Kisah 5 Usahawan Dan 3 Perkara Yang Kita Boleh Belajar Daripada Mereka

Kita sering dengar kisah usahawan yang mempunyai harta warisan untuk memulakan perniagaan ataupun tentang perniagaan yang lama tetapi diberikan nafas baru. Cerita sebegini sememangnya memberikan inspirasi kepada kita.

Namun, apa yang lebih menarik adalah mendengar kisah usahawan yang bermula dengan tiada apa-apa, namun masih mampu membina empayar perniagaan yang gah.

Ini adalah kisah 5 usahawan yang memulakan perniagaan tanpa modal, pembiayaan dan ada juga yang tidak mempunyai pendidikan atau pengalaman.

Apa yang mereka lakukan dan apa yang boleh kita belajar daripada mereka?

1. Sam Walton

Kredit Gambar: Addicted 2 Success

Sam Walton merupakan pengasas Walmart. Beliau hanya berharap dengan pinjaman USD25,000 daripada ayah mertuanya untuk memulakan perniagaan pada tahun 1945. Beliau terus berjaya dan membuka Walmart pertama secara rasmi pada tahun 1962.

Pada tahun 1976 sahaja, Walmart sudah bernilai lebih daripada USD176 juta.

2. Kevin Plank

Kredit Gambar: Baltimore Sun

Kevin Plank merupakan CEO untuk syarikat pakaian kecergasan Under Armour. Semasa beliau memulakan perniagaan menjual pakaian di bawah jenama Under Armour, beliau boleh dikatakan kehabisan wang.

Beliau menggunakan semua wang simpanan sebanyak USD20,000 dan membuat hutang kad kredit sebanyak USD40,000 untuk membiayai syarikat.

Tidak lama selepas itu, beliau telah menjual sebanyak USD17,000 kepada Georgia Tech University dan juga kepada 24 pasukan NFL.

Bermula daripada situ, perniagaan beliau semakin berkembang dan mampu menjana jutaan jualan dan mengambil lebih ramai pekerja.

3. Jan Koum

Kredit Gambar: Geeknack

Jan Koum adalah pengasas WhatsApp yang dilahirkan di sebuah kampung kecil di Ukraine. Berasal dari keluarga yang miskin, keluarga Koum telah berhijrah ke California dan Koum mula belajar tentang computer pada masa lapang.

Ketika berusia 18 tahun, dia sudah mempunyai kemahiran yang mengagumkan, dan pada tahun 1997, beliau diambil bekerja di Yahoo! sebagai jurutera insfrastruktur.

Beliau meluangkan lebih kurang 10 tahun di dalam industri tersebut sebelum menyedari peluang yang ada dalam industri aplikasi (app industry) dan memulakan Whatsapp Inc. pada tahun 2009.

4. George Soros

Kredit Gambar: Fortune

Bagi George Soros pula, mungkin ada yang menggambarkan beliau lebih kepada seorang pelabur daripada usahawan. Semasa Soros remaja, di Hungary pada tahun 1947, beliau melarikan diri daripada Nazi dan mentap di England.

Walaupun mempunyai wang yang sedikit, beliau mendaftarkan diri di London School of Economics untuk mendapatkan ijazah.

Sekitar 1950an, beliau berhijrah ke Amerika Syarikat untuk menjadi pengurus pelaburan di beberapa syarikat besar, dan akhirnya memulakan perniagaan hedge fund dan syarikat sendiri.

Pasti ramai yang tahu tindakan beliau yang membuat short trading British pound pada awal 1990an yang membuatkan beliau mendapat keuntungan USD1 bilion dalam masa sehari!

5. John Paul DeJoria

LOS ANGELES, CALIFORNIA, UNITED STATES – July 25, 2017: John Paul DeJoria, Co-Founder of the Paul Mitchell line of hair products and The Patrón Spirits Company, poses for a portrait at the John Paul Mitchell Systems office. ( Photo by Philip Cheung )

Kredit Gambar: Variety

John Paul DeJoria bukanlah suatu nama yang biasa kita dengar seperti Steve Jobs atau Elon Musk. Bermula dengan penghantaran surat khabar, bekerja sebagai tukang cuci dan pemandu trak tunda, DeJoria akhirnya berkerja di sebuah syarikat penjagaan rambut, di mana beliau bertemu dengan Paul Mitchell.

Dengan pinjaman yang bernilai hanya USD700, mereka memulakan perniagaan yang sekarang telah menjadi konglomerat iaitu John Paul Mitchell Systems. Kemudian, DeJoria menjadi pengasas bersama untuk Patron Spirits dan juga menjadi rakan pengasas untuk House of Blues.

Setelah melalui kisah hidup mereka, ada 3 perkara yang kita boleh belajar daripada mereka.

1. Hutang Boleh Menjadi Sesuatu Yang Berguna

Bukannya hendak menggalakkan budaya berhutang, tetapi kadang kala berhutang boleh membuahkan hasil. Berhutang sememangnya perkara yang menakutkan, apatah lagi jika kita tidak yakin dengan apa yang kita nak lakukan.

Tetapi, apa yang boleh kita lihat, hampir semua mereka yang di dalam senarai ini berhutang sebagai langkah pertama mereka. Selagi anda yakin boleh membayar balik hutang anda, berhutang boleh menjadi alat yang bernilai untuk memulakan perniagaan.

2. Melabur Untuk Diri Sendiri

Kita perlu melabur untuk kepentingan diri sendiri dahulu sebelum membuat pelaburan lain. Antara pelaburan yang boleh kita buat adalah meningkatkan kemahiran kita, menuntut ilmu dan memperoleh pengalaman.

Jika kita tidak mempunyai semua ini, kita tidak akan mampu untuk memulakan perniagaan, apatah lagi untuk mengembangkan dan mengekalkannya.

3. Berpandangan Jauh

Jika kita lihat para usahawan ini, mereka tidak masuk ke industri yang sudah sedia ada. Mereka memulakan sesuatu yang baru, ataupun cuba untuk mengubah pasaran sedia ada.

Strategi yang fokus kepada masa depan biasanya akan mengatasi strategi yang hanya fokus kepada keadaan semasa.

Ditulis oleh Abang Yazree Hazwan. Penulis merupakan seorang Eksekutif di sebuah syarikat penyelidikan pasaran di Malaysia. Mempunyai pengalaman dalam bidang insurans/reinsurans di syarikat reinsurans tempatan.

Sumber Rujukan: Entrepreneur

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kita Bajet Insurans, Tapi Lupa Bajet Check-up

Hampir setiap ketua keluarga mempunyai bajet yang cukup terperinci untuk perlindungan kesihatan samada menerusi insurans atau takaful.

Di Majalah Labur, kami percaya ramai pembaca setia kami rata-rata bersetuju yang sejumlah 5% – 15% dari gaji bulanan adalah amaun yang cukup sihat untuk perlindungan kesihatan.

Akan tetapi, ada satu perkara yang sering tidak mempunyai bajet khusus: pemeriksaan kesihatan berkala.

Kita lebih mudah menyediakan RM200 untuk membaiki sesuatu selepas rosak berbanding memperuntukkan sejumlah wang untuk memastikan masalah itu dapat dikenal pasti lebih awal.

Baca : 5 Perkara Medical Card Boleh Bantu Yang Tak Ramai Orang Tahu!

Dalam kewangan peribadi, cara berfikir seperti ini mungkin kelihatan kecil. Tetapi apabila melibatkan kesihatan, penangguhan boleh membawa kepada keadaan yang memerlukan lebih banyak masa, rawatan dan perbelanjaan.

Sebab itu preventive healthcare wajar dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan keluarga, bukan sekadar perbelanjaan tambahan.

Ada bajet insurans. Bagaimana dengan bajet kesihatan?

Insurans atau takaful penting untuk melindungi kewangan apabila berlaku keadaan yang memerlukan rawatan atau kemasukan ke hospital.

Tetapi perlindungan kewangan tidak semestinya bermaksud kita tidak perlu menyediakan bajet untuk penjagaan kesihatan rutin.

Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan untuk mengenal pasti faktor risiko, memberi nasihat pengurusan risiko dan membuat rujukan lanjut jika diperlukan.

pemeriksaan kesihatan

Pada asasnya, terdapat perbezaan antara:

“Saya mempunyai perlindungan jika sesuatu berlaku”

dengan

“Saya memperuntukkan wang untuk mengetahui keadaan kesihatan saya secara berkala.”

Kedua-duanya memainkan peranan yang berbeza dalam perancangan kewangan kesihatan.

Kesilapan ibu bapa : tunggu anak sakit baru bawa berjumpa doktor gigi

Perkara ini lebih mudah berlaku dalam kalangan ibu bapa. Anak tidak mengadu sakit, jadi pemeriksaan ditangguhkan. Gigi susu pula dianggap tidak begitu penting kerana akhirnya akan tanggal.

Apabila sakit mula berlaku, barulah ibu bapa mencari rawatan. Masalahnya, ketiadaan sakit tidak semestinya bermaksud tiada masalah.

Masalah ini yang cuba diketengahkan oleh Dr. A’tikah U’zed (Doktor Gigi di Klinik Pergigian Aesira) yang melihat ada keperluan untuk ibu bapa di Malaysia mengkhususkan wang untuk rawatan gigi anak mereka atau mereka sendiri!

pemeriksaan kesihatan gigi

Penegasan ini nampak ada intinya selepas kami melihat bahawa data National Oral Health Survey of Adults (NOHSA) 2020 menunjukkan ;

“Prevalens karies dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas ialah 85.1%, manakala dalam kumpulan umur 15–19 tahun pun prevalensnya masih 51.7%. Dalam kalangan orang dewasa yang mempunyai gigi, 40.7% mempunyai keperluan rawatan restoratif, 28.9% keperluan cabutan dan 4.5% keperluan rawatan endodontik.”

Masalah gusi juga tidak semestinya bermula dengan kesakitan.

NOHSA 2020 mendapati hanya 5.1% populasi bergigi mempunyai periodontium yang sihat, sementara 38.2% mempunyai periodontitis. KKM turut menerangkan bahawa penyakit periodontal boleh tidak disedari kerana pada peringkat awal ia boleh berlaku tanpa sakit.

Ini menjadikan pemeriksaan berkala satu perkara yang relevan bukan sahaja kepada kesihatan, tetapi juga kepada cara keluarga merancang perbelanjaan.

Kos rawatan gigi sebenarnya boleh dilihat sebagai kos tahunan

BilRawatanAnggaran kosKekerapan /Perspektif
1Konsultasi & pemeriksaan gigiRM30–RM1006–12 bulan / mengikut risikoKos asas untuk mengetahui keadaan gigi sebelum membuat keputusan rawatan
2X-ray gigi kecil (periapikal/bitewing)RM30–RM80Jika diperlukan doktorMembantu melihat masalah yang tidak jelas melalui pemeriksaan biasa
3X-ray panoramic (OPG)RM80–RM200Jika diperlukanBiasanya untuk penilaian keseluruhan rahang, gigi bongsu atau perancangan tertentu
4Scaling & polishingRM80–RM250Mengikut keadaan gigi/gusiPenjagaan berkala yang boleh dimasukkan dalam bajet pergigian tahunan
5Rawatan fluoridaRM50–RM120Berdasarkan risiko, terutama kanak-kanakPreventive care yang boleh dirancang lebih awal
6Fissure sealant±RM50–RM100/gigiTerutama gigi tertentu kanak-kanakPerbelanjaan pencegahan yang dibuat berdasarkan penilaian doktor
7Tampalan gigiRM80–RM300/gigiApabila terdapat kariesContoh kos rawatan yang mungkin timbul selepas pemeriksaan
8Cabutan gigi biasaRM80–RM300/gigiJika gigi tidak dapat dikekalkan / perlu dicabutKos meningkat berbanding penjagaan rutin apabila masalah memerlukan prosedur
9Rawatan saluran akar (root canal)±RM600–RM2,000/gigiUntuk gigi dengan masalah pulpa tertentuContoh bagaimana rawatan boleh menjadi lebih kompleks dan memerlukan bajet lebih besar
10Pembedahan gigi bongsu±RM800–RM2,500/gigiJika impaksi/kerumitan memerlukan pembedahanContoh kos prosedur yang lebih besar dan sukar dirancang sebagai perbelanjaan rutin

Semak : Senarai Harga Rawatan Gigi Terkini

Daripada melihat pergigian sebagai:

“Berapa saya perlu bayar apabila gigi sakit?”

lebih baik keluarga melihatnya sebagai:

“Berapa bajet saya perlu sediakan setiap tahun untuk penjagaan gigi?”

Ini tidak bermaksud seseorang perlu menjalani rawatan setiap tahun.

Sebaliknya, bajet tersebut boleh merangkumi pemeriksaan, penjagaan pencegahan dan rawatan yang diperlukan berdasarkan penilaian doktor gigi.

Kekerapan pemeriksaan pula bukan satu angka yang wajib sama untuk semua orang. Sesetengah individu mungkin memerlukan pemeriksaan lebih kerap berdasarkan risiko karies, keadaan gusi, sejarah rawatan dan faktor kesihatan lain.

Matlamatnya ialah tidak menunggu sehingga keadaan menjadi kecemasan sebelum mula merancang.

Contohnya, gigi jarang bukan semata-mata soal kosmetik

Ambil contoh diastema, atau gigi jarang.

Menurut Dr. A’tikah U’zied, diastema ialah ruang antara dua gigi yang paling kerap dilihat pada gigi hadapan atas.

Ia boleh berkait dengan saiz gigi berbanding rahang, faktor struktur semula jadi atau tabiat tertentu. Antara perkara yang boleh diperhatikan ialah ruang yang jelas antara gigi atau ruang yang semakin melebar.

Tidak semua diastema memerlukan rawatan.

Baca : Mencari Medical Card Terbaik? Tipu Semua Tu. Fahamkan 5 Perkara Ini

Tetapi apabila ibu bapa atau individu menyedari perubahan pada kedudukan atau jarak gigi, pemeriksaan memberikan peluang untuk menentukan sama ada ia sekadar variasi normal atau sesuatu yang memerlukan pemantauan atau rawatan.

Inilah konsep financial planning yang sering terlepas pandang.

Pemeriksaan bukan bermaksud kita sudah bersetuju untuk menjalani rawatan.

Pemeriksaan bermaksud kita mendapatkan maklumat terlebih dahulu.

Dengan maklumat itu, keluarga boleh membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan, bila ia perlu dilakukan dan bagaimana perbelanjaannya boleh dirancang.

Jadi, enam bulan atau setahun sekali?

Jawapannya bergantung kepada individu.

Jadual pemeriksaan gigi sepatutnya mengambil kira keadaan gigi dan gusi, tahap risiko, umur, sejarah rawatan serta penilaian doktor gigi.

Bagi sesetengah orang, pemeriksaan enam bulan sekali mungkin sesuai. Bagi yang lain, doktor mungkin mencadangkan sela masa yang berbeza.

Yang penting ialah jangan menjadikan “tidak sakit” sebagai satu-satunya ukuran untuk menentukan sama ada pemeriksaan diperlukan.

Konsep yang sama digunakan dalam kesihatan secara umum. KKM menerangkan bahawa saringan kesihatan bertujuan membantu mengenal pasti faktor risiko dan penyakit lebih awal supaya pengurusan dapat dimulakan.

Bagaimana keluarga boleh masukkan kesihatan dalam financial planning?

Satu pendekatan mudah ialah membahagikan perancangan kepada beberapa lapisan:

Pertama, perlindungan.
Insurans atau takaful untuk risiko kesihatan yang besar, mengikut kemampuan dan keperluan keluarga.

Kedua, dana kecemasan.
Simpanan tunai untuk perbelanjaan kesihatan atau kecemasan yang tidak dirancang.

Ketiga, preventive healthcare.
Bajet tahunan untuk pemeriksaan dan saringan yang bersesuaian dengan umur serta faktor risiko.

Keempat, penjagaan rutin.
Termasuk pergigian dan keperluan kesihatan lain yang boleh dijangka.

Dengan cara ini, kesihatan tidak hanya muncul dalam bajet apabila sesuatu sudah berlaku.

Baca : Permintaan Sektor Penjagaan Kesihatan Diunjur Meningkat Bagi Jangka Panjang

Kesihatan juga perlukan bajet sebelum ia menjadi kecemasan

Financial planning yang baik bukan sekadar mempunyai wang apabila berlaku masalah.

Ia juga tentang mengetahui perbelanjaan yang boleh dijangka, menyediakan ruang untuk penjagaan berkala dan membuat keputusan berdasarkan maklumat sebelum keadaan menjadi mendesak.

pemeriksaan kesihatan

Pemeriksaan kesihatan tidak menjamin seseorang akan terlepas daripada penyakit atau rawatan mahal. Begitu juga pemeriksaan gigi tidak menjamin seseorang tidak akan memerlukan prosedur kompleks pada masa hadapan.

Namun, pemeriksaan memberikan sesuatu yang penting dalam perancangan kewangan:

maklumat lebih awal.

Dan maklumat lebih awal memberikan keluarga peluang untuk membuat keputusan dengan lebih tenang, sama ada perlu merawat sekarang, memantau dahulu atau menyediakan bajet untuk rawatan pada masa akan datang.

Jadi, apabila menyediakan bajet keluarga untuk tahun hadapan, jangan hanya tanya:

“Berapa saya perlu simpan kalau saya jatuh sakit?”

Tanya juga:

“Berapa yang saya sanggup peruntukkan untuk mengetahui keadaan kesihatan saya sebelum ia menjadi kecemasan?”

Kerana dalam pengurusan kewangan kesihatan, bil rawatan bukan satu-satunya kos yang perlu difikirkan.

Masa, ketidakselesaan, kehilangan produktiviti dan keputusan yang dibuat ketika keadaan sudah mendesak juga mempunyai nilai.

Preventive healthcare bukan tentang berbelanja sebanyak mungkin untuk kesihatan.

Ia tentang merancang supaya kesihatan tidak menjadi kejutan kewangan kepada keluarga.

Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan pengganti nasihat doktor atau doktor gigi. Keperluan pemeriksaan, saringan dan rawatan berbeza mengikut keadaan individu.