Koronavirus, Tema Utama Pasaran Global Minggu Ini (27–31 Januari 2020)

Minggu lalu pasaran saham Wall Street mencatat kejatuhan pertama tahun ini berikutan penyebaran jangkitan koronavirus yang boleh membawa maut. Jangkitan yang telah tersebar luas di Wuhan, China itu turut mengakibatkan pasaran saham global jatuh ke paras yang lebih rendah.

Penutupan Bursa Saham New York (NYSE) pada hari Jumaat lepas (24 Januari 2020) menyaksikan Dow Jones Industrial Average (DJIA) menyusut 0.58%, manakala S&P 500 jatuh 0.90% dan Indeks komposit Nasdaq pula ditutup 0.93% lebih rendah. Kejatuhan ini diketuai oleh kaunter-kaunter kesihatan, perkhidmatan pengguna dan tenaga.

Aset berisiko menyusut dengan signifikan berikutan peralihan pelabur dari pasaran saham kepada aset yang lebih selamat. Pelabur bimbang koronavirus sedia ada akan tersebar lebih meluas di peringkat global dan setakat pada pukul 3 pagi hari Selasa (28 Januari 2020) virus tersebut telah meragut lebih daripada 100 nyawa. Minggu ini pelabur dijangka lebih tertumpu kepada aset safe-haven di mana komoditi emas dan matawang Yen akan terus mengukuh jika jumlah kes koronavirus terus meningkat.

Pemain pasaran akan terus meneliti perkembangan koronavirus pada minggu ini tetapi perhatian juga akan terarah kepada laporan pendapatan syarikat, penetapan dasar monetari The Federal Reserve (The Fed) dan juga data-data ekonomi yang akan dikeluarkan oleh ekonomi-ekonomi besar dunia.

Lebih daripada 40% syarikat dalam indeks S&P 500 akan melaporkan pendapatan suku keempat tahun 2019 pada minggu ini. Di antaranya adalah syarikat gergasi seperti Apple, Starbuck, Boeing, Tesla, Microsoft, Facebook, Amazon, Coca-Cola, McDonald’s, Caterpillar dan Exxon.

Secara keseluruhannya, tema utama pasaran global pada minggu ini akan lebih berkisar tentang koronavirus, seterusnya keputusan The Fed pada hari Khamis (30 Januari) dan laporan pendapatan di Wall Street.

Berikut adalah lima catalyst utama yang bakal menjadi perhatian para pelabur sepanjang minggu ini.

1. Koronavirus Risiko Pasaran Global

Kebolehan untuk koronavirus berjangkit semakin tinggi dan pesakit dijangka akan semakin meningkat dari hari ke hari, menurut Suruhanjaya Kesihatan China pada Ahad (26 Januari 2020). Setakat hari Selasa (28 Januari 2020) pukul 3 pagi waktu Malaysia, 2,700 orang telah disahkan terkena jangkitan koronavirus di seluruh dunia dengan kes kematian meningkat lebih daripada 100 orang.

Terdapat juga kes yang dilaporkan di luar China termasuk, Thailand, Australia, Amerika Syarikat, Perancis, Singapura dan Malaysia.

Pemain-pemain pasaran bimbang jika ianya lebih teruk berbanding virus SARS yang pernah berlaku di China pada tahun 2003. Ketidaktentuan dalam isu global adalah perkara yang tidak digemari oleh pelabur, dan koronavirus sudah cukup untuk menyuntik ketidakpastian di dalam ekonomi.

Seperti biasa, ketidaktentuan dalam pasaran akan memaksa pelabur menyimpan aset mereka dalam bentuk yang lebih selamat atau sekurang-kurangnya dapat mengekalkan nilai wang mereka. Dalam situasi berisiko seperti ini, Yen, emas dan bon-bon kerajaan Amerika Syarikat akan meningkat disebabkan permintaan yang tinggi.

2. Penetapan Dasar Monetari Federal Reserve

Bank pusat Amerika Syarikat ini dijangka tidak banyak mengubah unjurannya terhadap ekonomi kecuali pemotongan kadar sebelum ini banyak membantu menaikkan semula keadaan kewangan di negara itu. Kadar faedah Fed Fund Rate dijangka akan kekal dalam julat 1.50%-1.75% pada Khamis.

Dalam sidang media, seperti biasa pasaran akan tertumpu kepada Pengerusi The Fed, Jerome Powell yang berkemungkinan akan lebih optimis selepas termeterainya perjanjian fasa satu antara AS dan China.

Tumpuan akan lebih terarah kepada isu penyata imbangan bank pusat. The Fed telah membeli US$60 bilion bon kerajaan setiap bulan bagi mengembangkan penyata imbangannya. Ramai pelabur percaya tindakan ini bagi menambah kecairan di dalam pasaran sekaligus menggalakkan perkembangan ekonomi.

Ini juga adalah mesyuarat pertama The Fed pada tahun 2020 dengan ahli-ahli baru yang mengundi dasar kali ini adalah Neel Kashkari (cawangan Fed Minneapolis), Robert Kaplan (Dallas), Loretta Mester (Cleveland), Patrick Harker (Philadelphia). Berdasarkan nama-nama tersebut, ahli majlis mesyuarat bank pusat pada tahun ini dilihat lebih cenderung kepada kadar faedah yang rendah terutamanya Neel Kashkari.

3. Laporan Pendapatan di Wall Street

Terdapat 135 syarikat dalam indeks S&P 500 yang akan mengumumkan laporan pendapatan mereka pada minggu ini dengan fokus terarah kepada kaunter-kaunter teknologi, industri dan pengguna. Syarikat Apple akan melaporkan pendapatannya pada suku keempat tahun lalu pada hari Selasa (28 Januari 2020), manakala Microsoft dan Facebook pada hari Rabu (29 Januari 2020). Syarikat Boeing dan General Electric akan melaporkan pada hari Rabu dan gergasi McDonald’s juga akan mengumumkan pendapatannya pada hari sama.

Laporan pendapatan telah bermula sejak dua minggu lalu dan setakat ini prestasi keseluruhan adalah memberangsangkan di mana 68.2% syarikat merekodkan prestasi lebih baik daripada jangkaan.

Kumpulan syarikat dengan akronim ‘FAANG’ akan menjadi tumpuan kerana banyak menyumbang kepada kenaikan pasaran saham Wall Street.

Mewakili huruf ‘F’ dalam akronim ‘FAANG’, Facebook dijangka merekodkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 6.2% dengan pendapatan dari tahun ke tahun  meningkat sebanyak 23.4%. Microsoft pula dijangka mencatat peningkatan pendapatan sebanyak 20%.

Amazon pada hari Khamis (30 Januari 2020) pula dijangka melaporkan kenaikan pendapatan sebanyak 18.7% dan akhir sekali syarikat induk Google, Alphabet diramalkan merekodkan penurunan pendapatan sebanyak 1.7%.

4. Brexit Semakin Hampir

Ini adalah minggu terakhir Britain sebagai ahli Kesatuan Eropah (EU). Selepas berlakunya Brexit pada pukul 11 malam hari Jumaat (31 Januari 2020) ini, UK bebas untuk memeterai perjanjian perdagangan dengan negara-negara selain EU, contohnya Amerika Syarikat.

UK seterusnya akan memasuki ‘tempoh transisi’ bersama EU sehingga 31 Disember 2020. Pada tempoh tersebut UK akan berusaha mendapatkan perjanjian perdagangan dengan Eropah bagi memastika barangan UK tidak berhadapan dengan tariff ke negara-negara Kesatuan Eropah.

Setiausaha Brexit, Stephen Barclay berkata UK akan menerbitkan objektif rundingan mereka dan menegaskan UK hanya akan mendapatkan perjanjian yang baik daripada Kesatuan Eropah.

5. Data Ekonomi Penting

Banyak data-data penting yang akan dikeluarkan pada minggu ini termasuklah bacaan awal pertumbuhan ekonomi AS pada suku keempat tahun 2019. Jangkaan untuk data kali ini ialah ekonomi Amerika Syarikat berkembang 2.2% lebih tinggi daripada 2.1% yang dicatatkan pada suku ketiga. Zon Eropah akan mengeluarkan data pertumbuhan ekonomi pada hari Jumaat (31 Januari 2020) dengan jangkaan kenaikan 0.2% berbanding suku ketiga.

Minggu ini, akan dimulakan dengan data dari Jerman iaitu Ifo Business Climate yang menunjukkan indeks perniagaan melibatkan syarikat pembinaan, borong, peruncitan dan perkhidmatan.

Bank of England (BoE) juga akan menetapkan dasar monetarinya pada hari Khamis (30 Januari 2020) pukul 8 malam dengan jangkaan kadar kekal di paras 0.75%.

Antara data penting yang menjadi perhatian pasaran akan dikeluarkan pada hari Jumaat yang melibatkan perbelanjaan pengguna di Amerika Syarikat. Data inflasi keutamaan The Fed, Personal Consumption Expenditure (Core-PCE) dijangka hanya meningkat 0.1%.

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Peluang Dalam Krisis: Sektor O&G Kembali Jadi Tumpuan (Buat Masa Ini)

Bila Bumi Iran Bergegar, Bursa Malaysia Turut Terkena Tempias

Bulan Mac 2026 menyaksikan sektor minyak dan gas kembali ‘menyala’. Tapi kali ini, bukan sebab laporan kewangan atau projek baharu. Sebaliknya, pasaran digerakkan oleh faktor konflik geopolitik melibatkan Iran yang memberi kesan langsung kepada harga minyak global.

Ketegangan di Timur Tengah, khususnya melibatkan laluan kritikal seperti Selat Hormuz, telah mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan minyak dunia. Apabila risiko supply meningkat, harga minyak melonjak dan secara automatik sektor minyak dan gas menjadi antara yang paling mendapat manfaat.

Malaysia, walaupun bukan pemain utama dunia, berada dalam posisi yang agak unik. Kita bukan negara konflik, tetapi masih mempunyai sumber minyak dan gas sendiri. Ini menjadikan saham-saham tempatan dalam sektor ini menarik perhatian pelabur, seperti yang turut dilaporkan oleh media dan diperhatikan oleh beberapa broker.

Petronas Chemicals

Petronas Chemicals ialah syarikat yang terlibat dalam pengeluaran produk petrokimia seperti bahan asas plastik, baja dan bahan kimia industri yang digunakan dalam pelbagai sektor.

Saham ini menjadi bintang utama bulan Mac apabila mencatatkan kenaikan hampir 92%. Lonjakan ini bukan berlaku secara kebetulan. Dalam keadaan global yang tidak stabil, syarikat seperti Petronas Chemicals dilihat sebagai penerima manfaat kerana sumber bahan mentahnya lebih stabil berbanding pesaing yang bergantung kepada kawasan konflik.

Beberapa laporan media menyatakan bahawa pelabur melihatnya sebagai “defensive play” dalam sektor tenaga. Maksudnya, walaupun pasaran bergolak, syarikat ini masih mampu mengekalkan prestasi kerana kedudukan rantaian bekalannya yang lebih selamat.

Hengyuan Refining

Hengyuan Refining menjalankan aktiviti penapisan minyak mentah kepada produk seperti petrol, diesel dan bahan api lain sebelum dijual ke pasaran.

Hengyuan pula mencatatkan kenaikan sekitar 53%, didorong oleh sentimen kenaikan harga minyak. Sebagai syarikat penapisan, prestasinya sangat sensitif kepada perubahan harga komoditi ini.

Apabila harga minyak naik, margin penapisan boleh meningkat tetapi dalam masa yang sama, kos input juga turut meningkat. Inilah yang menjadikan saham seperti Hengyuan lebih volatile, tetapi sangat menarik dalam fasa kenaikan harga minyak yang agresif.

Hibiscus Petroleum

Hibiscus Petroleum ialah syarikat yang terlibat secara langsung dalam aktiviti cari gali dan pengeluaran minyak serta gas.

Dengan kenaikan sekitar 42%, Hibiscus Petroleum jelas mendapat manfaat daripada lonjakan harga minyak. Sebagai syarikat upstream, pendapatan mereka berkait secara langsung dengan harga minyak global.

Dalam beberapa pandangan broker, syarikat seperti ini sering dilabel sebagai “pure oil play”, di mana prestasinya bergerak seiring dengan harga minyak. Bila minyak naik, saham jenis ini biasanya antara yang paling laju memberi reaksi.

Dialog Group

Dialog Group terlibat dalam penyediaan kemudahan penyimpanan, terminal minyak serta perkhidmatan kejuruteraan dan logistik dalam industri minyak dan gas.

Dialog mencatatkan kenaikan sekitar 23% dan berada dalam kategori yang sedikit berbeza. Syarikat ini bukan pengeluar minyak, tetapi lebih kepada penyedia infrastruktur.

Dalam situasi geopolitik yang tidak menentu, gangguan rantaian bekalan boleh meningkatkan keperluan kepada kemudahan penyimpanan. Ini menjadikan Dialog sebagai salah satu penerima manfaat tidak langsung daripada konflik yang berlaku.

Gas Malaysia

Gas Malaysia berperanan mengedarkan gas asli kepada sektor industri dan komersial dalam negara, menjadikannya lebih kepada syarikat utiliti tenaga domestik.

Saham ini naik sekitar 26%, walaupun tidak terdedah secara langsung kepada harga minyak global. Kenaikan ini lebih banyak dipacu oleh sentimen positif terhadap keseluruhan sektor tenaga.

Walaupun perniagaannya lebih stabil dan kurang volatile, pelabur tetap melihatnya sebagai sebahagian daripada ekosistem tenaga yang mendapat tempias daripada kenaikan harga minyak.

Velesto Energy

Velesto Energy ialah syarikat perkhidmatan minyak dan gas yang menyediakan perkhidmatan penggerudian (drilling services) untuk aktiviti cari gali minyak dan gas.

Berbeza dengan syarikat upstream yang terus mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak, Velesto lebih kepada “lagging beneficiary”. Maksudnya bila harga minyak naik, syarikat minyak akan mula tingkatkan aktiviti exploration dan drilling. Di sinilah permintaan untuk servis Velesto akan meningkat.

Saham Velesto mencatatkan kenaikan sekitar 11% dalam tempoh sebulan, didorong oleh jangkaan peningkatan aktiviti penggerudian susulan harga minyak yang lebih tinggi. Namun begitu, pergerakannya tidak setara dengan syarikat upstream kerana kesan kepada pendapatan biasanya mengambil masa untuk diterjemahkan melalui kontrak baharu dan kadar sewaan rig yang lebih tinggi.

Secara ringkas, Velesto bukan penerima manfaat segera, tetapi lebih kepada “second wave play” dalam kitaran kenaikan harga minyak.

Petron Malaysia Refining & Marketing

Petron Malaysia ialah syarikat downstream yang mengendalikan rangkaian stesen minyak dan menjual bahan api kepada pengguna akhir.

Petron mencatatkan kenaikan sekitar 8%, paling sederhana berbanding syarikat lain dalam senarai. Ini kerana perniagaannya lebih bergantung kepada margin jualan runcit yang biasanya lebih terkawal.

Walaupun harga minyak naik, tidak semua kenaikan itu boleh dipindahkan terus kepada pengguna. Sebab itu, saham downstream seperti ini biasanya bergerak lebih perlahan berbanding syarikat upstream.

Petronas Dagangan

Petronas Dagangan (PETDAG) macam “tak ikut trend”. Tapi sebenarnya ada sebab yang agak logik. Petron dan Petronas Dagangan bergerak berbeza kerana model bisnes mereka. Petron lebih “integrated” dengan operasi penapisan dan saiz yang lebih kecil, jadi sahamnya lebih responsif kepada kenaikan harga minyak dan sentimen pasaran. PETDAG pula lebih kepada jualan runcit bahan api yang marginnya agak terkawal dan kurang mendapat manfaat langsung daripada kenaikan harga minyak. Sebab itu, dalam rally kali ini, Petron nampak lebih hidup manakala PETDAG kekal lebih defensif dan perlahan.

Apa yang boleh kita belajar?

Pergerakan sektor minyak dan gas kali ini memberi satu gambaran jelas iaitu pasaran tidak sentiasa bergerak berdasarkan prestasi syarikat semata-mata. Kadangkala, faktor luar seperti geopolitik memainkan peranan yang jauh lebih besar.

Konflik Iran menunjukkan bagaimana satu peristiwa global boleh mengubah aliran dana, meningkatkan harga komoditi dan seterusnya mengangkat keseluruhan sektor dalam masa yang singkat.

Namun, pelabur dan pedagang saham perlu berhati-hati. Jika ketegangan reda dan harga minyak kembali stabil, saham-saham ini juga berpotensi untuk mengalami pembetulan harga.

Dalam dunia pasaran saham, tak semua peluang datang daripada laporan kewangan atau nombor dalam akaun. Kadang-kadang, peluang sebenar datang daripada berita yang orang lain anggap sekadar “masalah luar negara”. Kita dah pernah nampak benda ni ketika COVID-19. Awal-awal dulu, ramai beranggapan itu cuma isu kesihatan. Tapi mereka yang nampak lebih jauh, sudah mula fikirkan kesan kepada supply chain, cara orang bekerja dan cara orang beli barang. Dari situ, sektor seperti teknologi, sarung tangan dan e-dagang terus melonjak, sebelum angka kewangan syarikat sempat tunjuk perubahan.

Terlepas Peluang?

Kalau rasa terlepas peluang, itu perkara biasa dalam pelaburan. Tak semua rally kita sempat masuk dan memang mustahil untuk ‘tangkap’ setiap pergerakan pasaran dengan sempurna. Yang penting, jangan kejar harga semata-mata sebab takut ketinggalan. Selalunya bila kita masuk dalam keadaan emosi, risiko untuk tersangkut di puncak adalah lebih tinggi.

Lebih baik ambil langkah tenang dan lihat semula apa yang berlaku. Faham kenapa sektor itu naik, apa faktor yang gerakkan dan sama ada cerita itu masih relevan atau sudah sampai ke penghujung. Peluang dalam pasaran sentiasa berulang, cuma dalam bentuk yang berbeza. Hari ini mungkin sektor saham dan gas, esok lusa mungkin sektor lain pula.

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!