bergelar muflis, adalah dengan menjual sandwic.  Beliau membawa sandwic seberat 2 kilo di bahu setiap hari dan menjualnya di jalanan. Tabahnya seorang bekas jutawan melakukan hal sedemikian. 

Keuntungan perniagaan pada hari pertama yang diperolehnya adalah $14 dolar, di mana 6 kotak sandwic terjual, dan selebihnya beliau sedekahkan kepada badan kebajikan.

Rebut Saham Akhirat Dengan Infaq Dan Waqaf Bagi Pembinaan Bangunan Tahfiz Al Quran Al Ansar

Beliau tidak menjual lebihan itu pada esoknya tetapi menjual sandwic yang baru. Hari demi hari, perniagaannya semakin maju.

Biarpun isterinya bukan seorang yang mahir memasak, beliau berusaha gigih untuk menghasilkan jualan yang terbaik. Usaha gigih beliau telah membuka mata ramai penjual lain untuk bekerjasama dengannya.

Sirivat telah mengambil pekerja untuk bekerja dengannya.

Kesedihan Dan Cabaran

Cabaran dilaluinya daripada segi mental, di mana beliau diuji dengan kehadiran kawan-kawan lama yang masih kaya-raya yang sering membunyikan hon kereta sahaja. Mereka tidak berhenti untuk membeli sandwicnya, sedangkan mereka tahu beliau amat susah sekarang. Sirivat juga pernah dihalang daripada berniaga di beberapa kawasan.

Biarpun ramai yang merendahkannya dan berkata jual sandwic takkan laku kerana penduduk Thai hanya gemarkan nasi, tetapi beliau tetap menjualnya. Beliau hanya ingin mengumpul wang untuk menyara keluarganya.

Setelah 14 Tahun Berlalu

Sirivat masih menjual sandwic setelah 14 tahun berlalu. Katanya, akibat krisis ekonomi dahulu, beliau telah temui perniagaan baru dan amat gembira. 

Beliau ditemubual oleh 121 syarikat media internasional dan 262 syarikat media tempatan termasuklah BBC WORLD, CNN, AP, NEW YORK TIMES, CNBC, NHK dan LOS ANGELES TIMES.

Kejayaan Sirivat Kini

Asbab menjual sandwic, tidak mustahil beliau menjadi jutawan semula seperti sekarang. Perniagaan beliau telah berkembang maju dengan menambah produk-produk lain, dan beliau kini mempunyai seramai 6,000 orang pekerja. 

Beliau juga memiliki 3 buah kedai kopi yang terkenal di Bangkok. Beliau sering dipanggil sebagai penceramah jemputan yang bertaraf antarabangsa.

Bagi beliau, apa jua perniagaan yang dilakukan tiada masalah untuk bangkit semula. Apa yang paling penting, setiap perniagaan perlu dikendalikan dengan cara yang betul dan perlu mempunyai semangat juang yang tinggi.

Itulah kekuatan yang membuatkan beliau bangkit semula menjadi jutawan selepas muflis hanya dengan menjual sandwic.

Sumber RujukanBulletin Media

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.