6 Kunci Kejayaan Dalam Diri Seorang Bilionaire Yang Patut Kita Contohi

Kejayaan seseorang ditentukan oleh bagaimana mereka mendisplinkan diri untuk membuat perkara yang memberi impak yang tinggi kepada diri mereka. Kunci kejayaan bagi seorang bilionaire adalah mempunyai rutin yang sangat sistematik dan displin yang tinggi untuk melakukan rutin harian mereka.

Berikut merupakan di antara rutin bilionaire yang boleh kita contohi:

1. Bangun Awal Pagi

Kebanyakan bilionaire bangun di antara pukul 5 ke 5.30 pagi. Pada waktu tersebut, mereka bangun untuk menenangkan diri dan berfikir apa yang bakal dilakukan pada hari tersebut.

Mereka menjadualkan diri mereka ketika orang lain sedang tidur lagi. Waktu pagi juga adalah waktu yang sunyi dan tenang untuk mereka berfikir.

Menurut Manny Stul seorang bilionaire dalam penjualan produk permainan kanak-kanak, beliau pada mulanya memang susah untuk bangun pagi tetapi setelah dua minggu memaksa diri, ia telah menjadi satu tabiat bagi dirinya untuk bangun awal walaupun tidak dibantu oleh jam loceng.

Kebanyakkan bilionaire  tidur lebih kurang 6-7 jam sehari dan ada di antara mereka yang hanya tidur 4-5 jam sehari. Untuk bangun awal  pagi, kebiasaannya mereka perlu tidur awal malam bagi membolehkan mereka meneruskan rutin bangun pagi pada keesokan hari.

2. Kekal Sihat

Kekal sihat adalah perkara penting bagi seorang bilionaire untuk menguruskan perniagaan mereka. Kebanyakan daripada mereka selalu bersenam dengan kerap.

Menurut Lirio Parisotto seorang billionaire dari Brazil, beliau selalu bersenam menggunakan treadmill sebanyak tiga kali seminggu. Selain itu juga, bilionaire yang bernama Frank Stronach menegaskan betapa pentingnya hubungan di antara sukan dan perniagaan.

Bersukan adalah aktiviti yang mengajar kita tentang perlawanan. Adat perlawanan, ada pihak yang menang dan ada juga pihak yang akan tewas dan kita perlu bermain secara adil.

Begitu juga dalam perniagaan yang mana persaingan adalah perkara asas dalam mana-mana perniagaan yang kita ceburi. Selain daripada bersenam, mereka juga selalu bermeditasi kerana memerlukan fikiran yang lapang dalam membuat sebarang keputusan.

Pengamalan diet yang seimbang juga adalah penting bagi menjaga kesihatan tubuh badan.

3. Selalu Baca Buku

Kita tahu kebanyakan bilionaire ini adalah ulat buku yang mana dengan membaca buku membolehkan mereka mendapat idea bernas bagi mengembangkan perniagaan mereka. Warren Buffett yang merupakan pelabur terkaya di dunia memberitahu bahawa beliau membaca buku atau penyata kewangan syarikat lebih kurang 500 helai setiap hari.

Begitulah cara ilmu dapat dibentuk di dalam diri kita.

Kebanyakan bilionaire ini membaca buku yang berkaitan dengan ekonomi dan juga perkara yang berlaku di Wall Street. Selain itu juga, mereka turut membaca buku berkaitan dengan autobiografi orang-orang yang berjaya.

Menurut seorang bilionaire yang bernama Cho Tak Wong, beliau selalu menasihati golongan muda supaya membaca buku bagi mencari idea yang bernas untuk mengembangkan perniagaan mereka. Dengan membaca buku, mereka mampu untuk berfikir di luar kotak dan menjadi orang yang memberi nilai tambah kepada masyarakat.

4. Selalu Berfikir

Berfikir merupakan salah satu sebab mereka berjaya dalam kehidupan. Kebanyakan bilionaire ini adalah seorang yang sangat kreatif dan berfikiran terbuka.

Mereka gemar menyendiri untuk berfikir secara drastik tentang kaedah atau strategi untuk menaikkan perniagaan mereka. Kim Beom-su yang merupakan seorang bilionaire terkenal di Korea Selatan mengatakan bahawa beliau gemar melakukan senaman brisk walk.

Dengan brisk walking, beliau boleh mendapatkan pelbagai idea menarik dan bernas yang boleh digunakan untuk mengembangkan perniagaan. Beliau juga sering mengamalkan aktiviti berfikir pada waktu pagi.

5. Mempunyai Rutin Harian

Seperti yang diterangkan sebelum ini, kebanyakan bilionaire mempunyai rutin yang positif iaitu bangun pagi, membaca buku dan melakukan aktiviti berfikir, dan sebelum nak masuk kerja pergi bersenam terlebih dahulu.

Menurut Kim Beom-su lagi, beliau mengamalkan rutin tidur pukul 11.30 malam dan bangun di antara pukul 5 ke 6 pagi, dan selepas itu beliau akan bersenam dan mandi.

Kemudian beliau akan membaca buku selama 30 minit sebelum masuk ke tempat kerja. Walaupun rutin ini membosankan tetapi beliau tetap melakukan dengan bersungguh-sungguh kerana ini adalah resipi kejayaan untuk menjadi seorang yang berjaya.

6. Mempunyai Disiplin Yang Tinggi

Seperti seorang atlet, mereka tidak akan berjaya sekiranya mereka mempunyai tahap disiplin yang rendah. Mereka perlu berlatih setiap hari untuk berjaya dalam sukan yang mereka ceburi.

Begitu juga dengan  seorang bilionaire yang mempunyai tahap disiplin yang sangat tinggi yang perlu mereka tanam di dalam diri mereka sendiri. Seperti manusia lain, mereka juga ada hari yang mood kurang baik tetapi itu tidak bererti mereka perlu duduk bersahaja dan tidak membuat apa-apa.

Walaupun pada hari itu mood mereka kurang baik, mereka tetap meneruskan perkara-perkara yang wajib dilakukan dalam kehidupan seharian.

Seperti Michal Solowow yang merupakan seorang pelabur bilionaire yang berasal dari Poland. Setiap pagi beliau melakukan perkara yang tidak disukai dalam hidup tetapi beliau terus melakukannya kerana ingin melawan sifat malas.

Begitulah rutin yang perlu dilakukan oleh seorang bilionaire untuk mereka mencapai tahap kejayaan yang tinggi. Ianya bukanlah berasal daripada DNA atau keturunan kita, tetapi kita boleh mencipta suasana yang positif untuk berjaya dalam kerjaya dan kehidupan kita.

Dengan melakukan perkara tersebut, tidak mustahil suatu hari nanti kita juga akan berjaya seperti mereka.

Baca juga 4 Kategori Bilionaire Yang Ada Di Dunia.

Sumber Rujukan: https://www.cnbc.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.