OKU Bukanlah Penghalang, Kisah Kejayaan 99 SpeedMart

Kejayaan itu datang sekali dengan usaha. Sesiapa sahaja mampu berjaya jika mereka berusaha keras. Walaupun kita merupakan seorang yang digelar Orang Kelainan Upaya (OKU), kita masih mampu berjaya.

Ramai di kalangan orang hebat berjaya walaupun mereka mempunyai kekurangan daripada segi fizikal. Salah seorang insan hebat ini adalah pengasas rangkaian pasar raya 99 Speedmart, iaitu Lee Thiam Wah.

Beliau Lahir Normal

Lee Thiam Wah yang dilahirkan pada tahun 1964 ini merupakan bayi yang sihat. Sehinggalah pada usia 8 bulan, beliau kehilangan upaya untuk menggunakan kaki akibat daripada penyakit polio.

Beliau membesar dalam keluarga yang mempunyai 11 orang adik-beradik. Bapanya merupakan buruh binaan manakala ibunya pula seorang penjaja. Akibat daripada kesempitan hidup, Thiam Wah terpaksa menamatkan pengajiannya setakat Darjah Enam sahaja.

Untuk menghabiskan masa lapang di rumah, beliau banyak membaca dengan meminjam buku daripada jiran tetangga. Beliau cuba mendapatkan pekerjaan tetapi tidak berjaya disebabkan oleh kekurangan fizikal yang dialaminya.

Mula Berniaga Daripada Usia Muda

Jadi beliau pun berusaha mencari pendapatan sendiri dengan menjual makanan ringan di tepi jalan. Usaha Thiam Wah ini mendapat sokongan penuh daripada neneknya.

Dengan usaha gigihnya itu, beliau telah berjaya mengumpul modal sebanyak RM5,000 untuk membuka perniagaan runcitnya sendiri. Pada waktu itu beliau hanya berumut 23 tahun!

Dari situ beliau mula belajar tentang dunia perniagaan yang sebenar. Beliau sering memerhati serta mengkaji apa yang digemari oleh para pelanggannya. Beliau turut mengkaji teknik pemasaran serta harga yang mereka tawarkan.

Kisah Lahirnya 99 Speedmart

Kredit Gambar: Forbes

Pasar raya miliknya mula berkembang. Tetapi sebagai orang yang sukakan cabaran dan tidak mudah berpuas hati, Thiam Wah telah menjual pasar raya tersebut dengan harga RM88,000. Dengan wang tersebut, beliau telah gunakan untuk membuka perniagaan pasar mini.

Pasar mini pertama ini diberi nama 99 Speedmart dan mensasarkan golongan berpendapatan rendah dan juga imigran sebagai pelanggan utama. Thiam Wah juga cuba untuk menjual barangan dengan harga termurah di pasaran.

Salah satu strategi yang digunakan adalah dengan menjual sesuatu produk itu kepada saiz yang lebih kecil. Beliau juga hanya akan menyimpan stok hanya untuk produk yang memang boleh jual.

Pembekal juga gemar berurusan dengan Thiam Wah kerana beliau melakukan pembayaran dalam tempoh 30 minit setelah barangan tersebut sampai ke pasar rayanya.

Ini berbeza dengan pasar raya lain yang akan menangguhkan tempoh pembayaran mereka. Ini sekaligus telah memberikan reputasi yang baik terhadap perniagaannya.

Bayangkan dari hanya sebuah pasar raya, rangkaian pasar raya ini telah berkembang kepada 1,000 cawangan di seluruh Malaysia! Hebat bukan?

Jika lelaki ini mampu berjaya seperti ini, sudah tentu tiada alasan untuk kita mengerah tenaga dan bekerja keras untuk mencapai kejayaan yang kita impikan.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.