Checklist Sebelum Masuk Bulan Cukai

Purata income tahunan mereka yang baca MajalahLabur adalah RM100,000 ke atas, so korang automatik layak untuk hantar borang cukai pendapatan (income tax) dan boleh teruskan membaca.

LHDN kata kalau gaji setahun selepas tolak KWSP lebih RM34,000 barulah kena daftar nombor cukai / hantar borang cukai.

Contoh:

Gaji setahun sebelum tolak KWSP = RM38,202
Potongan KWSP (11%) = RM4,202
Gaji setahun selepas tolak KWSP = RM34,000 (dibundarkan)

Sekiranya pendapatan korang tak sampai pun RM34,000 setahun (lepas tolak KWSP) tapi majikan tiba-tiba ada buat potongan PCB, maka submit saja borang cukai tu, insha-Allah dapat refund.

Jadi menjelang bulan cukai yang bakal menjelma Mac ini, jika rasa tak nak bayar cukai banyak sangat, ini maklumat/dokumen yang perlu disimpan :

1. Borang EA / EC / CP58

Orang kerja kerajaan, sediakan borang EC.
Orang kerja swasta, sediakan borang EA.
Orang makan komisen (ejen-ejen penapis air, MLM, Takaful, Unit Trust, Remisier) sila minta borang CP58 (penyata bayaran insentif) dari syarikat.

Jika makan gaji sahaja, isi borang BE sebelum 30 April 2020. Jika makan gaji dan ada terima komisen atau income bisnes, sila isi borang B sebelum 30 Jun 2020.

Sila take note kalau korang makan gaji dan termasuk dalam gaji kasar tu elaun petrol, elaun perjalanan atau elaun tol atau kombinasi darinya, sila tolak sebab elaun/perkuisit ini dikecualikan cukai. Terhad kepada RM6,000 setiap tahun.

Sila rujuk sini untuk manfaat lain yang dikecualikan cukai.

2. No kad pengenalan ibu dan / atau ayah kandung/angkat

Err…Hafal tak no kad pengenalan mak ayah? Ada mak dan / atau ayah berumur 60 tahun dan ke atas yang bermastautin di Malaysia? Kalau mereka masih bekerja pastikan pendapatan tahunan mak atau ayah TIDAK melebihi RM24,000 seorang. Kalau cukup syarat ni dan ada kasi duit belanja dekat mereka anda boleh claim RM1,500 seorang. Kalau dua-dua masih hidup maka boleh claim RM3,000.

“Tapi mak ayah duduk kampung? “

Rileks, korang masih boleh claim walaupun tidak tinggal bersama.

Individu yang LAYAK menuntut pelepasan ini merujuk kepada anak kandung atau anak angkat yang sah di bawah undang-undang. Tuntutan pelepasan ini TIDAK dibenarkan ke atas ibu bapa tiri.

Nota : Kalau yang ada adik beradik ramai dan masing-masing nak claim, cara pengiraan seperti di Helaian Kerja HK15.

3. Penyata Takaful / Insuran

Sila minta statement tahun 2019 dekat ejen Takaful kalau penyata tu tak sampai rumah. Statement Takaful ini penting sebab dalam bayaran bulanan boleh jadi ada bahagian yang tak dibenar tolak cukai. Dekat statement tu biasa ada tulis. Jadi jangan declare semua kalau ada bahagian yang tak dibenarkan.

Yang boleh claim hanyalah Takaful/insuran nyawa, pendidikan dan perubatan. Takaful/insuran kereta tak boleh.

Takaful/insuran nyawa boleh claim untuk individu, suami atau isteri / isteri-isteri. Bayaran premium atas polisi nyawa anak tidak dibenarkan.

Manakala premium Takaful/insurans yang dibayar atas polisi pendidikan atau manfaat perubatan boleh untuk individu, pasangan atau anak.

4. Resit Gaya Hidup

Silalah korek semula resit-resit dan bil kalau tahun lepas (2019) ada beli dan bayar;

  • smartphone/komputer/laptop/tablet
  • buku/ subscription news online
  • bil langganan internet
  • Pembelian alat sukan / yuran gym

Boleh claim bawah pelepasan gaya hidup maksimum RM2,500. Belian mestilah untuk kegunaan peribadi saja, bukan untuk bisnes.

Ingat, tipu dosa.

5. Resit Alatan Penyusuan

Korek juga resit-resit berkaitan peralatan penyusuan (kalau ada beli). Pelepasan ini untuk pembayar cukai wanita saja atas pembelian peralatan penyusuan ibu untuk kegunaan menyusukan anak yang berumur 2 tahun dan ke bawah. Encik suami tak boleh claim (rasanya dalam borang dia disable ruang ini untuk lelaki).

Amaun claim adalah terhad kepada amaun yang dibelanja dan maksimum RM1,000 walaupun ada lebih daripada seorang anak.

Peralatan penyusuan ibu yang layak mendapat potongan adalah:

(i) set pam susu dan pek ais (breast pump kit dan ice pack);
(ii) bekas pengumpulan dan penyimpanan susu (breast milk collection
and storage equipment); serta
(iii) set penyejuk atau beg penyejuk (cooler set / bag).

6. Resit Pra-Sekolah

Ada anak berumur 6 tahun dan ke bawah yang dihantar ke pra-skolah atau pusat asuhan? Simpan lagi tak resit bayaran tu?

Potongan ini terhad kepada amaun yang dibayar dan maksimum boleh claim hanya RM1,000. Tapi tahun depan (tahun 2021) masa isi borang untuk taksiran 2020 boleh claim maksimum RM2,000. Yelah, yuran pra-sekolah macam Little Caliphs, Children Islamic Centre (CIC), Brainy Bunch, Genius Aulad, Smart Reader bukan biashe-biashe.

Tapi, pastikan taman asuhan kanak-kanak yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau pra-sekolah kerajaan/swasta yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

7. Penyata SSPN-i

Sumber gambar : bernama.com

Ada menabung untuk anak dalam SSPN-i? Baguslah. Rasanya sekarang dah boleh print penyata SSPNN-i secara online. Kalau takde boleh ke kaunter PTPTN yang berhampiran.

Ingat, boleh claim amaun bersih, bukan berapa banyak korang masukkan dalam akaun.

(Jumlah simpanan dalam tahun 2019 tolak jumlah pengeluaran dalam tahun 2019).

Contoh: Dalam tahun 2019,
Baki Bawa Hadapan: RM4,500;
Simpanan : RM2,000; dan
Pengeluaran : RM1,500.
Potongan yang layak dituntut adalah RM500 (RM2,000 – RM1,500).

Untuk taksiran tahun 2019, maksimum boleh claim RM8,000, sebelum ini hanya RM6,000.

LHDN mesti dah ada data pencarum SSPN-i ni, jadi berfikir panjang sebelum bertindak mengisi ruang pelepasan tu.

8. Resit bayaran zakat

Resit atau penyata bayaran zakat boleh dapatkan dari Pusat Zakat Negeri masa buat bayaran. Kalau bayar online memang senang nak print balik. Kalau ikut FAQ LHDN, zakat yang dimaksudkan adalah semua jenis bayaran zakat yang dibuat dalam sesuatu tahun tu. Maknanya termauklah zakat fitrah, zakat pendapatan, zakat emas dan zakat wang simpanan. Biasa yang orang claim adalah zakat fitrah dengan zakat pendapatan.

Dokumen lain yang perlu disediakan (jika ada) adalah yuran sambung pengajian ke peringkat Ijazah di peringkat Sarjana atau Doktor Falsafah, penyata Skim Persaraan Swasta (PRS), resit-resit kalau ada derma dekat institusi atau organisasi yang diluluskan oleh LHDN (cari dan semak di sini).

Paling penting selain no akaun bank untuk LHDN refund duit PCB kita, ingat lagi tak password e-filing? Kalau boleh rekodkan maklumat e-filing ni. Senang esok-esok nak login, id dengan password dah tersedia.

Ingat, TAK PERLU hantar resit-resit atau dokumen atas ni, simpan saja elok-elok mana tahu dapat surat audit dari LHDN supaya tunjuk bukti.

Ingat, tipu dosa.

Bersamalah kita membangunkan negara yang tercinta.

Previous ArticleNext Article

1 Comment

  1. sy gaji bwh bersih 2500. Tp thn lps dpt surat pemberitahuan pendaftaran cukai drp LHDN. Adakah sy layak bayar cukai?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Apa Sebenarnya Isu dengan Cukai Pegangan / Withholding Tax (WHT)?

Sejak kebelakangan ini, semakin ramai usahawan berkongsi pengalaman berhubung kewajipan Cukai Pegangan / Withholding Tax (WHT) ke atas bayaran kepada syarikat luar negara seperti Meta, Google dan platform digital lain.

Ada yang menganggap WHT sebagai cukai baharu LHDN. Ada pula yang mempersoalkan kenapa perlu membayar WHT sedangkan mereka sudah membayar SST.

Sebenarnya, konsep WHT bukan perkara baharu. Persoalannya ialah mengapa ia kini menjadi perhatian ramai, khususnya dalam kalangan usahawan digital. Kenapa sebenarnya Cukai Pegangan / Withholding Tax (WHT) ini menjadi isu dalam kalangan usahawan yang menggunakan platform pengiklanan digital?

Jawapannya terletak pada bagaimana cara perniagaan beroperasi hari ini.

Dulu, iklan banyak dibelanjakan dalam negara.

Syarikat akan beli ruang iklan di surat khabar, stesen TV atau radio tempatan.

Media tempatan memperoleh pendapatan.

Pekerja mereka dibayar gaji.

Syarikat pula membayar cukai pendapatan di Malaysia.

Hari ini, landskap sudah berubah.

Ramai usahawan beriklan di Facebook, Instagram, Google dan TikTok.

Setiap bulan, ada yang membelanjakan ribuan, malah jutaan ringgit.

Tetapi bayaran itu tidak lagi diterima oleh syarikat tempatan.

Ia dibayar kepada syarikat di luar negara.

Persoalannya…

Patutkah Malaysia mempunyai hak mengenakan cukai ke atas sebahagian daripada pendapatan yang dijana daripada pasaran Malaysia?

Di sinilah perlunya konsep Withholding Tax (WHT).

WHT bukan bermaksud syarikat luar negara tidak membayar cukai di negara mereka. Mereka mungkin tetap dikenakan cukai mengikut undang-undang negara masing-masing. Jadi kerajaan Malaysia berpendapat, negara ini juga patut ada sedikit hak untuk mengenakan cukai ke atas bayaran tertentu yang keluar ke luar negara.

Oleh sebab syarikat tersebut berada di luar bidang kuasa LHDN, undang-undang meletakkan tanggungjawab kepada pihak yang membuat bayaran di Malaysia untuk memotong dan meremit cukai tersebut jika bayaran itu tertakluk kepada WHT.

Contoh

Bayangkan ada dua content creator.

Amir tinggal di Malaysia. Sebuah syarikat kosmetik Malaysia membayarnya RM100,000 untuk menghasilkan kandungan promosi. Amir akan melaporkan pendapatan itu dan membayar cukai di Malaysia.

Alex pula tinggal di Ireland. Syarikat kosmetik yang sama di Malaysia membayarnya RM100,000 untuk menghasilkan kandungan yang menyasarkan pelanggan di Malaysia. Alex juga mungkin akan membayar cukai di Ireland mengikut undang-undang negara tersebut.

Persoalannya, bayaran RM100,000 itu datang daripada syarikat Malaysia. Adakah Malaysia juga patut mempunyai hak untuk mengenakan cukai ke atas bayaran tersebut?

Inilah antara rasional kewujudan WHT.

WHT bukan bermaksud Alex tidak membayar cukai di Ireland. Sebaliknya, ia merupakan mekanisme yang membolehkan Malaysia mengenakan cukai ke atas bayaran tertentu kepada bukan pemastautin apabila syarat-syarat di bawah undang-undang dipenuhi.

Antara bayaran yang lazim tertakluk kepada WHT ialah:

  • Royalti (Seksyen 109)
  • Faedah (Seksyen 109)
  • Perkhidmatan, pengurusan atau khidmat khas (Seksyen 109B)
  • Pendapatan artis luar negara (Seksyen 109A)
  • Pendapatan kontrak (Seksyen 107A)

Namun, bukan semua bayaran kepada syarikat luar negara dikenakan WHT. Sama ada WHT terpakai bergantung kepada jenis bayaran, fakta sesuatu transaksi serta jika berkaitan, Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA).

Apa jadi kalau WHT tidak dipatuhi?

Bayangkan sebuah syarikat kosmetik di Malaysia.

Setiap bulan syarikat ini beriklan di Facebook dan Instagram.

Sepanjang tahun, jumlah belanja iklan mencecah RM1 juta.

Walaupun jumlah itu terkumpul sepanjang tahun, kewajipan WHT tidak timbul di hujung tahun. Sebaliknya, ia perlu dipatuhi bagi setiap bayaran yang dibuat kepada Meta Platforms Ireland Ltd (dahulunya dikenali sebagai Facebook Ireland Ltd) .

Berapa kadar WHT yang perlu dibayar?

Bayaran kepada Meta Platforms Ireland Limited bagi pengiklanan digital tertakluk kepada WHT sebagai royalti. Ramai menyangka kadarnya sentiasa 10%.

Namun bagi Meta, keadaannya sedikit berbeza.

Ini kerana Meta mengeluarkan invois kepada pelanggan Malaysia melalui Meta Platforms Ireland Limited, manakala Malaysia dan Ireland mempunyai Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA).

Jika syarat-syarat DTA dipenuhi, kadar WHT yang dikenakan ialah 8%, berbanding kadar domestik 10%.

Nota: Bagi TikTok Ads, oleh kerana invois dikeluarkan oleh TikTok Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, pembayar cukai perlu memastikan syarikat tersebut benar-benar merupakan pemastautin cukai Singapura sebelum menggunakan kadar WHT (8%) di bawah DTA Malaysia–Singapura.

Jika bayaran kepada Meta Platforms Ireland Ltd tertakluk kepada WHT tetapi syarikat gagal mematuhi kewajipan tersebut, kesannya bukan sekadar perlu membayar WHT.

Perbelanjaan iklan RM1 juta itu juga boleh tidak dibenarkan sebagai potongan cukai di bawah perenggan 39(1)(j) Akta Cukai Pendapatan 1967 sehingga WHT dijelaskan.

Katakan syarikat itu memperoleh untung sebelum cukai RM2 juta.

Jika WHT dipatuhi

  • Untung sebelum cukai: RM2,000,000
  • Tolak kos iklan: RM1,000,000
  • Pendapatan bercukai: RM1,000,000
  • Anggaran cukai syarikat (24%): RM240,000

Jika WHT tidak dipatuhi

  • Untung sebelum cukai: RM2,000,000
  • Kos iklan RM1,000,000 tidak dibenarkan
  • Pendapatan bercukai: RM2,000,000
  • Anggaran cukai syarikat (24%): RM480,000

Perbezaan cukai: RM240,000.

Itu belum mengambil kira WHT yang masih perlu dijelaskan serta kenaikan jika lewat dibayar.

WHT bukan untuk iklan di sosial media sahaja

Ramai ingat WHT hanya berkaitan pengiklanan di Meta (Facebook & Instagram), Google Adwords atau TikTok Ads.

Sebenarnya tidak.

WHT telah lama wujud dan melibatkan pelbagai jenis bayaran kepada syarikat atau individu bukan pemastautin.

Antaranya ialah:

🛠️ Perkhidmatan

Contohnya sebuah kilang di Malaysia mengupah jurutera dari Jepun untuk memasang mesin.

💻 Perisian dan langganan digital

Contohnya bayaran lesen perisian, cloud computing atau platform AI kepada syarikat luar negara. (Tertakluk kepada fakta dan jenis bayaran.)

🎬 Content creator atau influencer luar negara

Contohnya syarikat kosmetik Malaysia membayar influencer di Korea Selatan untuk mempromosikan produk kepada pelanggan Malaysia.

🏷️ Royalti

Contohnya, sebuah syarikat Malaysia membayar royalti kepada pemilik jenama luar negara untuk menggunakan jenama tersebut di Malaysia.

Bagaimana hendak membayar WHT?

Jika sesuatu bayaran memang tertakluk kepada WHT, proses pembayarannya kini dibuat secara dalam talian melalui Portal MyTax menggunakan aplikasi e-WHT. LHDN menggalakkan pembayar cukai mengemukakan borang dan membuat bayaran melalui platform ini.

Secara ringkas, prosesnya adalah seperti berikut:

  1. Log masuk ke MyTax.
  2. Pilih ezHasil Services → e-WHT.
  3. Pilih borang WHT yang berkaitan (contohnya CP37 untuk royalti).
  4. Masukkan maklumat pembayar, penerima (termasuk TIN) dan butiran bayaran.
  5. Jana Bill Number.
  6. Buat pembayaran melalui ByrHASiL (FPX) atau saluran pembayaran yang dibenarkan.
  7. Muat turun resit pembayaran untuk simpanan rekod.

Tip: Antara cabaran yang sering dihadapi usahawan ialah mendapatkan maklumat penerima seperti Tax Identification Number (TIN) bagi syarikat luar negara. Jika TIN penerima belum tersedia, pembayar cukai boleh mendapatkan bantuan daripada LHDN melalui [email protected]

Kesimpulannya

Kita perlu faham bahawa WHT adalah mekanisme yang digunakan untuk memberi hak percukaian kepada Malaysia ke atas bayaran tertentu yang mengalir ke luar negara.

Ramai usahawan bukanlah mempertikaikan hak kerajaan untuk mengutip cukai. Apa yang mereka rungutkan ialah beban yang semakin bertambah.

Hari ini, mereka sudah pun membayar SST 8% ke atas perkhidmatan iklan digital. Dalam masa yang sama, timbul pula isu WHT yang memerlukan proses pengemukaan borang CP37 dan bayaran secara manual kepada LHDN.

Sebab itulah ada yang merasakan kos semakin tinggi, walaupun SST dan WHT sebenarnya merupakan dua cukai yang berbeza.

Namun, dalam era ekonomi digital hari ini, mungkin sudah tiba masanya mekanisme ini ditambah baik.

Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah:

  • Mewujudkan nilai ambang (threshold), sebagai contoh, hanya syarikat yang mempunyai hasil jualan tahunan melebihi jumlah tertentu diwajibkan mematuhi WHT bagi transaksi digital, manakala perusahaan mikro dan kecil diberi pengecualian
  • Menyediakan mekanisme pemotongan automatik melalui platform seperti Meta atau Google, seperti mana SST digital dikutip hari ini. Ini mengurangkan beban usahawan yang perlu memproses dan meremit sendiri WHT.
  • Memberikan tempoh pengampunan kepada pembayar cukai yang ingin membuat pengakuan secara sukarela tanpa dikenakan penalti 10%.

Bagi pembaca yang ingin memahami bagaimana mahkamah mentafsirkan isu Withholding Tax, berikut beberapa keputusan kes yang boleh dijadikan rujukan:

  • Kes Mahkamah Berkaitan WHT: Glocomp Systems (M) Sdn Bhd
    • Mahkamah Tinggi (Glocomp Systems (M) Sdn Bhd v KPHDN)
      Glocomp mencabar tindakan LHDN yang mengenakan WHT ke atas bayaran kepada Symantec Singapura. Mahkamah Tinggi memihak kepada Glocomp dan memutuskan bahawa bayaran tersebut bukan royalti, sebaliknya merupakan business profits di bawah DTA Malaysia–Singapura.
    • Mahkamah Rayuan (KPHDN v Glocomp Systems (M) Sdn Bhd)
      LHDN merayu keputusan tersebut. Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan LHDN. Namun, keputusan itu bukan kerana mahkamah memutuskan bayaran tersebut semestinya tertakluk kepada WHT. Sebaliknya, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Glocomp sepatutnya menggunakan saluran rayuan cukai yang disediakan oleh Akta Cukai Pendapatan, iaitu melalui Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), dan bukannya terus memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
  • Wira Swire Sdn Bhd v Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (Seksyen 109B ITA 1967) – Kes ini menunjukkan bahawa tidak semua bayaran kepada syarikat luar negara dikenakan WHT. Jika terdapat Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), hak Malaysia untuk mengenakan WHT mungkin terhad. Dalam keadaan tertentu, pendapatan tersebut hanya dikenakan cukai di negara tempat syarikat itu bermastautin.
  • Alwan Enterprise Sdn Bhd v Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (Seksyen 109B ITA 1967) – jika pertikaian itu memerlukan penelitian terhadap kontrak dan fakta transaksi, tempat yang sesuai untuk menyelesaikannya ialah Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), bukannya terus membawa kes ke Mahkamah Tinggi.

Anda juga boleh merujuk:

Artikel ini bertujuan memberi penerangan umum mengenai konsep Withholding Tax (WHT). Contoh yang diberikan adalah untuk tujuan ilustrasi bagi memudahkan pemahaman pembaca. Sama ada sesuatu bayaran kepada bukan pemastautin tertakluk kepada WHT bergantung kepada fakta transaksi, jenis bayaran, peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967 serta, jika berkaitan, Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA). Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada penasihat cukai berlesen atau merujuk LHDN bagi menentukan layanan cukai yang tepat mengikut keadaan masing-masing.