Sejarah Polisi Rumah Mampu Milik Di Malaysia

Tahukah anda, sejarah perkembangan dasar perumahan di Malaysia telah bermula seawal tahun 1957 lagi?

Kejayaan demi kejayaan telah dicapai pihak Kerajaan dalam menangani isu perumahan di Malaysia di bawah pelbagai inisiatif yang proaktif, sekaligus menjadikan Malaysia sebagai rujukan utama negara sedang membangun serantau.

Sebagai pemula, kita perlu faham bahawa fasa perkembangan dasar perumahan di Malaysia ini terbahagi kepada lima fasa utama yakni:

  1. Fasa Perumahan Awal Kemerdekaan (1957 – 1970)
  2. Perumahan Untuk Mengatasi Kemiskinan (1970 – 1985)
  3. Perumahan Berfokuskan Pasaran (1986 – 1997)
  4. Perumahan Untuk Menghapuskan Setinggan (1998 – 2011)
  5. Perumahan Mampu Milik (2012 hingga kini)

Semenjak Tuan Khaw Kai Boh menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sehinggalah penyandang terkini iaitu YB Zuraida Kamaruddin, frekuensi dan pola pembangunan perumahan di Malaysia sangat berkait rapat dengan keadaan sosial semasa, politik dan ekonomi negara.

1. Perumahan Awal Kemerdekaan (1957-1970)

Kredit Gambar: Every Culture

Usai mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Lembaga Perumahan Persekutuan Tanah Melayu (Housing Trust Federation of Malaya) yang diasaskan pihak British sebelum merdeka lagi telah mewujudkan perumahan kos rendah di kawasan bandar.

Untuk rekod, 7,431 unit kediaman rumah kos rendah telah dibina dengan purata 826 unit setahun sepanjang tahun 1956 hingga 1965.

Bilangan unit yang dibina adalah jauh terlalu rendah dengan keperluan perumahan semasa ketika itu lebih – lebih lagi di kawasan tumpuan seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Memandang serius akan isu perumahan di Malaysia ketika itu, Kerajaan telah menubuhkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan pada tahun 1964 dengan Tuan Khaw Kai Boh menjadi menterinya yang pertama pada 2 Mei 1964.

Antara langkah drastik yang dilakukan adalah dengan meningkatkan penyediaan perumahan kos rendah, mengarahkan Kerajaan Negeri menyediakan tanah yang dijual pada harga nominal kepada KPKT  untuk pembangunan rumah kos rendah.

Langkah lain adalah mewujudkan standard asas bagi merangka standard minimum pembangunan rumah kos rendah dan dalam masa sama mengurangkan kos pembinaan.

Hasilnya, bilangan unit rumah kos rendah yang berjaya disiapkan telah meningkat dengan mendadak di mana pada tahun 1967 sehingga 1969 sahaja, sebanyak 14,175 unit atau purata 4,725 unit setahun rumah kos rendah berjaya disiapkan.

Antara projek perumahan ikonik yang masih diingati sehingga hari ini adalah Flat Pekeliling di Kuala lumpur, Rifle Range di Pulau Pinang dan juga taman perumahan di kawasan Petaling Jaya.

2. Perumahan Untuk Mengatasi Masalah Kemiskinan (1970 – 1985)

Kredit Gambar: Poskod.my

Kesan selepas pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970, dasar dan strategi program perumahan di Malaysia telah menjurus kepada usaha untuk membasmi kemiskinan dan juga meningkatkan peluang pekerjaan.

Akhirnya, program Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) telah dilancarkan pada tahun 1976 dengan atas inisiatif untuk menyediakan lebih banyak unit kediaman kepada golongan berpendapatan rendah.

Di bawah program ini, Kerajaan Negeri telah dipertanggungjawabkan untuk membina rumah dengan peruntukan dari Kerajaan Persekutuan.

Sepanjang tahun 1976 hingga 1990 sahaja, sejumlah 121,855 unit kediaman di bawah program Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) telah berjaya disiapkan di seluruh negara.

Malahan, agensi pembangunan ekonomi negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak (PKENP) telah diwujudkan dalam membantu Kerajaan membina lebih banyak projek perumahan untuk rakyat daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana di kawasan bandar.

Pada fasa ini jugalah wujudnya dasar Kerajaan yang mewajibkan pembinaan 30% rumah kos rendah bagi pembangunan perumahan swasta mula diperkenalkan yakni pada tahun 1981.

Untuk rekod, harga rumah kos rendah yang dibina pihak swasta telah ditetapkan pada kadar tidak melebihi RM25,000 dengan objektif menggalakkan penglibatan pihak swasta dalam penyediaan hartanah dan juga membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman.

Impak positif dari dasar ini adalah stok perumahan kos rendah mampu disediakan untuk rakyat dengan mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada Kerajaan.

Dalam fasa ini jugalah ekuiti pemilikan hartanah di kalangan Bumiputera mula meningkat sejajar dengan objektif asal DEB yang diperkenalkan Tun Abdul Razak.

3. Perumahan Berfokuskan Pasaran (1986 – 1997)

Kredit Gambar: Property Insight

Tahun 1980-an adalah era kerajaan mula campur tangan dalam pasaran perumahan di mana perkara ini menjadi trend global ketika itu.

Sungguhpun begitu, wujud desakan daripada agensi antarabangsa seperti Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF) supaya Malaysia mempromosikan dasar pasaran terbuka sekaligus mengurangkan campur tangan Kerajaan dalam urusan perniagaan pada ketika itu.

Kesannya, peruntukan penyediaan perumahan oleh Kerajaan telah berkurangan bermula awal 1990-an.

“Antara projek perumahan ikonik yang dibangunkan oleh pihak swasta pada fasa ini adalah projek perumahan Tanjung Bungah, Pulau Pinang dan perumahan moden di sekitar Putrajaya.”

Akan tetapi, tanggungjawab penyediaan perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana telah diserahkan kepada pemaju swasta. Sebahagian besar projek perumahan rakyat dibangunkan sepenuhnya pihak swasta dan peranan ini berterusan sehinggalah ke hari ini.

Berdasarkan data yang dikeluarkan KPKT pada tahun 2018, sebanyak 3.7 juta unit rumah berjaya dibina pemaju dari tahun 1971 hingga 2017.

Ini termasuk 1.2 juta unit rumah kos rendah yang dibina sepenuhnya oleh pemaju swasta tanpa bantuan kewangan dari Kerajaan.

4. Perumahan Untuk Setinggan (1998 – 2011)

Kredit Gambar: Property Hunter

Rantau Asia bagai diserang badai ombak apabila krisis ekonomi 1997 melanda menyebabkan Kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebagai inisiatif menangani krisis ekonomi negara.

MTEN telah mengambil langkah yang kurang popular dengan meningkatkan harga siling rumah kos rendah dari RM25,000 kepada 42,000 seunit.

Harga rumah kos sederhana pula telah dinaikkan kepada RM60,000 – RM150,000 bermula Jun 1998 dan rumah kos tinggi pula dinaikkan kepada RM150,000 ke atas.

Masalah yang cuba diselesaikan pada fasa ini adalah :-

1. Menjana ekonomi negara melalui sektor pembinaan.

2. Meningkatkan penyediaan perumahan untuk rakyat.

3. Mengatasi masalah penempatan setinggan 1990-an.

“Tahukah anda, pada tahun 1999 terdapat kira – kira 571,261 ahli isi rumah yang menetap di setinggan dan memerlukan solusi drastik. “

Solusi yang diambil Kerajaan di bawah MTEN pada tahun 1998 adalah dengan memansuhkan program PAKR yang dilaksanakan semenjak tahun 1976 dengan inisiatif terbaru yang dikenali Program Perumahan Rakyat (PPR).

Dasar PPR menjadi solusi terbaik menyelesaikan isu setinggan dengan sewa bulanan serendah RM124 atau harga jualan RM35,000 dengan fokus utama kepada golongan setinggan.

Strategi penempatan semula setinggan adalah dengan membina PPR di sekitar kawasan setinggan tersebut.

“Program PPR telah berjaya mengurangkan isu setinggan sehingga 91% menjelang Jun 2018.”

Program PPR dilihat sebagai kejayaan terbesar KPKT dengan 102,630 unit rumah PPR telah berjaya disewa dan dijual yang menempatkan 35,566 isi rumah di seluruh negara.

Daripada 571,261 isi rumah setinggan pada tahun 1999, telah menurun kepada 52,503 sahaja.

5. Perumahan Mampu Milik (2012 Hingga Kini)

Kredit Gambar: The Star

Kerajaan sedar akan kepentingan penyediaan rumah mampu milik sebagai langkah primer dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat hari demi hari.

Langkah ini ini diterjemahkan dalam penyediaan Dasar Perumahan Negara (2013 – 2017) dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Dan akhirnya, tertubuhlah pelbagai agensi dengan pelbagai program khusus untuk membantu bukan sahaja golongan B40, bahkan golongan M40 untuk memiliki rumah.

Program di peringkat persekutuan:

1. Perbadanan Perumahan 1Malaysia (PR1MA)

2. Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP)

3. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

4. Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM)

Program di peringkat negeri:

1. Rumah Selangorku

2. Rumah Mampu Milik Johor

3. PR1MA Pahang

Penawaran perumahan untuk rakyat berpendapatan rendah akan terus menjadi agenda utama Kerajaan dalam memastikan peruntukan sosial sektor perumahan dinikmati oleh isi rumah yang berkelayakan.

Industri hartanah di Malaysia tidak dapat dinafikan antara yang paling unik di rantau Asia Tenggara dengan pelbagai cabaran dan solusi yang praktikal cuba dilakukan oleh pihak kerajaan dan juga pihak swasta.

Semoga lebih ramai golongan Bumiputera mencapai kesedaran akan kepentingan memiliki hartanah dan sekaligus meningkatkan ekuiti pemilikan hartanah di kalangan Bumiputera.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Dilema mahu membeli atau menyewa rumah

Memiliki rumah sejak sekian lama dianggap sebagai simbol kestabilan dan kejayaan hidup bagi rakyat Malaysia.

Tidak hairanlah ramai golongan muda merasakan mereka perlu membeli rumah secepat mungkin yang memaksa mereka menanggung komitmen pinjaman perumahan selama 30 hingga 40 tahun.

Namun, dalam cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, harga rumah yang terus berada di luar kemampuan sebahagian besar pembeli muda serta corak pekerjaan yang semakin dinamik, tiba masanya kita menilai semula maksud sebenar ‘seseorang itu ada rumah’.

Pada asasnya, rumah adalah tempat berteduh dan menyediakan keperluan asas untuk kediaman. Yang mustahak adalah ‘jaminan tempat kediaman dan kepentingan untuk mendiami’ yang lazimnya adalah melalui pemilikan tetapi boleh juga melalui penyewaan.

Bagi ramai golongan muda, terutamanya di peringkat awal kehidupan, menyewa boleh menjadi pilihan yang lebih praktikal dan fleksibel.

Ia membolehkan mereka mampu untuk menetap berhampiran tempat kerja, mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan beban hutang jangka panjang sebelum benar-benar bersedia untuk membeli rumah sendiri.

Perubahan cara berfikir ini secara perlahan-lahan membuka ruang kepada perkembangan pasaran sewaan di Malaysia, termasuk kemunculan konsep ‘co-living’ atau kediaman bersama di dalam sebuah komuniti transit, serta juga konsep Rent-to-Own (RTO) atau Sewa-untuk-Beli.

Walaupun segmen ini masih kecil berbanding pasaran sewaan konvensional, ia semakin mendapat perhatian khususnya dalam kalangan generasi muda.

Konsep ‘co-living’ menawarkan bilik atau unit yang lengkap dengan perabot, tempoh sewaan yang lebih fleksibel serta kemudahan bersama yang diuruskan secara profesional.

Ia juga mengurangkan kos kemasukan (barrier of entry) kerana penyewa tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membeli perabot atau menanggung pelbagai kos utiliti secara berasingan.

Bagi golongan belia dan profesional muda, pekerja kontrak serta mereka yang sering berpindah lokasi pekerjaan, ‘co-living’ menyediakan pilihan perumahan yang lebih mudah dan praktikal tanpa perlu membuat komitmen membeli rumah ketika pendapatan mereka, khususnya pendapatan boleh guna mereka masih sedang dibina dan deperkukuhi.

Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi sekiranya pasaran sewaan ingin berkembang menjadi satu cabang penting dalam ekosistem perumahan negara.

Cabaran pertama ialah persepsi masyarakat. Budaya pemilikan rumah masih sangat kuat dan menyewa sering dianggap sebagai pilihan sementara atau petanda seseorang mencapai kestabilan kewangan.

Persepsi ini ada benarnya, tetapi ia juga mewujudkan tekanan sosial yang menyebabkan ramai membeli rumah lebih awal daripada kemampuan sebenar mereka ataupun menyebabkan kerakusan pasaran yang sehingga mengakibatkan tekanan mental dan emosi.

Hakikatnya, keperluan perumahan setiap individu berbeza mengikut peringkat kehidupan. Ada yang memerlukan fleksibiliti untuk berpindah mengikut kerjaya, manakala ada yang lebih selesa menangguhkan pembelian rumah sehingga kedudukan kewangan mereka lebih kukuh.

Oleh itu, menyewa tidak sepatutnya sewenang-wenangnya dilihat sebagai pilihan yang kurang baik sehingga dilihat sebagai stigma berbanding pemilikan rumah.

Cabaran kedua ialah pasaran sewaan negara yang masih belum matang dan terpasung. Sebahagian besar pasaran masih dikuasai oleh pemilik individu dengan standard pengurusan, syarat penyewaan dan kualiti penyelenggaraan yang berbeza-beza.

Keadaan ini menyebabkan pengalaman menyewa tidak seragam dan kadangkala menimbulkan ketidakpastian kepada penyewa dan juga pemilik rumah.

Cabaran ketiga pula ialah kekurangan rangka kerja perundangan yang menyeluruh untuk mengawal selia sektor sewaan kediaman.

Pelaksanaan dan penggubalan sebuah akta, seperti Akta Penyewaan Kediaman (RTA) yang satu ketika dahulu diusulkan tetapi tertangguh, perlu disegerakan bagi mewujudkan pasaran sewaan yang lebih teratur dan telus.

Sebuah akta yang khusus untuk regulasi pasaran penyewaan sektor kediaman ini berpotensi untuk menyediakan perlindungan yang lebih jelas kepada penyewa dan juga pemilik, memperkukuhkan mekanisme penyelesaian pertikaian serta meningkatkan keyakinan pelabur dan pengendali profesional dalam sektor perumahan sewaan.

Bagi akta sedemikian, keutamaan harus diberikan kepada pendekatan yang mesra penyewa, mesra pemilik dan mesra pelabur yang mengimbangi secara saksama kepentingan-kepentingan setiap pemegangtaruh untuk melahirkan satu persekitaran pasaran yang menang-menang.

Tumpuan juga harus diberikan untuk memperhalusi dan mengukuhkan konsep RTO atau Sewa-untuk-Beli sebagai salah satu langkah penyelesaian menang-menang.

Dalam jangka panjang, pembangunan pasaran sewaan yang lebih tersusun akan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Persediaan dan ketersediaan bakal pembeli rumah adalah berbeza-beza di dalam persekitaran yang mencabar dewasa ini di samping tekanan sosial berkenaan kemampuan dan pemilikan rumah idaman.

Walaupun apapun keadaannya, yang pasti adalah setiap individu dan isi rumah seharusnya mempunyai akses dan jaminan tempat kediaman yang selesa, mempunyai akses kepada kemudahan, selamat dan mampu dibayar mengikut keperluan serta kedudukan kewangan masing-masing.

Dalam hal ini, memperkukuhkan pasaran sewaan melalui konsep seperti RTO dan ‘co-living’ serta pemerkasaan rangka kerja perundangan berpotensi untuk melengkapkan ekosistem perumahan negara dengan menyediakan pilihan yang lebih pelbagai dan inklusif untuk rakyat Malaysia.

Penulis ialah Pengarah Kanan, Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian